Profesion sering dianggap enteng, namun tanggungjawab besar.
TANPA guru siapalah kita? Ungkapan tersebut pastinya
kedengaran klise apabila sering diselitkan dalam ucapan pada setiap kali
sambutan Hari Guru. Tapi kadangkala makna tidak dihayati, hingga
ironinya kita sering anggap kerjaya sebagai pengajar dan pendidik itu
satu tugas mudah.
Sedangkan ia tersangatlah penting kerana berperanan membentuk modal insan negara.
Ilmu diterima daripada si guru jika dipraktikkan amat berguna hinggalah seseorang itu kembali menghadapNYA.
Betapa besar tanggungjawab itu. Jika mudah, tidaklah timbul pelbagai
isu dan gejala negatif dalam kalangan murid dan pelajar masa kini -
daripada soal sahsiah, sosial, jenayah dan pelbagai lagi yang
memeningkan kepala.
Andai kata ibu bapa sendiri tidak mampu menanganinya, apalagi hanya berharap kepada guru.
Kalau memang guru itu dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh
keikhlasan kerana kerjaya itu memang minatnya, mungkin murid atau
pelajar itu bernasib baik.
Tetapi bagaimana pula jika pendidik itu terpaksa menjadi guru? Tidakkah kes naya pelajar itu nanti.
Jadi pula seperti dalam filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Masam Masam
Manis nanti. Dek minat Cikgu Shaari lakonan P Ramlee suka bermain
muzik di kelab malam hingga lewat malam, sampai waktu mengajar dia
kepenatan hingga tertidur dalam kelas.
Diambilnya jalan mudah, anak murid awalnya disuruhnya membaca di papan
hitam tertulis, "Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu main bola", namun
dialog diubah muridnya kepada "cikgu suka tidur", apabila Cikgu Shaari
tertidur dalam kelas. Pada ketika itu juga, bayangkan apa persepsi murid
kepada guru sedemikian yang sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada
anak didik.
Betapa cepat respons anak murid bertukar, bila guru tidak beri tumpuan.
Itu yang kita khuatir. Bukan setakat minat, pastinya keikhlasan penting
bila pikul tanggungjawab kerjaya mulia ini.
Paling penting adakah dapat merentasi ranjau sebagai pendidik apalagi
dengan pelbagai tambahan tugas dan cabaran perlu dihadapi alaf ini jika
dibandingkan guru pada zaman sebelum ICT (teknologi maklumat).
Misalnya era sebelum 70-an ke 80-an, guru dapat mendidik dan
mendisiplinkan murid dengan 'dibantu' penggunaan rotan. Tapi kini silap
hari bulan guru pula disaman oleh ibu bapa murid. Pendek kata,
sikit-sikit saman.
Berlainan dengan ibu bapa dulu, siap beri kebenaran anak dirotan guru
jika buat salah, asal jangan cedera atau patah. Apa pun bagi menangani
salah laku pelajar, Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis
panduan melalui Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959,
iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar lelaki
sahaja dihadkan di tapak tangan atau di punggung dengan arahan guru
besar tanpa mendatangkan kecederaan.
Tapi merotan itu harus bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat
tertutup. Turut dijelaskan kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan
lain dilarang sama sekali.
Jadi mendisiplinkan pelajar terpulang pada tahap kekreatifan guru itu
sendiri. Mungkin, guru dalam dilema juga bila hendak didik dan
disiplinkan pelajar. Kalau terlebih prihatin pun takut bermasalah, buat
biasa-biasa saja dikata tidak ambil peduli, sekadar mahu gaji.
Hakikatnya kita tidak boleh lari daripada kenyataan, masalah disiplin
pelajar kini di tahap membimbangkan. Kenyataan Naib Pengerusi Yayasan
Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye pada Kempen
Cegah Jenayah 2015 lalu, bahawa statistik kes jenayah juvana tahun lepas
dari Januari sehingga Oktober membimbangkan, dengan peningkatan 24
peratus berbanding tempoh sama 2013.
Katanya, dari segi tangkapan, sebanyak 8,015 dibuat untuk tempoh sama
tahun lepas berbanding 6,802 pada 2013. Fakta ini umpama mengiyakan
kebimbangan kita. Pastinya profesion guru bukan enteng kerana
tanggungjawabnya besar.
Justeru menjadi harapan besar supaya tugas sebenar guru itu dapat
diimplementasikan sepenuhnya sesuai dengan tema sambutan Hari Guru tahun
ini ‘Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak’.
Soalnya kini mampukah ia direalisasikan jika profesion guru itu dipilih
hanya berlandaskan minat, terpaksa dek faktor ekonomi, desakan keluarga
atau kebetulan?
Ikuti pandangan dan reaksi orang ramai berkenaan isu Wow kali ini.
No comments:
Post a Comment