Serunding, makanan yang salah?
MOHAMMED HARON
KITA kadang-kadang tidak sedar akan kebiasaan
mengambil makanan yang salah. Hal ini kerana apabila kita mengambil dan
menikmatinya, tiada kesan buruk yang kita rasai.
Tidak sama dengan kita mengambil makanan yang beracun, selepas itu kita
akan mengalami kesan buruk pengambilannya, seperti muntah-muntah,
cirit-birit dan sebagainya.
Hal ini demikian kerana makanan yang salah yang dimaksudkan hanyalah
kesalahan ejaan sahaja. Seorang pelajar apabila diberitahu tentang ejaan
serunding itu salah, dengan selamba berkata “Oh, rupa-rupanya sekian
lama kita makan makanan yang salah”.
Ejaan yang betul bagi ‘serunding’ ialah ‘serondeng’. Dalam Kamus Dewan
Edisi Keempat, ‘serondeng’ diberikan keterangan sebagai sejenis makanan
yang dibuat daripada kelapa yang dikukur.
Manakala dalam keterangan lain pula ‘serondeng’ juga dijelaskan sejenis
makanan yang tahan lama dibuat daripada siatan daging, udang atau ikan
yang dihancurkan, kemudian dimasak bersama-sama santan serta rempah
sehingga kering. Makanan ini sangat popular di negeri-negeri Pantai
Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Persoalannya, mengapa ejaan pada paket atau bungkusan serondeng ini
dieja dengan serunding? Malah ejaan itu begitu lama dibiarkan salah
tanpa ditegur dan dilakukan pembetulan. Jika berkaitan pembungkusan dan
paket sudah tentu ada pihak berwajib yang memeriksa dan seterusnya
meluluskan pengeluarannya.
Sebaliknya, ejaan begitulah disogokkan kepada pengguna sekian lama,
sehingga yang salah dilazimkan dan dianggapkan betul. Generasi pelajar
pula menggunakan ejaan yang salah itu dalam penulisan mereka sekian lama
juga.
Justeru, konsep amalan berbahasa membiasakan yang betul dan membetulkan
yang biasa tidak langsung memberi kesan kepada komuniti bahasa kita.
Hal ini menunjukkan bahawa kita tidak serius dalam menangani isu bahasa
kita, walaupun dalam perkara yang senang sahaja iaitu ejaan.
Perkara ini merebak, sehingga boleh dilihat pada papan-papan tanda
syarikat pengeluar makanan itu. Pemilik syarikat mudah sahaja menamakan
syarikat mereka Cik Siti Pengeluar Serunding, Serunding Asli Kampung
Laut dan banyak lagi.
Hal ini sudah tentu di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan yang
menyemak nama syarikat dan menentukan ejaan yang betul, barulah
meluluskan pemasangan papan iklan syarikat tersebut. Kemungkinan pihak
yang meluluskan pemasangan papan iklan itu pun tidak sedar akan
kesalahan ejaan itu?
Masih banyak pengejaan makanan dalam masyarakat kita yang sekadar boleh
saya senaraikan yang mengelirukan pengguna dari segi ejaannya, seperti
rempeyek dieja dengan empeyek atau tempeyek (salah), tomyam dieja dengan
tom yam (salah), ondeh-ondeh dieja dengan onde-onde (salah), kerisik
dieja dengan kerisek (salah), kuetiau dieja dengan kue teow (salah),
sate dieja dengan satey (salah), keropok dieja dengan kerepok (salah),
cincau dieja dengan cin cow (salah), tanduri dieja dengan tandori
(salah) dan banyak lagi jika kita dapat senaraikan di sini.
Hal yang sama, kadang-kadang dapat kita ketemukan pada ejaan sayuran
kubis dieja salah sebagai kobis, tauge dieja salah juga dengan toge.
Kesimpulannya, kita perlu sentiasa prihatin dan jangan sekali-kali
mengambil mudah apabila mengeja perkara-perkara yang disebutkan di
atas.
Jika dibiarkan berterusan bermakna kita sentiasa menggunakan bentuk
penggunaan bahasa yang salah. Walaupun nampak kecil, tetapi memberikan
impak besar terhadap pembakuan bahasa Melayu kita.
Sistem Ejaan Rumi dan sistem pembentukan istilah sudah lama wujud di
negara kita, namun pengguna masih lagi lalai menggunakan ejaan yang
betul. Disarankan agar rajin-rajinlah kita membelek buku Daftar Ejaan
Rumi Bahasa Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mencari
kepastian berkaitan ejaan betul bagi sesuatu yang mengelirukan, kelak
kita tidak selama-lamanya ‘makan benda yang salah’.
* Ruangan ini dikelolakan DBP Wilayah Timur
No comments:
Post a Comment