UtusanDaily

Tuesday 5 January 2016

Mana lebih baik, sekolah swasta atau kebangsaan?

pelajar

KUALA LUMPUR - Suatu yang lumrah atau terpaksa? Itu persoalannya apabila melihat kebelakangan ini kian ramai ibu bapa memilih menghantar anak ke sekolah swasta berbanding sekolah awam (sekolah kebangsaan).

Apakah kelebihan sekolah swasta berbanding sekolah kebangsaan? Sudah terhakiskah keyakinan ibu bapa terhadap keupayaan sistem pendidikan di negara ini?

Siti Humaira Abbas, 35, menghantar anaknya ke sekolah swasta berkonsepkan agama kerana ingin memberi pendidikan yang lebih baik kepada tiga anaknya.

Menurut Siti Humaira, dia sanggup mencari dan pergi ke sekolah-sekolah swasta yang menawarkan sistem pendidikan berkonsepkan Islamik demi memberikan pendidikan yang terbaik buat anak-anaknya.

"Zaman kita membesar dahulu berbeza dengan hari ini. Cabarannya lebih besar dan anak sekarang lebih terdedah dengan dunia yang terbuka. Didikan asas sahaja tidak mencukupi sebaliknya perlu diseimbangkan dengan penghayatan dan bagaimana mereka mengadaptasikannya dalam aktiviti harian," kongsi beliau.

Pemilihan sekolah swasta juga sangat popular dalam kalangan masyarakat Cina. Hingga ada yang terasa masa hadapan anak mereka akan menjadi gelap jika tidak terpilih ke sekolah rendah atau menengah berkenaan yang mempunyai kurikulum berbeza dengan sekolah Jenis Kebangsaan(C).

Yap Sin Mey, 27 seorang penulis di sebuah akhbar berbahasa Cina juga mengakui silibus yang diajar di sekolah Cina kualitinya lebih tinggi daripada silibus yang diajar di sekolah kebangsaan.

Beliau yang berpendidikan sekolah kebangsaan melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Taiwan. Di sana Yap bertemu ramai rakan yang mendapat pendidikan dari sekolah swasta.

"Saya boleh nampak dan rasa perbezaan pendidikan yang diterima di antara pelajar yang bersekolah di sekolah kebangsaan dan sekolah swasta. Terutamanya dari segi keterampilan diri serta daya usaha mereka untuk menonjolkan diri di khalayak," jelas Yap.

Bagaimanapun Yap tidak menolak pandangan yang menyatakan bahawa pelajar dari sekolah aliran swasta Cina lebih cemerlang kerana sejak dari awal lagi pelajar-pelajar yang memasuki sekolah-sekolah tersebut adalah mereka yang terpilih. Sama seperti pelajar lain yang terpilih ke sekolah berasrama penuh ataupun ke Maktab Rendah Sains Mara.

Di luar kotak

Menurut Penasihat Akademik dari Khazanah Malaysia, Datuk Satinah Ali, ibu bapa hari ini mempunyai pilihan untuk memberikan pendidikan yang terbaik buat anak mereka.

Sebagai individu yang pernah terlibat dalam dunia pendidikan negara, Satinah menyokong pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk memberi pendidikan berkualiti kepada pelajar sekolah awam di negara ini.

Bagaimanapun beliau tidak menolak tanggapan bahawa ada beberapa perkara terutamanya dari segi pengurusan, sekolah swasta adalah lebih baik.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Pendidikan Malaysia (MAE) ditemui selepas mempengerusikan forum pendidikan anjuran Institute for Democracy and Economic Affairs (Idea) bertajuk "Mengintai ke Sekolah Swasta di Malaysia - Adakah lebih baik daripada Sekolah Kerajaan.

Sekolah diberi autonomi

Manakala bagi Ketua Pengarah Eksekutif Asia Pacific School, Nina Adlan Disney beliau berpandangan ada beberapa perkara yang mungkin boleh diteladani oleh sekolah awam daripada sekolah swasta.

