Ustaz apa hukumnya, seorang adik yang hidup senang membantu ibu bapa setiap bulan tetapi masa yang sama merendah-rendahkan martabat abang-abangnya hanya kerana mereka kurang memberi kerana bergaji kecil. Walau pun abang-abang ada memberi sedikit wang tetapi mereka menyumbang dari segi lain. Cuma si adik suka menunjuk-nunjuk apa yang telah diberi kepada ibu bapa mereka untuk tontonan semata-mata untuk memerli abang-abang mereka tentang tanggungjawab. Mohon penjelasan daripada ustaz mengenai kemusykilan ini.
 
Kiriman :-
Puan Rosita
 
JAWAPAN
Sidang pembaca yang dihormati sekalian, memberikan nafkah kepada ibu bapa adalah kewajipan seorang anak. Seorang anak tidak boleh menafikan tanggungjawab ini. Hari ini terdapat banyak kes anak-anak yang tidak mahu menjaga dan bertanggungjawab kepada kedua orang tua mereka. Ada yang ditinggalkan di hospital, rumah orang tua dan dihalau dari rumah mereka sendiri. Banyak dalil yang menyatakan bahawa tanggungjawab anak kepada ibu bapa.
 
 Firman Allah dalam surah Luqman ayat 15:
 
“Jika keduanya (ibu bapa) memaksa untuk mempersekutukan aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau mentaati keduanya, dan bergaullah dengan keduanya di dunia ini dengan cara yang baik.”
 
Firman Allah dalam surah al Ankabut ayat 8:
 
“dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu ayah.”
 
Dalam surah al Isra’ Allah berfirman:
 
“Dan tuhan telah memerintah supaya kamu jangan menyembah melainkan kepadanya saja dan supaya kamu berbuat baik kepada ayah ibu. Jika salah sorang dari keduanya atau kedua-duanya sampai kepada usia yang dalam jagaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu berkata kepada mereka (perkataan yang kasar) uf (ah) dan jangan kamu membentak mereka, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”
 
Daripada dalil di atas jelas bahawa adalah satu kesalahan yang amat besar apabila seorang anak tidak menjaga dan menguruskan ibu bapanya terutama lagi apabila mereka telah berusia.
 
Dalam persoalan mengungkit-ungkit pemberian dan menyalahkan adik beradik lain tidak menjalankan tanggungjawab dan selalu menunjuk-nunjuk akan pemberian dan kemudian suka memerli adik beradik lain ini adalah persoalan sikap dan akhlak.
 
Memanglah kita akui bahawa dalam kalangan adik beradik rezeki dan pendapatan mereka berbeza. Sudah tentulah pemberian dan nafkah kepada ibu bapa mereka berbeza mengikut kemampuan mereka pula. Tetapi adalah menjadi satu kesalahan apabila kita mempamerkan pemberian kita kepada orang lain. Apa lagi kalau kita hanya menunjuk kepada orang lain kita sahaja yang bertanggungjawab dan yang lain tidak.
 
Pemberian dan nafkah ini tidak ikhlas kepada Allah dan ditakuti ia tidak akan diterima di sisi Allah SWT.  Apa perlunya kita pamerkan pemberian kita kepada orang lain melainkan untuk riak dan menunjuk-nunjuk. Kalau kita menuduh orang lain tidak bertanggungjawab maka itu juga satu kesalahan. Adakah kita mempunyai bukti akan dakwaan kita itu.
 
Dalam Islam pemberian atau sedekah kita atau nafkah kita ada yang perlu dizahirkan dan ada yang perlu disembunyikan. Misalnya zakat perlu dizahirkan supaya tidak menjadi fitnah bahawa kita menunaikan zakat. Tetapi sedekah sebolehnya disembunyikan daripada pengetahuan orang lain. Solat Jumaat, solat berjemaah di masjid dan di surau tetapi solat sunat sebaiknya hendaklah ditunaikan di rumah dan tidak diketahui oleh orang lain.
 
Perbuatan menunjuk-nunjuk dan mendakwa orang lain tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab lahir dari hati yang tidak ikhlas. Sedangkan ikhlas datang daripada niat. Ini bermaksud kalau kita tidak ikhlas dalam amalan ibadah dan tanggungjawab maka tiadalah pahala di sisi Allah.
 
Penulis berharap agar ditegur adik yang berperangai itu tadi. Pemberian dan nafkah hendaklah dengan ikhlas. Kalau ada di antara adik beradik yang tidak mampu membantu ibu bapa itu kerana kesempitan hidup mereka jadi mereka hanya membantu apa yang termampu sahaja.
 
Ingatlah Allah hanya menerima amal yang ikhlas dan semata-mata kerana Allah. Dalam satu hadis diceritakan pada hari akhirat nanti Allah akan berkata kepada mereka yang menunjuk-nunjuk amal mereka supaya pergi kepada orang yang ditunjukkan amal itu dan mintalah jika mereka boleh memberikan pahala. Sudah tentu tidak.