Blogger pro-Umno baru-baru ini menyamakan urus niaga kerajaan Pulau
Pinang dengan penjualan tanah oleh 1MDB kepada konsortium
(http://www.malaysiakini.com/news/325589). Perbandingan ini tak lain
untuk ‘menghalalkan’ penyelewengan oleh 1MDB. Ada beza yang sangat besar
antara urus niaga yang menguntungkan rakyat dan penjualan tanah demi
membayar hutang.
Penjualan tanah yang melibatkan perjanjian dengan syarikat asing
bukan hal yang baru di Pulau Pinang. Urus niaga seperti itu sudah
dijalankan sejak syarikat antarabangsa (MNC) pertama mula beroperasi di
Bayan Lepas pada 1970.
Kerajaan negeri Johor merupakan contoh lain yang menjalankan urus
niaga dengan syarikat asing untuk tujuan menggalakkan perkembangan
ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat. Sultan Johor, Sultan Ibrahim
Ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam temuramah (bit.ly/1O6HY7W) pada Mac
2015 menyatakan betapa Johor berpotensi tinggi dalam menarik pelaburan
asing.
Urus niaga seumpama ini telah banyak menguntungkan negeri dengan
menyediakan banyak pekerjaan. MNC membantu Industri Sederhana Kecil
(SMI) dan Enterprise Sederhana Kecil (SME) untuk meluaskan pasaran ke
peringkat global dan menyediakan lebih banyak peluang kerja. Pertumbuhan
ini menyebabkan Pulau Pinang digelar “Silicon Valley of Malaysia”.
Jadi sangat tidak tepat untuk mengatakan urus niaga dengan Jabil Inc
sebagai menjual kepentingan negara. 20 ekar tanah yang dibeli Jabil Inc
pada harga RM30 juta di Batu Kawan pada Mei tahun lalu bakal membawa
pelaburan bernilai RM1 bilion dalam masa lima tahun termasuklah melalui
pembinaan kilang pembuatan yang sekali gus membuka 2,500 peluang
pekerjaan kepada penduduk.
Sama juga dengan usaha sama (JV) yang melibatkan Penang Development
Corporation (PDC) dan Singapore’s Temasek and Economic Development
Innovation Singapore (EDIS). Perlu diingat usaha sama itu untuk
membangunkan Projek Perdana BPO (Business Processing Outsourcing) atas
tanah 6.8 ekar – di lokasi sama pejabat PDC beroperasi.
Ini akan membolehkan Pulau Pinang terus mendapat hasil dari sektor
BPO dan SSO (Shared Services Outsourcing). Di Pulau Pinang, pelaburan
syarikat-syarikat SSO dengan status MSC antara 2009 hingga 2014 mencecah
RM4.073 bilion dan menyediakan 8,000 pekerjaan berpendapatan tinggi
kepada penduduk tempatan.
Bandingkan ini dengan penjualan 60% pemilikan di Bandar Malaysia oleh
1MDB. Penjualan itu kepada konsortium yang terdiri dari China Railway
Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CREC) (40%) dan Iskandar Waterfront
Holdings Sdn Bhd (60%) dengan harga RM7.41 bilion, dan harga ini masih
belum muktamad.
Soalan yang perlu ditanya adalah: Bagaimana Malaysia mendapat hasil
daripada penjualan oleh 1MDB itu? Dan kenapa dana strategik digunakan
untuk jual aset? 1MDB telah menyatakan penjualan itu untuk mengurangkan
beban hutang akibat Ringgit jatuh.
Sekarang bandingkan ‘urus niaga’ 1MDB dan kerajaan negeri Pulau
Pinang. Perbezaannya sangat jelas. 1MDB untuk bayar hutang, sedangkan
kerajaan Pulau Pinang untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Sumber:
http://www.thesundaily.my/news/1418320
http://www.themalaysianinsider.com/citynews/georgetown/article/another-global-firm-sets-up-plant-in-batu-kawan/another-global-firm-sets-up-plant-in-batu-kawan
http://www.themalaymailonline.com/money/article/penang-signs-rm1.3b-joint-venture-with-temasek-and-edis
http://www.thesundaily.my/news/1506276
http://www.thesundaily.my/news/1656780
http://www.thesundaily.my/news/1653448
No comments:
Post a Comment