Selepas menemui pihak pengurusan dua sekolah swasta yang beroperasi secara rangkaian di sini, serta menerusi pengalaman beliau dalam bidang pendidikan, Nina menekankan empat perkara yang menjadikan sekolah swasta hari ini tampak lebih berkaliber.

"Mereka mengguna hak autonomi bagi menyediakan pendidikan yang terbaik kepada pelajar.

"Sekolah autonomi dan sekolah-sekolah swasta mempunyai lebih kebebasan untuk membuat keputusan dalam penentuan kakitangan, kewangan, pedagogi dan silibus dan dasar dalaman".

Dr Grace Lee dari Fakulti Perniagaan Universiti Monash (Malaysia) turut menyokong pandangan Nina. Lee secara peribadi berpendapat ada banyak perkara yang boleh dipelajari sekolah awam daripada sekolah swasta Cina.

Sebagai ibu yang mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan dan kemudiannya menghantar anaknya ke sekolah swasta Cina, Lee melihat bagaimana Sekolah Swasta Cina beroperasi dan bagaimana struktur pengurusan sekolah dibangunkan.

"Saya berpendapat sekolah awam perlu mempelajari banyak perkara daripada sekolah swasta Cina.

"Bagaimana sekolah-sekolah ini mampu menguruskan kewangan mereka memandangkan yurannya juga mampu dibayar dan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah swasta Cina sering berpandangan bahawa sekolah berkenaan mampu menyediakan pendidikan berkualiti tinggi untuk anak mereka".

Selain sekolah swasta Cina, sekolah swasta beraliran agama juga mendapat tempat dalam kalangan ibu bapa terutamanya ibu bapa di bandar.

Menurut Pengarah Iman Research, Altaf Deviyati, yuran pengajian di sekolah swasta aliran agama masih lagi munasabah dan tidak terlalu tinggi seperti sekolah swasta konvensional.

"Ibu bapa ada hak untuk memilih pendidikan sebagaimana yang ingin diberikan kepada anak mengikut kemampuan masing-masing. Pilihan tidak banyak jika ingin ke sekolah awam aliran agama. Jika bernasib baik mereka terpilih ke Sekolah Berasrama Penuh Agama (SBPA) atau ke sekolah yang dibiayai kerajaan negeri seperti di Selangor dan Johor.

Justeru sekolah-sekolah agama rakyat atau 'pondok' menjadi antara alternatif ibu bapa. Manakala di kawasan bandar pula muncul sekolah-sekolah agama swasta yang lebih moden dan menggunakan silibus dari luar negara.

Persolannya, kenapa agaknya mereka menghantar anak ke sekolah swasta?, tanya Altaf.

"Bukan kerana mereka tidak percayakan guru, tetapi dalam keadaan dunia tanpa sempadan hari ini, ibu bapa lebih bimbang anak hilang sifat 'jati diri' mereka.

Maka mereka lebih cenderung memilih sekolah-sekolah yang sealiran dengan agama dan budaya mereka," tambah Altaf.

Rapatkan jurang komunikasi

Satinah yang bersetuju dengan pandangan sekolah diberi autonomi dalam membuat keputusan turut menyentuh mengenai hubungan guru-pelajar dan guru-ibu bapa.

Menurutnya, hubungan yang rapat di antara ketiga-tiga pihak boleh dilihat di sekolah swasta.

Jurang komunikasi antara guru-pelajar-ibu bapa sebenarnya juga adalah penyumbang kepada melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu tetapi memiliki sifat-sifat mulia.

Justeru, beliau amat berharap guru-guru dan ibu bapa di sekolah awam merapatkan lagi jurang komunikasi antara mereka.

"Guru-guru sekolah awam perlu berfikir secara berbeza dan tidak harus terikat kepada cara konvensional memandangkan dalam era sekarang pelajar dikehendaki berfikir di luar kotak.

Guru perlu bersifat kreatif agar pelajar lebih responsif terhadap apa yang diajar kepada mereka," tambahnya. - Bernama


No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive