UtusanDaily

Tuesday, 30 September 2014

8 juta kg makanan dibuang rakyat Malaysia sehari

Ubah minda rakyat elak pembaziran makanan
Oleh Azran Jaffar

Dalam rancangan Masterchef Australia musim keempat disiarkan lebih setahun lalu, satu daripada cabaran peserta adalah ke restoran yang menjadi rakan pertubuhan bukan kerajaan terbabit dalam program makanan untuk kebajikan, bagi mendapatkan bahan mentah lebihan yang tidak digunakan untuk dijadikan hidangan hebat.

Menariknya, apa diberikan restoran berkenaan bukanlah bahan yang tidak baik, malah ada di antaranya bahan yang boleh dianggap mahal, cuma ia tidak menepati standard restoran berkenaan kerana mungkin tidak lagi sesegar seperti diperlukan restoran berkenaan.

Hasilnya, dengan kemahiran dan kreativiti peserta dapat menghasilkan hidangan cukup menarik setaraf dihasilkan restoran dan hotel lima bintang.

Dalam satu rancangan lain, Extreme Cheapskate, yang memaparkan gaya hidup mereka yang kedekut, dalam episod dipertontonkan rutin seorang wanita yang agak berkira dalam mengeluarkan wang untuk membeli makanan, menggeledah tong sampah di lorong belakang kawasan komersial menempatkan restoran bertaraf bintang untuk mencari sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kebanyakan makanan dibuang masih elok

Sesuatu yang mengejutkan ialah kebanyakan diperoleh wanita berkenaan adalah sayur-sayuran dan buah-buahan yang masih elok, malah dalam bungkusan plastik yang belum dibuka.

Dua contoh ini menunjukkan membuang bahan makanan yang masih elok demi menjaga reputasi terutama dalam kalangan perniagaan adalah satu norma. Bahan berkenaan bukannya tidak elok, tetapi 'sudah luput' dalam standard mereka kerana sebagai restoran bertaraf bintang semestinya mereka mahu memberikan yang terbaik kepada pelanggan yang sanggup berbelanja mahal bagi setiap hidangan dipesan.

Namun begitu, bagi bahan yang sudah dibuang ke dalam tong sampah seperti yang berlaku dalam contoh kedua, walaupun nampak masih baik timbul persoalan mengenai kebersihan dan cemar yang mana memakannya mungkin boleh menimbulkan impak kepada kesihatan.

Difahamkan satu per tiga daripada makanan di dunia dibuang setiap tahun dan di Amerika sahaja, 40 peratus daripada makanan dibuang yang berlaku sejak peringkat ladang yang kemudian berterusan di kedai dan di rumah.

Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini, dan menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Ab Rahim Md Noor, rakyat Malaysia membuang makanan sehingga 8,000 tan atau lapan juta kilogram sehari.

Jumlah itu dikatakan mampu menampung bekalan makanan untuk enam juta orang.

Katanya, perkara itu amat membimbangkan dan pihaknya akan melancarkan Program Transformasi Minda bulan depan bagi mengubah pemikiran masyarakat supaya tidak membuang makanan sesuka hati yang mana pengisian program itu adalah kerjasama pengusaha kedai makanan, hotel serta industri untuk menyumbang makanan lebihan kepada badan kebajikan memerlukan.

Seperti di Australia, melalui pertubuhan penyelamat makanan untuk kebajikan, ia berjaya mengurangkan kadar buangan bahan makanan yang berjumlah kira-kira satu juta tan setahun. Satu daripadanya adalah Food Bank yang mengagihkan makanan yang cukup untuk menghasilkan 32 juta hidangan pada tahun 2011. Bahan makanan itu diperoleh daripada premis perniagaan.

Timbul persoalan mengapa berlaku pembaziran terhadap makanan. Satu daripadanya adalah tidak dapat mengagak jumlah yang perlu dimasak sehingga menyebabkan kadang-kadang terlebih memasak sesuatu hidangan atau menyediakan banyak jenis lauk untuk satu-satu hidangan.

Resipi kitar semula

Ini menyebabkan lauk yang tidak habis akhirnya terbuang. Sebenarnya banyak resipi kitar semula yang boleh digunakan. Apa yang perlu adalah sedikit kerajinan untuk meninjau blog masakan bagi mendapat idea apa yang dapat dihasilkan daripada lebihan lauk yang ada.

Tidak memeriksa apa yang ada dalam peti sejuk juga antara punca berlaku pembaziran makanan yang menyebabkan membeli bahan yang sudah ada atau terlebih membeli sehingga bahan berkenaan tidak sempat untuk dimasak.

Selain itu pembaziran juga berlaku kerana kebanyakan kita pergi membeli barangan keperluan ketika lapar menyebabkan nafsu membeli meningkat sehingga terbeli barangan yang tidak perlu dan tidak tahu bila hendak digunakan.

Justeru, transformasi minda seperti yang ingin dilaksanakan PPSPPA bagi menyedarkan masyarakat untuk tidak membazir makanan adalah satu ruang untuk mengatasi perkara ini. Ia juga mungkin dapat menyedarkan mereka yang selalu membazir makanan, bahawa di luar sana terdapat mereka yang memerlukan dan wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk membantu golongan ini.

Selain itu, ia juga membantu kerajaan kerana beberapa bahan makanan yang ada di pasaran diberikan subsidi bagi membolehkan pengguna mendapatkannya pada harga yang rendah dan pada masa sama membantu PPSPPA mengurangkan kos pelupusan sisa pejal yang mana jika dicampurkan dengan makanan yang dibuang membabitkan berbilion ringgit.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive