SEDIH dan panas betul hati membaca laporan akhbar mengenai kisah seorang wanita warga emas yang dibunuh cuma kerana dia barangkali bertegas meminta penyewa rumah anaknya di Johor membayar sewa baru-baru ini.
Bukan sahaja penyewa lelaki keparat itu tidak menjelaskan sewanya, malah dia sanggup menekap muka wanita berusia lebih 70 tahun itu dengan bantal hingga tidak bernafas.
Manusia tidak bertanggungjawab, kejam dan tidak berperikemanusiaan macam ini masih ramai di muka bumi ini rupanya.
Bukan sedikit orang yang berhadapan dengan masalah hutang dan pinjaman, sama ada yang memberi atau yang menerima. Saya tidak terkecuali.
Kadang-kadang apabila teringat kes-kes hutang dan pinjaman wang ini, terasa tidak berbaloi cuba menolong setengah orang dari segi pinjaman wang.
Selalu juga saya ingat pesanan ayah dalam beberapa perkara.
Kalau saya ikut nasihat arwah ayah awal-awal lagi, tentu saya selamat dalam banyak keadaan, lebih-lebih lagi dalam kes memberi pinjaman wang.
Kata beliau, kalau perlu tolong orang, tolonglah dengan ikhlas sekadar mampu, tidak perlu meminta dibayar kembali, tetapi jangan biasakan diri bagi pinjam duit pada sesiapa pun.
Menurut ayah saya, apabila bagi pinjam, bukan sahaja duit kita akan lesap, malah besar kemungkinan kita hilang kawan.
Kalau sekadar tidak ditegur untuk mengelak malu tidak apa lagi, tapi ada yang buat cerita lain untuk lari daripada bayar hutang dan akhirnya menjadi seteru.
Tapi kini semuanya sudah terlambat. Kerana tidak patuh dengan kata-kata hikmat ayah itu, saya sendiri, disebabkan perasaan kasihan, sudah beberapa kali terjerat dan tertipu dalam kes memberi hutang.
Ah Long bagi pinjam, terima bayaran berganda-ganda. Saya? Sudahlah bagi pinjam tanpa faedah, wang sendiri hangus tidak dibayar. Lebih menyedihkan, ada yang pandai cipta cerita palsu hingga jadi semacam kita pula yang hutang kepada mereka.
Hari ini saya sedar memang tepatlah kata-kata arwah ayah. Memang padanlah muka saya kerana tidak mematuhi nasihat mudah yang penuh hikmah itu.
Tidak pula saya kira berapa kali sudah kena tipu dan diperbodohkan oleh mereka yang tidak bayar hutang.
Ada yang pinjam kononnya untuk buat perniagaan kecil-kecilan, ada pula yang dakwa terpaksa tolong saudara sambung pengajian dan macam-macam lagi.
Yang beli kereta kita tapi tidak bayar habis jangan disebut lagilah. Bukan saya seorang, ramai rakan yang mengadu jadi mangsa. Dah beli, tak nak bayar habis. Pelik betul!
Antara yang tidak boleh saya lupa adalah kes dua penyewa rumah. Seorang kerani, adik kepada seorang peguam, sewa rumah RM400 sahaja sebulan tapi tidak mahu bayar RM2,500 lebih, walaupun saya menemuinya.
Dia keluar lepas mendakwa tidak mampu bayar dan pindah ke rumah berdekatan. Yang peliknya, rumah baru yang dia sewa itu kadarnya RM500 sebulan. Bolehkah dia bayar? Saya dengar pemilik rumah itu turut menjadi mangsanya lepas itu.
Penyewa yang masuk kemudian lagi hebat. Tak tahulah dia kerja apa, tapi Masa nak masuk, dia pamer berkeping-keping wang dalam cekak, tetapi lepas empat lima bulan, mula enggan bayar sewa sampai meningkat lebih RM6,000.
Apabila disuruh keluar tidak mahu pula; kononnya mahu terus duduk di situ supaya boleh bayar kemudian.
Nak kata apa? Manusia macam itu pun ada. Akhirnya lelaki muka tebal itu keluar; sapu tangan, tinggal habuk. Pemilik macam saya hanya mampu menggigit jari.
Semalam saya jumpa seorang kawan. Dia menyumpah tidak mahu pinjamkan lagi wang atau tolong jadi penjamin atau yang seumpamanya apabila melibatkan wang.
Ceritanya macam selalu kita dengar. Demi untuk menolong kawan lama yang dia percaya, dia bagi tunai lebih RM4,500 dan terima cek sebagai ganti, tetapi apabila dia ke bank keesokan harinya, akaun bank itu sudah ditutup, panggilan tidak dijawab.
Mahu tidak mahu, dia terpaksa buat laporan polis. Sekarang sahabat sudah menjadi musuh ketat. Lihatlah apa sudah jadi akibat hutang dan wang!
Untuk renungan: "Sesungguhnya apabila seseorang itu terlilit dengan hutang, maka apabila berbicara dia akan berdusta dan apabila berjanji dia akan mungkiri," Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
"Demi yang jiwaku ada ditanganNya, seandainya seorang laki-laki terbunuh di jalan ALLAH, kemudian dihidupkan lagi, lalu dia terbunuh lagi dua kali, dan dia masih ada hutang, maka dia tidak akan masuk syurga sampai hutang itu dilunaskan." - Hadis riwayat Ahmad.
No comments:
Post a Comment