UtusanDaily

Monday, 20 January 2014

Ulama jangan batasi sebar ilmu

Ulama jangan batasi sebar ilmu
Oleh: APINAH AB GHANI
Tarikh: January 20, 2014

KOTA BHARU - Ulama digesa lebih giat menyebarkan ilmu dan memimpin masyarakat ke arah kebaikan, selain tidak hanya membatasi penyebaran ilmu dalam kalangan mereka sahaja.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, situasi semasa memerlukan ulama mempunyai pelan tindakan dalam usaha menangani setiap permasalahan yang timbul dengan cara lebih proaktif.

"Peranan ulama tidak boleh terhenti setakat menyebarkan ilmu sesama kita sahaja, sebaliknya wajib turun ke medan bersama masyarakat yang semakin jauh daripada nilai Islam.

"Golongan ulama perlu mempunyai pelan bertindak bagi menangani situasi semasa terutama melibatkan masalah sosial dalam kalangan anak muda dan menjadi nadi penting ke arah perjuangan Islam di negeri ini," katanya ketika berucap merasmikan Ijtimak Ulama Nusantara, di sini, semalam.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan Pusat Pembangunan Pondok Berhad ini turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Mohd Nassuruddin Daud serta Pengarah JHEAIK, Datuk Che Mohd Abdul Rahim Jusoh.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya yakin kekuatan membangun bersama Islam yang didokong kerajaan negeri dan dimantapkan ilmu ulama banyak membantu rakyat membuat pilihan tepat, sekali gus menolak politik sekular.

"Bagi pihak kerajaan, kita yakin dengan kekuatan yang ada, di samping kehebatan institusi pondok melahirkan generasi rabbani, banyak membantu rakyat dalam membuat pilihan dan menolak politik sekular yang meminggirkan Islam dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap, ijtimak (perhimpunan) tersebut mampu melahirkan resolusi yang mantap dan bermanfaat ke arah memperkasakan ulama Nusantara, seterusnya mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam di alam Melayu yang pernah mencatat sejarah satu masa dulu.

Sementara itu, Nassuruddin berkata, ijtimak ulama yang menghimpunkan peserta dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia itu penting bagi memastikan sistem pendidikan pondok terus  hidup dalam negara serta Kelantan khasnya.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive