HIDAYAH itu milik ALLAH, DIA akan beri kepada sesiapa sahaja yang DIA kehendaki, itulah yang berlaku terhadap Isacc.
Isacc memeluk Islam sejak empat tahun lalu lantas menukar namanya kepada Ishaq Mustaqim, 30-an.
Isacc yang dilahirkan di Montreal, Kanada dibesarkan dalam keluarga
yang berpecah belah, yang mana ayahnya berasal dari Haiti dan emaknya
berasal dari Switzerland.
Dia dibesarkan secara berseorangan oleh ibunya dan wajah ayahnya
langsung tidak pernah muncul dalam ingatannya, kerana sejak dari kecil
ayahnya telah hilang.
Hidup mewah
Menjejak dewasa, hidupnya penuh dengan nikmat dunia.
Bayangkan selama sepuluh tahun hidupnya dilimpahi dengan kemahsyuran
dan kemewahan, tidur bertilamkan duit, ada kuasa dan penghormatan,
baginya sebut sahaja jenama kereta mewah BMW, Porshe, Viper, Hummer,
Jaguar, Mercedes Benz, Cadilac dan semuanya sudah dia miliki.
Rumah? Sebut sahaja jenis yang bagaimana semuanya telah dia miliki.
Pernah satu ketika dek kerana ingin mencuba kelainan dia berpindah
randah dari satu hotel ke satu hotel, di mana harga untuk seminggu dia
menginap memakan belanja AS$10,000 seminggu, serta membelanjakan
USD340,000 untuk membeli pakaian hanya untuk berparti di kelab
eksklusif.
Hidup mewahnya itu adalah hasil daripada kerjayanya iaitu seorang
penjenayah, katanya semua cara jahat dilakukannya asalkan dia berjaya
menjadi seorang jutawan.
Selepas sepuluh tahun menjalani hidup sebegitu, dia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan jenayah.
Kemudian menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan di Kanada.
Cahaya Islam
Semasa di penjara dia ditempatkan dengan seorang Muslim, Muslim itulah yang banyak bercerita tentang Islam kepadanya.
Namun setelah, dia tamat menjalani hukuman penjara keadaan kehidupannya kembali seperti biasa.
Hinggalah dia berkenalan dengan seorang wanita Muslim, emak wanita itu
telah mengesyorkannya agar dia mempelajari Islam…dari situlah hatinya
tergerak untuk mempelajari Islam.
Dia mempelajari Islam melalui penyelidikannya sendiri menerusi al-Quran dan buku tentang Islam.
Akhirnya, dia yakin bahawa Islam agama yang benar, dan telah membawa ia mengucap kalimah syahadah.
Bergaul dengan Muslim
Apabila bergaul dengan Muslim dia menjadi hiba, katanya dia mempunyai
tatu ‘Get Money’ (dapatkan duit) di atas kepala, (dibuat ketika sebelum
memeluk Islam), namun yang menyedihkannya adalah kerana tatu yang sama
juga ada pada anak-anak Muslim, bukan di kepala tetapi di hati mereka.
Katanya, anak-anak Muslim sekarang telah diacah tatu dengan mengatakan
bahawa duitlah segala-galanya, hingga mereka terlupa bahawa ada lagi
nikmat selain duit, iaitu nikmat Islam.
Baginya duit bukanlah segala-galanya
“Duit! Tidak ada apa-apa pun, Hanya Islam yang mampu membuat saya bahagia bukan duit atau kemewahan.
Semua yang saya miliki dalam hidup, duit, kereta, harta benda, rumah, kemewahan tidak pernah membahagiakan saya.
“Semua itu tidak pernah membuatkan saya merasa nikmat hidup sebagaimana yang saya nikmati hari ini.
“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi Muslim, Tidak pernah! Tidak
pernah!,” katanya menerusi rakaman YouTube yang disiarkan menerusi
roadslide2Islam.
Kini Ishaq giat menjalankan dakwah menerusi MustaqimTV dan melakukan kerja kebajikan.
No comments:
Post a Comment