UtusanDaily

Friday, 22 May 2015

Tanpa wanita siapalah kita...

Abd Jalil Ali


SELALU sangat memikirkan sekian banyak isu berat – GST, 1MDB, Tabung Haji, saman trafik, Tun M, Pandikar Amin Mulia, dan sebagainya – elok sesekali kita bercakap benda-benda ringan.

Topik biasa lagi santai yang menjadi kegemaran kebanyakan lelaki – termasuk saya! – ialah perempuan. Marah macam mana pun terhadap isu-isu mendesak semasa, bila sebut Kak Hawa pasti Abang Adam berasa lega.

Pernahkah terfikir apa agaknya akan terjadi pada kita lelaki sekiranya tidak ada wanita? Jawapan paling asas dan tepat kepada soalan ini ialah, kalau tidak ada wanita tidak ada kita.

Seperti yang dijelaskan dalam kitab suci al-Quran bayi boleh lahir tanpa bapa @ lelaki. Tetapi kita tidak mendengar bayi boleh muncul tanpa ibu. Sebab itu wanita adalah insan istimewa. Maka belum lewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Ibu!

Dia orang kata tangan (wanita) yang menghayun buaian boleh menggegar dunia. Kita telah melihat di depan mata sekarang bagaimana kaum yang satu ketika dulu dianggap lemah, kini sudah menguasai bidang yang biasanya didominasi oleh lelaki.

Kalau sudah menduduki kerusi CEO, pengarah, ketua negara dan jawatan-jawatan penting lain, mereka memang boleh menggegar dunia. Hatta, sekiranya tidak ada apa-apa kedudukan pun wanita boleh menggegar kerusi dan ranjang.

Cuba perhati keliling kita, pasti kita boleh mengesan keunikan wanita. Salah satu keunikan ialah mereka selalu melebihi suami. Kata orang kalau suaminya koperal, isterinya sarjan. Kalau suami kapten, isteri jeneral. Kalau suami kerani, isteri ketua kerani. Tidakkah itu unik?

Kalau isteri penat-penat memasak, suami tidak makan cepat sangat isteri menuduh dan mengesyaki suami ‘makan luar’. Tetapi kalau masakannya tidak sedap dan suami dengan jujur menegur, isteri akan kata “awak makan luar sahajalah!”

Secara peribadi – berdasarkan pengalaman kewartawanan selama lebih tiga dekad – saya nampak seribu satu macam perangai dan gaya wanita yang agak pelik. Terkini, dua hari lalu, makan tengah hari saya terganggu di sebuah restoran di Shah Alam.

Bukan sebab kari kepala ikan di restoran nasi kandar itu tidak sedap, tetapi kerana seorang wanita berdiri di kaunter pembayaran. Dia memakai sesuatu yang amat mendebarkan, nampak pangkal paha, nampak juga ketiaknya yang putih melepak. Itu yang mengganggu saya.

Dia tahu saya memandangnya, lalu dia bernada marah: “Apa pandang-pandang? Ada hutang ker?” Selamba saya menjawab: “Awak buka-buka, saya tengoklah! Kalau tidak mahu orang tengok, tutuplah...” Pelik, dia berdedah-dedah, tetapi marah apabila dipandang.

Kalau hendak tahu lebih lanjut perihal macam-macam perangai wanita kita, dapatkan buku terbaharu terbitan Alaf 21 - Asam Pedas Sirap Bandung yang kini berada di pasaran. Itu buku terkini saya, sebab itu kulitnya memaparkan gambar saya memakai apron.

Saya ingat kehidupan kita, khasnya wanita, memang macam asam pedas. Ada pelbagai rencah – cili, bawang putih, bawang merah, asam, daun kesum, bunga kantan, halba garam dan lain.

Seperti yang dilihat keliling kita, wanita pun ada seribu satu rencah – suka, duka, cemburu biasa, cemburu buta, marah bersebab, marah tanpa sebab, takut suami, kontrol suami, macam-macam.

Dulu-dulu suami malu mengaku dia takut bini @ TB. Tetapi pada hemat saya TB sekarang sudah menjadi satu wabak. Konon orang paling berpengaruh, paling berkuasa, paling hebat pun dilanda TB. Ini antara yang saya coretkan dalam buku setebal 260 halaman itu.

Hanya RM18 sebuah. Sekiranya beli di kedai buku Karangkraf Shah Alam boleh dapat potongan 15 peratus. Beli menerusi pos pun boleh, di alamat Karangkraf Mall Sdn Bhd, Unit Langganan, P/S 7041, Pejabat Pos Besar Shah Alam, 40700 Shah Alam, Selangor, dengan menyertakan MO/PO/cek atas nama Karangkraf Mall Sdn Bhd.

Untuk pertanyaan boleh telefon 603-51017480/ 7303, atau email ke info.langganan@karangkraf.com.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive