UtusanDaily

Monday, 25 May 2015

Tahniah, kamu dapat hadiah RM8,000'


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjRasxhpboxrCTl_ajyrfBGaEnv10WRqyB60QTsdemzt98EuPAubkX8Ik-LfYOMbGG_evQShlvZlDKnWq1chdm7QEJX4ELZxxbSxxGS0elSy2uK9T_g7M7pHBtXhXH5XsrX9NLCP0eNBPg/s1600/race+scratch+cards+(9).jpg

SEORANG lelaki muda menyapa saya dan isteri ketika kami berjalan di sebuah kompleks beli-belah minggu lalu.

"Abang, kakak, jom saya bagi beg," katanya. Tanpa menunggu respons kami, dia terus berjalan memandu kami ke sebuah kedai tidak jauh dari situ.

Betullah, dia tidak bohong. Sampai di kedai itu, dia hulurkan kami sebuah beg mesra alam yang agak besar juga. Kebetulan sebelum itu kami ada beli barang yang diisi dalam beberapa beg plastik kecil. Tawaran percuma daripada anak muda itu umpama orang mengantuk disorongkan bantal.

Selepas itu, dia ajak kami duduk dan minta saya isi borang. Nak bagi beg pun kena isi borang? Untuk survey, katanya.

Saya pun isi. Selepas itu, dia hulurkan pula kepada kami dua keping kad kecil sambil minta kami koyak penutup kad itu. Ya, kami ikut. Walaupun terasa buang masa jika terpaksa duduk lebih lama, saya ikut juga. Perasaan ingin tahu  kisah selanjutnya telah memaku punggung saya sekejap-kejapnya di kerusi. Setelah dikoyak, kad saya tidak berisi apa-apa yang menarik selain perkataan 'thank you' tetapi kad yang dikoyak isteri, ada cerita susulannya.

Lelaki itu kelihatan terkejut, sungguh-sungguh nampaknya dia terkejut  melihat beberapa patah perkataan yang tertera dalam kad dikoyak oleh isteri saya. Dia tidak terus memberi apa-apa kesimpulan berkaitan arahan atau mesej daripada perkataan-perkataan itu tetapi  bertanya adakah isteri saya melangkah kaki kanan dahulu ketika keluar dari rumah atau ketika masuk ke kompleks itu sebelumnya.

Setelah itu, lelaki tersebut  menelefon seseorang. Katanya, dia perlu merujuk kepada  bosnya dahulu apa yang perlu dilakukan. Katanya, dia tidak pernah ada pengalaman berhadapan dengan orang yang begitu bernasib baik seperti kami dan perlu merujuk kepada bosnya. Tidak cukup dengan itu, dia juga serahkan telefon kepada isteri saya untuk bercakap sendiri dengan orang yang dipanggilnya bos itu.

Habis bercakap di telefon, wajahnya ceria berlipat kali ganda seperti orang yang baru keluarkan wang simpanan EPF pada usia 55 tahun, dapat pula berita baik lamarannya untuk memperisterikan seorang gadis 22 tahun diterima.

Melihat keceriaan anak muda itu, datang seorang remaja perempuan duduk di sisinya dan bertanya bermacam-macam soalan selain ucap tahniah berkali-kali kepada kami.

Setelah keadaan sedikit reda meskipun kami sendiri masih tertanya-tanya apa yang sebenarnya sedang berlaku, dia jelaskan bahawa kami telah memenangi dua set perkakas elektrik yang setiap satunya berharga hampir RM4,000. Kedua-dua barang itu kemudiannya dibawa keluar dan diletak di hadapan kami.

Katanya, barang-barang itu sudah jadi milik kami dan kami boleh bawa balik nanti. Setelah melayurkan barang-barang itu di hadapan kami, juga mengajar kami cara-cara untuk menggunakannya, lelaki itu berkata, ada beberapa syarat lain yang perlu kami penuhi sebelum boleh bawa balik barang-barang itu.

Pertama, barang-barang hadiah itu tidak boleh dijual kepada sesiapa pun. Kami harus menggunakannya sendiri. Kedua, kami diminta untuk membantu mempromosi barang-barang jenama syarikat mereka kepada saudara mara dan kawan-kawan yang berkunjung ke rumah.

Ketiga, kami diminta beli satu lagi produk elektrik mereka yang harganya lebih kurang sama, hampir RM4,000 juga.

Jika kesemua syarat itu dipenuhi, barulah kami dibenarkan bawa balik ketiga-tiga barang tersebut. Syarat pertama dan kedua, memang tiada masalah tetapi syarat ketiga, saya tidak akan penuhi dan itulah keputusan saya.

Mereka cuba memujuk dengan mengatakan kami hanya perlu bayar lebih RM3,000 sahaja untuk dapat barang bernilai lebih RM11,000. Malah mereka juga tawarkan saya untuk bayar secara ansuran.

Saya tolak dengan alasan, kedua-dua barang yang dikatakan hadiah itu saya sudah ada di rumah, cuma jenamanya berbeza. Yang kedua, kami ketika itu dalam penstrukturan semula hutang, jadi tidak bersedia untuk menambah hutang baharu. Walaupun ansuran bulanannya tidaklah tinggi mana tetapi kami ikut pesan Nabi SAW yang melarang orang Islam daripada berhutang, apa lagi hutang yang bukan atas dasar keperluan.

Apa pun sebelum keluar meninggalkan kedai itu, saya dan isteri tidak lupa untuk mengucap terima kasih kepada dua anak muda tersebut yang begitu baik budi menawarkan kami hadiah selumayan itu, juga beg mesra alam yang kami memang perlukan untuk mengisi barang-barang yang kami beli dari pasar raya sebelah. Semoga budi baik mereka itu akan menjadikan mereka orang yang sebenar-benarnya baik dan berjaya dunia akhirat.

MUHAMAD MAT YAKIM

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive