SEMALAM genap lapan hari MH370 dilaporkan hilang. Meskipun segala usaha menemui jalan buntu, namun ia tidak mematahkan semangat seluruh rakyat Malaysia, bahkan di seluruh dunia untuk terus berdoa dan berharap agar pesawat malang itu kembali dengan selamat.

Tidak terkecuali bagi tiga selebriti tanah air, Sherry Ibrahim, Danny X Factor dan Uqasha Senrose, yang turut mengharapkan keajaiban berlaku.

Pernah menjadi sebahagian dari 'anak kapal' dalam dunia penerbangan, ketiga-tiga selebriti ini turut berkongsi pengalaman ketika bertugas di awan biru.

Enjin terbakar- Sherry

Empat tahun bergelar pramugari, pelakon cantik, Sherry Ibrahim, mengakui bukan mudah menggalas tanggungjawab itu, sementelah ia berkait rapat dengan keselamatan penumpang.

Menurut Sherry, sepanjang penerbangan dia perlu menjadi orang yang paling tenang meskipun berdepan di saat yang mencemaskan.

Malah akui Sherry, dia pernah berdepan situasi cemas yang sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap dirinya.

"Semasa penerbangan dari KL ke Thailand tiba-tiba saja enjin terbakar dan ketika itu juga kami terus menerima 'alert' dari kapten yang bertugas.

"Memang masa itu, saya rasa takut sangat. Tapi sebagai anak kapal, kami ikut prosedur latihan  yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Alhamdulillah, atas kepakaran kapten, pesawat dapat meneruskan penerbangan meskipun dengan hanya menggunakan satu lagi enjin pesawat yang berfungsi," katanya.

Dalam pada itu, Sherry turut melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan individu yang terlibat secara langsung bagi dalam penerbangan MH370 yang kini masih belum ditemui.

“Teruskan berdoa dan serahkan kepada qada’ dan qadar. Secanggih mana pun teknologi yang kita gunakan, kita perlulah meminta pertolongan pada ALLAH SWT kerana Dia lah Yang Maha pemberi petunjuk.

“Yang penting, kita semua perlulah bersatu. Ini bukan masa untuk mengaitkannya dengan politik dan benda yang tidak berfaedah," katanya yang turut mengkritik tindakan bomoh VIP dalam cubaan merungkai misteri kehilangan pesawat malang itu.

Pelakon Teduhan Kasih ini juga memohon kerjasama orang ramai supaya terus memberikan sokongan moral kepada ahli keluarga dan sentiasa berdoa demi keselamatan semua penumpang serta anak kapal MH370.

Selain itu, Sherry turut meminta agar segala spekulasi dan tindakan yang boleh mengguris hati keluarga mangsa dihentikan serta-merta.

“Tolonglah berhenti daripada menyalahkan sesiapa. Apa yang perlu dilakukan sekarang, semua negara patut bersatu bagi mengesan kehilangan MH370.
Ia merupakan sebuah kemalangan yang tidak kita jangka,” katanya yang turut mengakui mengenali beberapa  'anak kapal' yang terlibat dalam insiden itu.

Pesawat menjunam- Danny

Sepertimana Sherry, aktor yang berasal dari Kelantan ini juga pernah berdepan situasi yang mencemaskan ketika bertugas sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan, 11 tahun lalu.

Menurut Danny, sebagai anak kapal, dia sudah dilatih agar sentiasa bersedia setiap kali berhadapan dengan sebarang kecemasan.

Bagaimanapun, detik cemas ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.

“Masa tu pesawat terbang dalam keadaan 'tiada angin'. Ia jadi tak seimbang dan bergerak kurang lancar, sehingga membuatkan pesawat sedikit menjunam

“Ketika itu juga pinggan mangkuk dan troli semuanya terbalik. Memang kami semua pun cemas, namun sebagai ‘crew cabin’ kami terpaksa berlagak tenang dan cuba mengawal situasi.

"Mujurlah situasi cemas itu tak lama dan semuanya dapat diatasi baik oleh juruterbang bertugas," katanya.

Walaupun berdepan situasi getir itu, namun bagi bekas anggota X-Factor ini, dia tidak pernah serik menyandang tugas di awan biru.

Bagi Danny, kerjaya sebagai pramugara bukan hanya untuk meraih populariti semata-mata, sebaliknya ia mampu membentuk seseorang itu menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab .

“Setelah menimba banyak pengalaman, mentaliti saya secara keseluruhannya berubah, saya lebih didoktrinkan kepada menjaga keselamatan dalam kapal.

“Malah saya juga diajar untuk terima ketentuan dan reda dengan setiap kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya.

Turut bersimpati dengan nasib yang menimpa pesawat MH370, Danny berharap agar orang ramai jangan berputus asa sebaliknya teruskanlah mendoakan keselamatan pesawat malang itu.

“Saya sendiri juga masih mendoakan agar keajaiban berlaku. Mudah-mudahan, pesawat ini ditemui jua. Kepada ahli keluarga mangsa, saya berharap mereka terus diberi kekuatan untuk menempuh dugaan ini," katanya.

Uqasha cedera ringan

Dua tahun terbang di awan biru, memberikan pengalaman yang besar buat pelakon Paku Pontianak, Uqasha Senrose, Turut menghadapi situasi cemas ketika dalam penerbangan, Uqasha berkata, perkara itu membuatkan dia serik untuk meneruskan tugas sebagai pramugari.

"Gangguan ketika penerbangan itu perkara biasa. Tapi ia merupakan cabaran besar buat 'anak kapal' yang bertugas.

"Saya sendiri pun pernah tercedera dan lebam-lebam, di saat pesawat hilang kawalan.

"Walaupun takut, kami terpaksa berlakon tenang demi penumpang, sebagai 'anak kapal' kita tak boleh nampak lebih cemas daripada penumpang. Itu semua dah jadi tanggungjawab,” katanya.

Turut bersedih dengan nasib yang menimpa pesawat MH370, Uqasha berkata, insiden ini mungkin agak sukar diterima orang ramai memandangkan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Saya berharap orang ramai terus mendoakan supaya ALLAH SWT memberi petunjuk dan biarlah kita mengetahui daripada sumber yang sahih, tanpa mencanangkan perkara yang tak betul.

“Tunggu sahaja pengumuman rasmi yang akan dibuat. Sementara itu, ikhtiar kita hanyalah doa supaya dipermudahkan jalan dan diberikan petunjuk oleh yang Maha Kuasa,” katanya.