UtusanDaily

Tuesday, 18 March 2014

Jalaluddin Hassan cerita kisah beliau hampir dicabul

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my

PROFILNYA sebagai seorang pelakon senior yang disegani tidak perlu diperdebatkan lagi.

Tiada dua, cuma satu-satunya Jalaluddin Hassan, 60, bakat hebatnya dalam dunia lakonan itulah yang menjadikan siapa dirinya sekarang.

Namun siapa sangka anak ketiga daripada 13 beradik ini begitu degil orangnya. Malah penglibatannya dalam dunia lakonan sebenarnya tidak pernah mendapat restu keluarga terutama bapanya, Tan Sri Hassan Azhari, seorang tokoh agama yang disegani.

Bapanya itu sudah lama menaruh hasrat dan harapan agar anak ketiganya itu menyambung pengajian di peringkat universiti selepas tamat persekolahan.

Paling tidak, Jalal (panggilannya) adalah harapan dalam keluarga untuk mengikut jejak langkah dua abangnya, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan politik, Datuk Fuad Hassan yang telah pun ke menara gading bagi menimba ilmu.

Seperti tidak tahu arah tujuan dan kecenderungannya waktu itu, Jalal hadir dengan keputusan yang memeranjatkan bapanya.

“Saya tak mahu sambung belajar. Nekad saya katakan kepada ayah sedangkan harapannya untuk melihat saya sambung belajar seperti abang-abang begitu tinggi.

“Ya, saya telah hancurkan harapannya sewaktu itu. Dia begitu kecewa.

“Bila ditanya kenapa, saya jawab saya tak tahu apa yang saya mahukan. Saya tak tahu nak jadi apa. Saya tak ada perancangan sedangkan keputusan peperiksaan saya juga bagus.

“Kemudian ayah katakan kenapa saya boleh bertahan selama 13 tahun belajar di sekolah namun tak boleh nak lanjutkan cuma dua atau tiga tahun belajar di universiti, tidakkah itu merugikan?

“Saya cuma diam. Sedangkan dalam hati sebenarnya saya sudah ada niat nak jadi pelakon. Cukup minat. Tetapi hasrat itu cuma disimpan dalam hati dan tidak disuarakan kepada ayah sebab saya tahu, dia tak akan berikan lampu hijau untuk keputusan itu.

“Sedar yang saya telah menggagalkan impian ayah, saya buat keputusan untuk hidup berdikari. Masih tinggal bersama keluarga cuma apa saja yang ayah dan ibu sediakan, saya tak akan ambil dan sentuh.

“Dia belikan baju, saya tak ambil, dihidang makan, saya tak makan sebaliknya keluar makan sendiri. Saya jadi begitu kerana malu dengan ayah dan tak mahu menyusahkan dia lagi," ceritanya.

Ketika berusaha untuk berdikari kata Jalal, dia akhirnya bekerja dengan sebuah syarikat import eksport di Kuala Lumpur. Pada usia 19 tahun, apa sahaja pekerjaan yang dirasakan boleh, dia akan lakukannya tanpa was-was.

Kejutan dunia pekerjaan

Mengaku cuma bertahan selama setahun bekerja di syarikat berkenaan cerita Jalal, dia terpaksa berhenti daripada syarikat tersebut kerana satu sebab melucukan.

Bukan kerana dia dilabel sebagai pekerja bermasalah tetapi Jalal berhenti kerana bimbang dengan kesungguhan pemilik syarikat berkenaan yang mahu Jalal menunaikan permintaan ‘luar biasanya’.

“Pemilik syarikat sangat sayangkan saya sehingga menganggap saya ini pekerja harapan syarikat berkenaan. Dek terlalu sayangkan saya, dia juga menyatakan hasrat untuk menjadikan saya menantunya. Dia mahu saya berkahwin dengan anak perempuannya. Saya terkejut.

“Saya tolak dengan cara baik sebelum hantar surat berhenti," katanya yang juga mengaku mula mengenal kerenah dunia pekerjaan yang penuh hitam putih.

Tidak putus asa untuk meneruskan kelangsungan hidupnya, Jalal kemudiannya berjaya meraih peluang pekerjaan sebagai seorang pelayan restoran makanan segera A&W di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).

Menyedari bahawa ke mana sahaja haluan pasti ramai yang memberi perhatian dan sayang padanya cerita Jalal, di A&W juga menyaksikan satu pengalaman berharga buat dirinya.

Mudah berkawan dengan semua orang, Jalal mengenali Peter, anak seorang majistret yang datang daripada keluarga berada namun bekerja sebagai seorang pelayan di restoran yang sama dengannya.

“Peter disuruh oleh bapanya untuk belajar hidup berdikari. Biarpun keadaan dirinya yang kurang upaya, Peter kuat semangat. Cuma apabila di tempat kerja, rata-rata pekerja suka membulinya kecuali saya yang sudi berkawan dengannya.

“Setiap kali dibuli, dia panggil saya minta diselamatkan. Dia sangat sayangkan saya sehinggakan apabila satu hari saya buat keputusan untuk berhenti, dia menangis tak mahu saya tinggalkan dirinya.

“Iyalah siapa lagi yang mahu selamatkan dia selepas itu kalau dibuli lagi? Peter memang lucu. Banyak yang saya belajar semasa bekerja di situ. Selepas berhenti sehingga sekarang saya tak pernah bertemu Peter. Kami terputus hubungan," katanya.

Bercerita lanjut kata Jalal, dia kemudiannya bekerja di sebuah syarikat antarabangsa, East Asiatic di Jalan Ampang.

Menurutnya, dia juga bertuah kerana selepas tiga bulan menjalani latihan pekerjaan, dia terus diserap sebagai pekerja tetap dan memegang jawatan kerani sehingga dicemburui oleh kebanyakan pekerja lain.

Jalal tidak lama memegang jawatan kerani apabila dinaikkan pangkat menjadi penyelia.

“Masa itu, saya sudah pun berkahwin. Nak dijadikan cerita, saya telah dipanggil masuk ke pejabat pemilik syarikat berkenaan yang merupakan seorang lelaki Inggeris yang sudah lanjut usia sedangkan saya ketika itu berusia dalam 20-an.

“Berbual dengannya di dalam pejabat, bos saya itu hairan kenapa saya cuma kerja biasa-biasa sedangkan dia melihat saya mahir berbahasa Inggeris. Saya katakan sebenarnya saya mahu menimba pengalaman hidup di samping menanam hasrat untuk menjadi pelakon.

“Namun selepas saya katakan begitu, dipendekkan cerita, tiba-tiba dia cuba membuka seluarnya dan mahu melakukan perbuatan tak senonoh. Saya tak cakap banyak, angkat kaki dan lari macam tak cukup tanah! Terkejut.

“Pertama kali saya berdepan dengan manusia sepertinya. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Marah, sakit hati, semuanya ada," katanya sebelum berjaya meraih impian bergelar pelakon dengan kemunculan pertamanya menerusi drama Santan Berlada.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive