Solat Bersolek, Telekung Pula Berwarna
Apakah hukumnya bersolat dalam keadaan bersolek? Bagaimana pula solat
dengan mengenakan telekung pelbagai warna dan berkerawang yang boleh
mengganggu tumpuan orang lain.
JAWAPAN
Alat solek yang dibuat daripada bahan halal adalah harus digunakan
manakala alat-alat solek yang dibuat daripada bahan-bahan tidak halal
atau tidak suci maka hukumnya adalah najis dan tidak boleh dibawa di
dalam solat.
Memakai alat solek dalam solat setakat yang dibenarkan oleh syarak
adalah harus. Pemakai alat solekan hendaklah membasuh muka terlebih
dahulu kerana ditakuti alat-alat solek itu tadi akan menghalang air
daripada terkena kulit muka atau pewarna rambut yang menghalang air
sampai kepada rambut ataupun pengilat kuku yang menghalang air sampai ke
kuku.
Apa saja yang menghalang air sampai kepada anggota wuduk akan mengakibatkan wuduk tidak sah. Apabila
wuduk tidak sah maka solat pun tidak sah. Kepada wanita ataupun mungkin
lelaki yang ingin menggunakan alat solek hendaklah memastikan bahawa
alat solek yang digunakan dibuat daripada bahan-bahan suci atau tidak
najis.
Ini kerana produk-produk kecantikan pada hari ini ada yang menggunakan
bahan-bahan najis dalam penghasilannya. Jadi bahan-bahan itu tidak boleh
dibawa ke dalam solat. Misalnya ia diperbuat daripada bahan-bahan
haiwan ataupun apa saja yang tidak halal.
Wanita yang hendak menggunakan alat solek hendaklah membersihkan
terlebih dahulu muka mereka daripada alat solek. Jika solekan penuh di
muka, dikhuatiri air wuduk tidak sampai ke muka.
Sebahagian wanita suka kepada solekan melampau. Ini terlalu menarik
perhatian orang lelaki dan solekan yang melampau ini adalah diharamkan
dalam Islam.
Pastikan bahan halal dan suci
Kalau hendak bersolat maka sebenarnya tidak perlu bersolek, yang
diperlukan adalah wuduk yang sempurna, pakaian yang sesuai dan sah dari
segi syarak dan hati yang khusyuk bukannya solekan.
Sepatutnya sebelum menggunakan sesuatu produk itu kita hendaklah teliti
terlebih dahulu bahan-bahannya, adakah ia diperbuat daripada
bahan-bahan halal atau sebaliknya.
Perkara ini perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana ia adalah
penting sama ada kita boleh menggunakannya atau tidak. Kalau ia
diperbuat daripada bahan-bahan suci dan halal tidak mengapa tetapi jika
bahan-bahan najis yang haram apalagi bahan-bahan kimia yang boleh
membawa kemudaratan maka ia adalah najis dan ia tidak boleh dibawa ke
dalam solat.
Menggunakan bahan-bahan yang boleh membawa kemudaratan adalah
diharamkan kerana Islam melarang umatnya mencampakkan mereka ke dalam
lembah kemudaratan.
Mengenai soalan telekung pula, sebenarnya tidak menjadi kesalahan dalam
menggunakan telekung berwarna-warni dan penuh kerawang. Di antara
syarat sah solat adalah menutup aurat dan Islam tidak pula menetapkan
warna tertentu dalam penggunaan pakaian solat dan Islam juga tidak
menetapkan jenis atau bentuk pakaian tertentu untuk digunakan dalam
solat.
Haram jika mahu menunjuk-nunjuk
Penggunaan telekung adalah sebahagian daripada adat resam berpakaian
kepada sebilangan besar masyarakat kita di tanah Melayu ini. Samalah
juga dengan penggunaan kain pelikat oleh lelaki dalam solat.
Pada asalnya telekung adalah berwarna putih dan tidak begitu banyak
bunga hiasan atau kerawang tetapi hari ini terdapat banyak fesyen dan
corak kerawang berwarna-warni.
Hukum asalnya adalah harus menggunakan telekung tidak kira apa jua
warnanya tetapi apabila dikira ia akan mengganggu tumpuan orang lain
dengan keunikan corak dan kerawang yang banyak serta warna yang amat
menarik perhatian orang lain maka saya rasa ada yang perlu ditegur di
sini.
Apakah tujuan si pemakai telekung tersebut? Kalau ia hanya pakaian
solat semata-mata tanpa ada niat lain maka harus tetapi boleh menjadi
haram jika disertai oleh niat lain iaitu riak dan menunjuk-nunjuk maka
hukumnya adalah haram kerana pemakainya sudah tidak ikhlas dan riak
adalah sifat mazmumah yang perlu dihindari.
Kalau pemakainya ikhlas dan tidak ada tujuan lain dalam hatinya tetapi
boleh mengganggu orang lain maka sebaik-baiknya hendaklah dia memakai
pakaian lain yang sesuai.
Dalam solat berjemaah kita hendaklah memakai pakaian yang sesuai dan
berhati-hati dalam memilih pakaian walaupun tiada niat lain tetapi kita
telah menarik perhatian orang lain maka dalam Islam itu sudah dianggap
berhias yang boleh meresahkan orang lain.
Kepada wanita yang memakai telekung yang boleh dianggap terlalu menarik
dan boleh mengganggu tumpuan orang lain maka seeloknya hanya memakai
telekung tersebut di rumah sahaja supaya tidak menimbulkan fitnah.
Kadang-kadang si pemakai tiada niat dan tidak ada tujuan tidak baik
tetapi pandangan dan fikiran orang lain yang suka menimbulkan
kontroversi ataupun fitnah maka inilah peluang mereka menabur fitnah dan
sangkaan-sangkaan buruk kepada si pemakai itu.
No comments:
Post a Comment