UtusanDaily

Thursday 8 October 2015

Kesihatan : Bahaya jerebu halus dalam paru-paru



KUALA LUMPUR: Kajian membuktikan zarah yang amat halus adalah ancaman berbahaya kepada kesihatan manusia.

Antaranya zarah jerebu dalam julat saiz 2.5 mikron apabila disedut secara terus ke dalam badan manusia boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru.

Pakar Runding Respiratori, Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr Abdul Razak Muttalif menjelaskan berbanding zarah jerebu bersaiz 10 mikron, zarah jerebu 2.5 mikron atau PM 2.5 adalah begitu kecil ia mampu meresap masuk ke dalam tisu paru-paru apabila memasuki badan manusia.


"Saiz itu sangat penting sebab kalau zarah bersaiz 10 mikron atau PM10, ia lebih besar dan sekat sampai hidung sahaja. Kalau PM2.5 dia sangat halus apabila bernafas ia boleh sampai ke hujung paru-paru dipanggil 'alveoli'. Jadi kesan kepada paru-paru sangat bahaya kalau lagi halus zarah jerebu itu." katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Satu zarah berukuran sangat kecil, purata diameter, 10 mikron atau 'particulate matter' PM10.

Zarah dalam julat saiz 2.5 mikron pula adalah jauh lebih kecil.

Diameternya 20 kali lebih kecil daripada sehelai rambut manusia yang lazimnya berukuran 50 hingga 70 mikron

Golongan berisiko yang terdedah kepada penyakit akibat jerebu dan zarah halus termasuk warga tua, kanak-kanak serta individu yang mempunyai penyakit asma dan jantung.

Simptomnya termasuk batuk, sakit tekak dan sesak nafas selain saluran pernafasan menjadi semakin sempit.

"Pertamanya, kita akan rasa kerongkong gatal atau batuk. Kedua, sebab zarah begitu halus ia boleh jadi halangan untuk badan kita melawan kuman, jadi senang untuk kuman masuk ke dalam paru-paru dan akibatkan jangkitan."

"Bagi mereka yang menghidap asma atau penyakit paru-paru kronik, zarah-zarah ini akan menyekat saluran pernafasan mereka kerana saluran pernafasan mereka sudah sempit jadi kalau sekat lagi ia akan menyukarkan pernafasan."

Abdul Razak menjelaskan kesan pendedahan kepada zarah jerebu juga boleh mengakibatkan kanser paru-paru dalam jangka masa panjang.

"Kajian menunjukkan zarah jerebu ini bermungkinan merosakkan sel-sel DNA dalam badan manusia. Kalau DNA sudah rosak, ia boleh menjadi sel kanser. Kedua, ia boleh menjadi mutasi mengakibatkan sel kita bertukar daripada sel normal kepada sel kanser."
"Selain itu, kajian juga menunjukkan kalau terdedah kepada jerebu berpanjangan, ada kemungkinan penambahan 8 peratus dalam kes-kes kanser dalam jangka masa panjang." katanya.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan berlaku peningkatan kes seperti penyakit asma, jantung dan masalah kulit ekoran keadaan jerebu yang melanda negara sejak beberapa minggu lalu.

Peningkatan kes itu dicatatkan terutamanya di kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive