UtusanDaily

Friday, 6 December 2013

Ke mana perginya buah-buahan berkualiti kita?

DEAN DEEN
Petaling Jaya

CADANGAN untuk menubuhkan Food and Agro Council for Export (FACE) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam sesi pembentangan Bajet 2014 baru-baru ini amat dialu-alukan.

Konsep dari ladang ke pasaran eksport ini jelas dapat meningkatkan pendapatan petani dan pekebun apabila hasil keluaran mereka seperti buah-buahan dapat dipasarkan ke luar negara yang sudah pastinya menghasilkan pulangan tinggi.

Permintaan buah-buahan tropika seperti betik, jambu batu dan belimbing dari luar negara sememangnya tinggi terutama dari China dan Asia Barat yang mempunyai bilangan pengguna yang ramai.

Tidak hairanlah pihak kerajaan melalui Bajet 2014 telah memperuntukkan RM6 bilion ke atas sektor pertanian bagi meningkatkan hasil keluaran pertanian terutamanya buah-buahan bagi tujuan eksport yang dapat meningkatkan tahap pendapatan petani dan peladang.

Persoalannya di sini adakah bekalan buah-buahan tempatan seperti betik, belimbing dan jambu batu mencukupi bagi memenuhi permintaan tersebut?

Bagaimana pula kita dapat memenuhi permintaan dalam negeri jika tumpuan hanya diberikan kepada permintaan luar negara yang menjanjikan pulangan yang lebih tinggi sedangkan bekalan yang sedia ada masih dalam kuantiti yang sama?

Kekurangan bekalan buah-buahan tropika seperti betik, jambu batu (tiada biji) dan belimbing madu di pasaran tempatan semakin ketara lantaran keghairahan kita mengeksport buah-buahan tersebut ke luar negara. Jika ada sekali pun hanya buah-buahan yang berkualiti rendah yang sudah pastinya tidak dapat memenuhi keperluan pengguna terutama bagi mereka yang mementingkan kualiti.

Kesan sampingan dari kekurangan tersebut menyebabkan pasaran tempatan dibanjiri oleh buah-buahan tropika dari Thailand yang tahap keselamatannya masih diragui.

Ketiadaan pilihan dan kekurangan maklumat mengenai kualiti buah-buahan tersebut menyebabkan pengguna berterusan membelinya tanpa menghiraukan tahap keselamatan serta merasa berpatutan apabila harga yang ditawarkan jauh lebih murah dari buah tempatan.

Bagi menjayakan projek FACE seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, kita perlu menambah hasil keluaran dengan membuka lebih banyak tanah pertanian bagi menampung keperluan dalam dan luar negara.

Kita tidak mahu lagi menikmati buah-buahan dari negara jiran sedangkan kita berupaya mengeluarkannya sendiri kerana faktor kesesuaian tanah dan iklim yang sama. Jangan nanti kita dihidangkan dengan buah-buahan dari negara jiran sedangkan buah-buahan yang dihasilkan sendiri dijual keluar negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20131126/fo_03/Ke-mana-perginya-buah-buahan-berkualiti-kita#ixzz2mgOk6KYf
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive