UtusanDaily

Thursday, 5 December 2013

K'jaan teruskan AES untuk kurang kesalahan trafik

Kerajaan bersetuju untuk teruskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebagai langkah menambah baik dan memantapkan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata kerajaan yakin sistem itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesalahan trafik seperti melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju yang menyumbang kepada 30 peratus kematian akibat kemalangan.

Atas komitmen itu juga kerajaan mengambil alih operasi dan penguatkuasaan AES daripada dua syarikat yang menguruskannya sebelum ini - ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd, katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Kini AES diambil alih oleh syarikat milik penuh kerajaan, AES Solutions Sdn Bhd, katanya semasa membentangkan usul untuk kerajaan membuat pelaburan memperoleh 10,000,000 unit saham biasa AES Solutions Sdn Bhd pada nilai RM1 bagi seunit saham.

Ahmad berkata kes kemalangan jalan raya bagi tempoh lima tahun dari 2008 hingga 2012 menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 22,338 kes (5.5 peratus).

"Kematian akibat kemalangan juga meningkat daripada 6,527 pada 2008 kepada 6,917 (2012)," katanya.

Ahmad berkata jumlah kenderaan yang meningkat setiap tahun turut menyumbang kepada kesalahan lalulintas di negara ini. Pada tahun 2008 sebanyak 18 juta kenderaan didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan meningkat kepada 22.7 juta pada 2012.

"Ini menunjukkan peningkatan jumlah kenderaan yang berdaftar dengan JPJ sebanyak 6.03 peratus bagi tempoh lima tahun (1.8 juta)," katanya.

Menyedari perkara itu, menurut Ahmad, kerajaan mengambil langkah melaksanakan sepenuhnyanya AES pada penghujung tahun lepas bagi menangani kesalahan lalulintas, kemalangan serta mengurangkan kematian pengguna jalan raya.

"AES merupakan kaedah terbaik berdasarkan sistem penanda aras penguatkuasaan lalu lintas yang diamalkan di Sweeden, Perancis, United Kingdom dan China," katanya.

Ahmad berkata AES dipasang di 310 kawasan kerap kemalangan yang dikenal pasti hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) yang dapat membantu mendisiplinkan pemandu dan meningkatkan persepsi keberangkalian ditangkap sekali gus membawa kepada amalan pemanduan yang lebih berhemah.

Katanya AES membantu meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap persepsi ditangkap melakukan kesalahan (POBC).

"Berdasarkan kajian antarabangsa, pelaksanaan penguatkuasaan secara elektronik dapat mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya antara 17 hingga 71 peratus, dan menurunkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 40 peratus," katanya.

Pada sesi akhir hari ini, Dewan Rakyat turut meluluskan usul untuk kerajaan membuat pelaburan dalam syarikat AES Solution Sdn Bhd dengan modal berbayar RM10 juta dengan nilai RM1 bagi seunit saham.

Usul itu yang dibahas oleh empat pembahas daripada parti pembangkang termasuk Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), telah diluluskan dengan lebih suara yang bersetuju.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive