UtusanDaily

Saturday 5 September 2015

Akhirnya Menteri Ini Mengakui Najib Punca Masalah Negara?

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan bercakap pada sidang media selepas lawatan di PPR Wangsa Sari, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 5 September, 2015.
Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mengakui reputasi Putrajaya tercemar berikutan kritikan yang dilempar terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung derma AS$700 juta, pada persidangan anti rasuah antarabangsa yang baru berlalu.

Bagaimanapun, pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional (BN) itu tidak mengendahkannya dan berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada menyelesaikan isu panas seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan membenarkan siasatan ke atas derma itu selesai.

"Kerosakan sudah terjadi. Ya, kita perlu selesaikan isu 1MDB. 1MDB akan diselesaikan, apa saja cabaran yang mereka hadapi.

"Daripada situ, kita akan dapat terus bergerak ke depan dan mendapatkan semula kepercayaan rakyat," katanya pada satu sidang media di Wangsa Maju hari ini.

Beliau berkata, kerosakan itu tidak dapat dipulihkan, tetapi kerajaan perlu ingat yang serangan terhadap Najib datang daripada ‘mesin yang berjalan lancar’.

Rahman berkata, perwakilan asing pada Persidangan Antarabangsa Anti Rasuah (IACC) ke-16 2015 itu tidak sepatutnya mengkritik Malaysia pada satu acara di mana negara ini menjadi tuan rumah.

"Tak sesuai mereka berkata demikian secara terbuka begitu. Anda tak boleh sesuka hati mengata negara tuan rumah begitu dan begini," katanya.

Persidangan 3 hari di Putrajaya yang berakhir semalam, menyaksikan perwakilan seperti pengerusi Transparency International Jose Ugaz menggesa Najib menjelaskan mengenai dana yang disalurkan ke akaun beliau.

Para aktivis anti rasuah dan pakar dari seluruh dunia juga menuntut Najib menerangkan sekiranya sebarang ikatan dikaitkan dengan sumbangan derma itu.

Rahman berkata, tidak ada gunanya menuntut jawapan pada ketika ini apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memilih untuk tidak menghebahkan kerja yang sedang mereka lakukan.

Beliau berkata, orang ramai hanya perlu menunggu badan anti rasuah itu melengkapkan siasatannya dalam perkara itu.

Beliau juga mengingatkan orang ramai Najib sendiri meminta siasatan dijalankan berhubung dana itu, bermakna perdana menteri itu tiada apa hendak disembunyikan.

Orang ramai juga boleh menjangkakan Najib akan terus memberi penjelasan daripada pihaknya, kata Rahman.

"Tunggu ucapan bajet beliau Oktober nanti, dan pengenalan semua Rancangan Malaysia ke-11 hujung tahun ini.

"Saya rasa perdana menteri ada satu atau dua acara di mana beliau boleh menyampaikan ucapan dasar yang besar.

"Jadi, beliau akan boleh menyampaikan kepada rakyat Malaysia pendirian beliau dan apa tindakan beliau selanjutnya," katanya.

Bulan lepas, SPRM mengesahkan Najib menerima RM2.6 bilion daripada sumber tidak dinamakan dari Timur Tengah untuk satu tujuan yang tidak dikhususkan. – 5 September, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/menteri-akui-reputasi-putrajaya-tercemar-selepas-persidangan-anti-rasuah#sthash.JP4EQIzN.dpuf

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive