UtusanDaily

Friday, 21 March 2014

Aura Dr Nik Salida Suhaila

Dr Nik Salida Suhaila
Dr Nik Salida Suhaila


DIRINYA kelihatan cukup tegas dalam setiap kemunculannya di kaca TV. Berpadanan dengan tanggungjawabnya sebagai penceramah.

Dalam masa sama, tugas hakikinya adalah sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Biarpun begitu, kemunculannya di kaca TV sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat setianya.

Itulah 'kekuatan' auranya dalam menarik perhatian.

Bagaimanapun, dalam kehidupan sebenar, wanita ini adalah seorang yang mudah mesra, biarpun baharu pertama kali bersua muka.

Orangnya pula cukup ramah-tamah. Penampilannya juga cukup sederhana.

Setiap tutur katanya tersusun rapi, malah, sesekali bercanda dengan media.

Dan kerana itu jugalah, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh sangat disenangi dalam kalangan rakan sejawat dan para pelajarnya.

"Inilah personaliti saya yang sebenarnya.

"Seorang yang gemar membuat lawak, selamba dan kuat mengusik," katanya kepada Zass.

Suami jadi 'pengkritik tetap'

Panggilan daripada produksi Al-Kuliyyah terbitan stesen TV3, sebagai panel program itu, pada 2007, menjadi detik pertama buat Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh mula 'terjebak' di kaca televisyen (TV).

Sebelum ini, tidak pernah terlintas di hatinya untuk menjadi penceramah apatah lagi selepas berumah tangga, suaminya tidak begitu merestui hasratnya untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat di kaca TV.

Lebih-lebih lagi, kerjaya mereka sebelum itu sebagai pengamal undang-undang turut dilihat suami tidak sesuai buat dirinya yang kini lebih mesra disapa sebagai Ustazah Nik Salida untuk berkecimpung dalam bidang komersial.

"Pada mulanya, saya menolak tawaran itu kerana suami tidak mengizinkan.

"Tetapi, penerbitnya tidak putus asa dalam memujuk. Bukan pujuk saya, tapi pujuk suami saya.

"Bila masa mereka pujuk pun saya tak tahu, tiba-tiba suami beritahu, dia kasihan lalu terima tawaran berkenaan," katanya pada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.

Mengakui 'kekok' pada pada awal kemunculannya, Nik Salida bagaimanapun menjadikan suaminya sebagai 'pengkritik' tetap.

"Saya ambil masa yang cukup lama untuk membiasakan diri. Setiap kali saya muncul di kaca TV, suami sering kata itu bukan diri saya.

"Malah, untuk satu tempoh, saya tidak pernah dengar sesuatu yang positif dari mulutnya," katanya lagi sambil tergelak.

Berkat daripada usahanya yang bersungguh-sungguh, akhirnya Nik Salida berjaya menjadi penceramah yang disegani kini.

Malah, bermula dari situ juga, beliau kemudiannya menerima pelbagai tawaran seperti Halaqah, Mencari Menantu, Al Hidayah, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Tanyalah Ustazah, 3 Ustazah dan lain-lain.

Begitu pun, kata Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) ini, keseronokannya adalah di kampus.

"Keseronokan saya di bilik kuliah dengan pelajar, itu adalah minat saya.

"Asalnya, saya paksa diri setiap kali melibatkan diri dengan program di kaca TV.

"Ini kerana, ia bukanlah cita-cita dan kemahuan saya," katanya.

Minat menulis

Dr Nik Salida Suhaila



Biarpun dikenali sebagai penceramah dan pensyarah, suatu ketika dulu Nik Salida sebenarnya pernah bergelar seorang peguam syariah walaupun minat asalnya adalah dalam bidang penulisan.

"Dulu, masa kecil-kecil, saya selalu berdoa nak jadi peguam, pensyarah dan doktor. Itulah skrip hari-hari, sampailah ke hari ini.

"Akhirnya, ALLAH SWT memakbulkannya. Kadang-kadang, doa kita dengan ALLAH SWT, kita pun lupa. Tapi, ALLAH SWT tidak pernah lupa dan DIA mengambil perhatian.

"Cuma, dulu, saya tidak pernah pula berdoa nak jadi penulis. Mungkin sebab itu sampai sekarang tidak 'menjadi'," katanya.

Begitu pun, jelasnya, kerana terlalu suka akan bidang itu, Nik Salida mula menulis untuk majalah Dewan Siswa sejak tingkatan satu dan terus menulis hingga sekarang.

"Setelah tamat pengajian, saya mula aktif menulis. Ketika itu, saya menulis artikel untuk akhbar Utusan Malaysia.

"Hobi itu tetap kekal, lebih-lebih lagi setelah saya menjadi salah satu kolumnis di akhbar Berita Harian sehingga kini," kata ibu kepada tiga anak ini.

Nik Salida menulis berasaskan kepada isu semasa tetapi ada kandungan undang-undang dan agama terutamanya syariah.

Pengacara program Al Maraaya

Terbaharu, Nik Salida dilamar stesen TV Al Hijrah untuk mengacarakan program Al Maraaya yang kini memasuki musim kedua.

Program musim baharu itu mula bersiaran di saluran TV berkenaan, setiap Jumaat mulai 14 Februari lalu, jam 12 tengah hari.

Program Al Maraaya diterbitkan sebanyak 13 episod dan menariknya untuk musim baru ini, penggambaran dibuat di Masjid Seksyen 13, Shah Alam, Masjid Usamah, Wangsa Maju, Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa dan Masjid Khalid Alwalid di
Kementerian Pertahanan.

Rancangan ini mula diperkenalkan kepada penonton pada Ramadan 2013 yang memperkatakan topik wanita dan Ramadan.

Bagaimanapun, untuk musim terbaharu ini, skop perbincangan diperluaskan lagi dengan memilih Kisah Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran sebagai rujukan.

Antara topik pilihan untuk dikongsi dengan masyarakat, Ratu Balqis yang memfokuskan kepada kekuatan seorang wanita dalam sesuatu organisasi dan keluarga, Tuhan Mendengar Keluhanku, Muslimah Unggul, Aurat Darurat, Hak Hawa, Sekadar
Pinjaman, Ada Apa Dengan Jodoh?, Dari Kerana Mata, Hanyut Dalam Pujian, Ummahat Al Mukminin , Yang Menipu Itu Harta dan Cabaran Ibu Berkerjaya.

Jelas Nik Salida, Al Maraaya diterbitkan khusus untuk penonton wanita terutama isteri, ibu dan anak.

"Golongan wanita juga adalah pemimpin yang memerlukan ilmu untuk menangani segala aspek kehidupan apatah lagi wanita yang berkerjaya yang terpaksa membahagikan masa untuk kerja dan rumah tangga.


"Sebagai anak pula mereka ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan terhadap ibu bapa dan mereka juga perlu tahu hak mereka sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive