AQMAR MUSTAZA
Fizz Fairuz
Nama pelakon Fizz Fairuz, menarik perhatian ramai minggu lalu apabila
namanya tidak lagi tersenarai sebagai ahli kumpulan Apa Kasih Toq (AKT)
dalam Liga Lawak Superstar (LLS) kerana dikatakan menarik diri.
Namun yang menarik perhatiannya apabila Fizz mengatakan dia tidak menarik diri, sebaliknya disingkirkan dari kumpulan terbabit.
Isu berkenaan bukan sahaja melibatkan nama Fizz, malahan ahli kumpulan
tersebut, Kamal Adli dikatakan 'berkecil hati' dengan tindakan Fizz yang
menerima tawaran untuk terbang ke Cardiff, walhal dia terlebih dahulu
menolak tawaran tersebut kerana komitmen dalam LLS.
Bagaimanapun kehadiran Fizz pada majlis pelancaran butik baru Lords
Taylor, di Pavilion, kelmarin membuka peluang buat rakan media bertanya
hal sebenar kepada aktor yang mencipta nama menerusi drama Nur Kasih.
"Saya sudah pun bertemu dengan pihak TV3 dan berbincang mengenai
perkara ini. Apa yang boleh saya katakan ini adalah salah faham.
"Saya akur dengan syarat yang dipersetujui dalam kontrak dan saya
berharap isu ini tidak lagi diperbesar-besarkan lagi," jelasnya.
"Buat pengetahuan semua, saya masih lagi ahli kumpulan AKT, cuma saya
tidak boleh naik ke pentas. Saya hanya terlibat dalam proses latihan dan
perbincangan idea, senang kata saya jadi pengurus untuk kumpulan itu
sekarang (ketawa).
Biarpun tidak terlibat secara langsung dengan kumpulan itu lagi, Fizz
berkata, dia amat berharap kumpulan tersebut akan berjaya dan memenangi
pertandingan finale minggu ini
"Saya harap semua peminat saya, Kamal, Didie dan Syafiq serta peminat
baharu AKT, akan menyokong kumpulan kami pada finale Ahad ini," katanya.
TV3 dalam satu kenyataan sebelum ini turut TV3 menepis dakwaan stesen
televisyen itu telah menyingkirkan pelakon Fizz Fairuz dalam Liga Lawak
Superstar sebaliknya pelakon itu yang memohon untuk menarik diri.
Dalam satu kenyataan menerusi kiriman e-mail, TV3 menyatakan Fizz
berbuat demikian kerana dia tidak dapat memberi komitmen sepenuh masa
kepada program itu.
“Semasa pihak kami memberi tawaran kepada Fizz untuk menyertai LLS,
segala informasi mengenai program termasuklah tarikh jadual program
telah diterangkan oleh pihak produksi kepadanya dengan jelas.
“Jadi, apabila dia bersetuju menjadi salah seorang peserta LLS, pihak
kami menganggap beliau sudah bersedia memberi 100 peratus komitmen
terhadap program ini daripada mula sehingga berakhirnya LLS musim
pertama,” kata kenyataan media tersebut.
Sudah ada tarikh
Dalam perkembangan lain, Fizz menafikan sekerasnya bahawa dia dan Almy Nadia sudah bertunang secara rahsia, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Fizz berkata, kedua-dua belah keluarga sudah bertemu dan
berbincang mengenai perkahwinan mereka dan jika tiada aral melintang,
Fizz dan Almy bakal disatukan pertengahan tahun depan.
"Macam saya kata sebelum ini, kami tidak akan bertunang. Apatah lagi
bertunang ini seperti kita sedia maklum tempoh untuk berkenalan dengan
lebih rapat. Saya dan Almy pula sudah lapan tahun berkawan, jadi tidak
perlu lagi untuk bertunang.
"Tarikh pernikahan memang sudah ada, dan saya dah pilih tarikh. Tapi
terlalu awal untuk didedahkan, apa yang penting saya mahu selesaikan
majlis perkahwinan adik saya yang akan berlangsung bulan depan,"
katanya.
Tidak bercadang untuk mengadakan majlis perkahwinan secara
besar-besaran, sebaliknya kata Fizz dia mahu mengadakan majlis yang
serba ringkas tetapi tetap meriah.
No comments:
Post a Comment