UtusanDaily

Tuesday 1 September 2015

KALAU SUDAH BEGINI KEBENCIAN RAKYAT, APA LAGI...."UNDURLAH NAJIB"....



Shahbudin Husin,

Walaupun perhimpunan Bersih 4 secara umumnya menuntut empat perkara asas iaitu pilihanraya bersih, kerajaan bersih, menyelamatkan ekonomi dan hak rakyat untuk membantah, tetapi rata-rata yang hadir lebih mahukan pengunduran Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Melalui hari pertama perhimpunan yang menyaksikan ratusan ribu sedia turun dengan baju berwarna kuning, sejarah juga tercatit di mana rakyat sedia berhimpun selama dua haru satu malam semata-mata untuk meluahkan perasaan mereka.

Sudah tentu kesediaan rakyat berkorban meninggalkan tempat tidur yang selama di rumah masing-masing semata-mata untuk membantah adalah kerana satu sebab yang paling asas iaitu keinginan menolak Najib dan menyaksikan beliau segera digantikan sebagai peneraju negara ini.

Dengan kesediaan berhimpun dalam tempoh 34 jam dan sehingga ini menyaksikan semangat mereka tidak kendur walau sedikit pun, jika Najib tidak sedia mendengar suara rakyat ini, perhimpunan rakyat akan berterusan lagi di masa-masa akan datang dan mungkin berlangsung dalam tempoh yang lebih lama lagi.

Bersih 4 kali ini bukan saja luahan suara penolakan sebenarnya, tetapi juga jeritan kebencian terhadap Najib. Jika sekadar menuntut empat perkara asas tersebut tanpa disertai dengan keghairahan untuk melihat agar Najib segera berundur, tidak mungkin peserta Bersih 4 daripada berbilang kaum begitu bersemangat seperti ini.

Selepas Tun Mahathir Mohamad juga turut sama turun memberi sokongan kepada peserta Bersih dengan kata-kata "teruskan, teruskan", gelombang penyertaan rakyat di hari kedua dijangka akan terus meningkat sehingga ia berakhir pada malam nanti.

Tidak mustahil menjelang penutup perhimpunan ini nanti, peserta perhimpunan akan mencecah angka 250 hingga 300 ribu ramainya.

Ahli dan penyokong UMNO tetapi mahukan Najib berundur berikutan pelbagai masalah yang ditimbulkannya sejak akhir-akhir ini, tentu saja tidak keberatan untuk turun sama memeriahkan dan memberi sokongan kepada Bersih 4 ini, terutama selepas Tun Mahathir dan isteri, Tun Siti Hasmah turut hadir memberi sokongan.

Sepertimana kata Tun Mahathir di Johor Bahru semalam, oleh kerana undang-undang telah dicabuli dan rakyat telah hilang keyakinan kepada sistem dalam kerajaan, maka rakyat tiada pilihan selain menyatakan bantahan mereka secara terbuka melalui demonstrasi.

Setelah perhimpunan hari pertama Bersih 4 yang tentunya Najib sendiri sudah mendapat pelbagai laporan melalui gambar dan video mengenainya, sebenarnya inilah masanya untuk beliau bermuhasabah dan menyedari di mana nilainya dirinya di mata rakyat sekarang.

Selain rakyat sudah secara terbuka menyatakan bantahan dan menunjuklan kebencian, suara yang membelanya juga semakin sayup-sayup dan tidak lagi kedengaran.

Pemimpin kanan dalam parti dan kerajaan, termasuk sayap-sayap yang selama ini dikenali sebagai barisan gagah dan berani, hampir semuanya menghilang diri atau menyembunyikan diri dan seolah-olah tidak mampu lagi mempertahankan kedudukan Najib yang kian tenat di hati rakyat ketika ini.

Kepada Najib, berhentilah untuk terus bergayut pada kuasa dan imbaslah kembali sejarah ramainya pemimpin dunia yang akhirnya bukan saja kecundang tetapi hidup dalam kehinaan semata-mata kerana ingin berterusan melawan suara keramat rakyat.

Apabila suara rakyat makin membuak-buak, ia adalah isyarat "pergi" yang tidak perlu dilewat-lewatkan lagi. Sokongan berdasarkan "cash is king" daripada Ketua-Ketua Bahagian juga sudah tidak bermakna lagi dalam situasi ini.

Suara penolakan dan kebencian tiada ubatnya lagi, kecuali penawarnya ialah pengunduran Najib dengan serta-merta. Jika tidak, episod demi episod bantahan rakyat bukan saja berlarutan sehingga tarikh pilihanraya akan datang, malah ia akan menyebabkan ketidaktentuan yang berterusan kepada negara.

Bersih 4 adalah isyarat "bye bye" paling nyata dan menunjukkan sudah tiada jalan selamat  lagi buat Najib. (SH 30/08/2015)


Dengan lautan manusia menunjukkan bantahan seperti ini, Najib seharusnya lebih insaf mengenai dirinya....


Buat pertama kali peserta demo sanggup tidur di atas jalan berselimutkan angin malam dan bertilamkan batu sebagai lapik badan...

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive