Proses membiakkan sel kulit sedang dilakukan
Antara prosedur pemindahan kulit pesakit akibat melecur yang sedang dilakukan oleh pakar.
PADA masa ini jika seseorang mengalami luka bakar yang teruk, sebahagian kulit terpaksa diambil daripada bahagian paha sebesar saiz luka tersebut untuk ditampal pada bahagian tercedera.
Ini mengakibatkan kesakitan yang amat sangat pada bahagian kulit yang diambil dan ada kemungkinan boleh dijangkiti kuman.
Bagi pesakit yang menghidap penyakit kencing manis atau melitus diabetes, pesakit terpaksa mengambil ubat bagi merendahkan paras gula dalam darah dan mengubah cara hidup mereka.
Begitu juga bagi pesakit jantung dan pesakit yang mengalami masalah lutut iaitu osteoartritis yang terpaksa bergantung kepada pengambilan ubat sepanjang hayat.
Cara terbaik adalah pencegahan tetapi ini mungkin sukar. Diagnosis awal perlu diutamakan. Kulit gantian boleh dibuat menggunakan sel kulit pesakit yang dibiakkan daripada cebisan kecil kulit pesakit.
Bagi pesakit kencing manis ia boleh memulihkan kelenjar pankreas supaya dapat menghasilkan hormon insulin. Manakala pesakit jantung dapat pulihkan semula otot jantung supaya boleh mengepam darah dengan baik.
Selain itu, bagi pesakit lutut rawatan ini boleh menumbuhkan semula tisu rawan dalam sendi lutut supaya mereka boleh melakukan pergerakan seperti sediakala.
Salah satu daripada bidang terkini dalam bioteknologi perubatan adalah kejuruteraan tisu dan perubatan regeneratif.
Dapat elak melalui rawatan SSG
Ketua Pusat Kejuruteraan Tisu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ruszymah Idrus berkata, kejuruteraan tisu boleh difahami dengan melihat seekor cicak.
"Apabila ekornya terputus, ekor itu akan tumbuh semula tanpa memerlukan sebarang ubat atau pembedahan.
"Jadi kejuruteraan tisu boleh dianggap sebagai penyelidikan untuk membolehkan manusia mempunyai kemampuan yang sama untuk menghasilkan organnya sendiri," katanya.
Ruszymah turut berkongsi kejayaan hasil penyelidikannya itu apabila seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang mengalami luka kebakaran teruk di seluruh badannya dan berada dalam keadaan kritikal.
Kebiasaannya rawatan yang digunakan untuk membantu mangsa kebakaran pulih adalah dengan cara Split Skin Grafting (SSG) dengan mengambil kulit yang sihat dari bahagian badan pesakit untuk menutup bahagian melecur.
Bagaimanapun, kaedah rawatan ini tidak dapat dilakukan ke atas kanak-kanak tersebut kerana hampir keseluruhan badannya melecur dan kulit yang masih dalam keadaan elok adalah di bahagian kepala sahaja.
Akibat tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung oleh kanak-kanak itu, kedua ibu bapanya tidak bersetuju untuk mengambil sampel kulit di bahagian itu.
Bagi mengelakkan kesakitan yang ditanggung oleh kanak-kanak tersebut, Prof Ruszymah telah cuba menggunakan hasil penyelidikannya itu dengan membiak kulit kanak-kanak itu di makmal.
Keajaiban terjadi apabila proses pemindahan kulit ke bahagian yang melecur akhirnya menampakkan kesan positif dan rawatan itu berjaya.
Kini kanak-kanak itu telah pulih dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Parut yang dialaminya juga jauh lebih rendah dari parut yang dihasilkan dengan rawatan SSG.
Kajian secara menyeluruh sedang dibuat
Hasil kejayaan tersebut, teknologi itu telah dipatenkan dan kini sedang menjalani ujian klinikal sebelum ia dapat diperluaskan bagi membolehkan pesakit yang memerlukan kulit ganti mendapat rawatan yang lebih baik.
Selain itu, Prof Ruszymah juga sedang menjalankan kajian ke atas organ lain yang bersesuaian dan telah pun berjaya menghasilkan tulang manusia.
"Saya menjangkakan kemungkinan pesakit jantung tersumbat tidak perlu lagi melalui pembedahan pintasan jantung. Hal ini kerana, hasil kajian yang sedang dilakukan, hanya dengan menyuntikkan sel stem satu saluran darah baru akan dapat
ditumbuhkan di jantung untuk memintas saluran tersumbat.
Di samping itu, bagi yang mengalami osteoartritis tidak perlu lagi menanggung kesakitan kerana melalui kejuruteraan tisu kesakitan di bahagian itu dapat diatasi dengan menumbuhkan legimen di kawasan tempurung lutut.
Sekiranya teknologi ini berjaya dikembangkan, masalah kekurangan penderma organ di Malaysia juga akan dapat diatasi.
No comments:
Post a Comment