Plaster penutup luka ini ditemui dalam nasi lemak dimakan oleh pengadu.
SEREMBAN - Seorang wanita terkejut bukan kepalang apabila menjumpai
cebisan pembalut penutup luka dalam nasi lemak yang dihidangkan
kepadanya oleh sebuah syarikat penerbangan tempatan, baru-baru ini.
Pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Tay, 33, berkata, kejadian itu
berlaku pada 6 Januari lalu sekitar jam 10 pagi, ketika sedang
mengikuti penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan atas urusan kerja.
“Semasa dihidangkan, saya tidak nampak sebarang keganjilan pada nasi
lemak tersebut. Bagaimanapun, selepas menghabiskan hampir 80 peratus
nasi lemak berkenaan, barulah saya perasan ada sesuatu yang tidak kena.
“Pada awalnya, saya sangkakan objek ditemui hanyalah cebisan sotong
dalam sambal nasi lemak. Namun, saya mula berasa loya dan jijik apabila
mendapati benda asing itu merupakan pembalut luka terpakai,” katanya
kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Katanya, tidak berpuas hati dengan kejadian itu, dia segera memanggil
ketua krew kabin bertugas untuk melihat sendiri objek dijumpai dalam
makanan yang mereka sediakan.
“Malangnya, respons diterima agak mengecewakan. Dia kelihatan acuh
tidak acuh apabila diberitahu penemuan plaster luka berkenaan dan
sekadar meminta saya mengemukakan aduan bertulis untuk tindakan susulan.
“Sehingga kini, saya masih menunggu jawapan daripada mereka (syarikat
penerbangan) yang terus berdiam diri dalam hal ini,” katanya.
Menurutnya, kesal dengan syarikat penerbangan tersebut yang seolah-olah
bersikap lepas tangan terhadap masalah dihadapi menyebabkan dia membuat
aduan kepada media.
“Bukan wang ringgit atau pampasan yang saya mahukan, cukuplah sekadar
permohonan maaf daripada mereka. Saya harap, tindakan sewajarnya juga
dapat diambil agar kejadian sama tidak berulang.
“Mujurlah saya tidak mengalami masalah kesihatan serius kecuali sedikit
alahan pada kulit selepas makan hidangan itu. Sedikit sebanyak, saya
berasa trauma dan serik untuk untuk menggunakan perkhidmatan syarikat
penerbangan terbabit,” katanya.
Sementara itu, Adun Rahang, Mary Josephine yang ditemui di pejabatnya,
dekat sini berkata, pihaknya bersedia membantu pengadu dalam segala
aspek.
“Kecuaian dilakukan tidak boleh diterima. Nama baik negara pasti akan
tercemar jika pelancong asing yang berdepan situasi sebegini.
“Kita minta pihak berkaitan beri perhatian serius dalam perkara ini dan
kita berikan tempoh seminggu untuk beri maklum balas,” katanya.
No comments:
Post a Comment