UtusanDaily

Monday, 25 May 2015

Beza tapi serasi


Beza tapi serasi

Ku ke kiri kau ke kanan
Ku di belakang kau di hadapan
Bila ku marah engkau ketawa
Dengan selamba engkau berkata
Kita berdua jauh berbeza
Langit dan bumi tapi serasi
Ku cintaimu kau cintaiku
Itu saja yang perlu kau ku tahu...

PETIKAN daripada lagu Cinta Gila, nyanyian Juliana Banos ini pernah menjadi siulan anak muda. Realitinya, ramai pasangan yang mempunyai perbezaan seperti dari segi rupa fizikal, status kedudukan, kerjaya dan usia, namun mereka mampu mengecap kebahagiaan hidup berumah tangga.

Isu Wow kali ini mengetengahkan tajuk Beza Tapi Serasi mengenai kelangsungan kebahagiaan pasangan di sebalik perbezaan dan jurang yang ada pada diri masing-masing. Mungkin anda pernah dengar pelbagai pepatah menyebut cinta itu buta, dan tak kenal maka tak cinta, mahupun hitam-hitam si tampuk manggis, sungguhpun hitam ku pandang manis.

Hakikatnya ALLAH SWT Maha Agung dalam menciptakan setiap makhluknya dengan keistimewaan masing-masing. ALLAH SWT yang Maha Halus dan Maha Penyayang juga melembutkan hati hamba-Nya untuk menerima kelebihan dan kekurangan pasangan yang disebut sebagai jodoh. Cuba lihat pada jari jemari tangan anda, berbeza saiz, bentuk, ketinggian dan fungsinya. Inilah dinamakan fitrah.

Bagi mereka yang berajakan nafsu, mungkin hilang nikmat berasai perbezaan kalangan manusia. Jika semuanya sama, hidup ini akan jadi mendatar, tiada cerita menarik untuk dikongsi dan tiada tawa dan tangis dalam diari kehidupan.

Masih ingatkah anda dengan pasangan suami isteri Mat Noor, 44, dan Wook Kundor (Nek Wook), 113. Meskipun pasangan ini pernah dilanda ujian dan dugaan, namun ternyata kasih sayang mereka tidak dapat dipisahkan.

Nick Vujicic juga mempunyai kisah hidup menarik. Dilahirkan ke dunia tanpa sepasang tangan dan kaki mungkin sukar, namun tidak bagi beliau. Malah semangat kental beliau untuk meneruskan kelangsungan hidup menjadi inspirasi kebanyakan orang untuk berjaya walaupun kekurangan dari segi fizikal. Beliau juga bertuah kerana bertemu pasangan yang normal dan seorang anak.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive