kEHIDUPAN masyarakat pada hari ini sinonim dengan penggunaan internet. Tidak dinafikan internet mempunyai banyak manfaat, namun orang ramai perlu menggunakannya dengan baik kerana ia mampu mencipta impak negatif.
Lebih membimbangkan, golongan remaja dan kanak-kanak juga turut bebas mengakses internet.
Justeru, ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak kerana dikhuatiri perbuatan di laman web boleh menjejaskan masa hadapan mereka.
Sebagai contoh, klip-klip yang dimuat naik, gambar-gambar, ungkapan dan ucapan di laman sosial akan kekal sampai bila-bila selagi tidak dikeluarkan.
Menurut Ketua Bahagian Jangkauan dan Penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Eneng Faridah Iskandar, pihaknya ingin mendidik golongan muda supaya lebih berhati-hati ketika melayari internet.
"Kami akan memperkenalkan submodul baharu dengan kerjasama Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) iaitu 'Klik Bijak@PLKN kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Eneng Faridah berucap di hadapan jurulatih PLKN sempena program Latihan Intensif Jurulatih PLKN di Kem Latihan Cancun Park, Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini.
"Kumpulan sasar utama bagi program ini ialah remaja dan sudah tiba waktunya kami membawa program ini memasuki PLKN yang mempunyai kira-kira 72,000 pelatih bagi sesi tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikan pada program Latihan Intensif Jurulatih PLKN di Kem Latihan Cancun Park, Pasir Mas, Kelantan, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Eneng Faridah berkata, golongan remaja kini semakin galak menyatakan cinta kepada pasangan di laman maya untuk tontonan umum sehingga ada yang sanggup memuat naik gambar intim di atas katil.
Katanya lagi, menurut satu kajian, sebanyak 54 peratus pengguna internet merupakan golongan belia dan kebanyakan mereka dilahirkan dalam dunia digital.
"Golongan ibu bapa pula merupakan golongan migrasi digital menjadikan pengetahuan terhadap teknologi tersebut terlalu cetek.
"Oleh itu, bukan sahaja golongan muda harus dididik, ibu bapa juga harus mengambil tahu aktiviti anak-anak mereka di internet agar perkara yang tidak sepatutnya terjadi dapat dielakkan," katanya.
Dengan modul ini, SKMM berharap kumpulan sasar tersebut akan lebih terdidik supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber dengan menerapkan apa yang patut dan tidak patut dilakukan di internet.
"Pendek kata, kami mahu generasi akan datang supaya klik dengan lebih bijak dan memahami isu keselamatan, kewaspadaan dan juga tanggungjawab," katanya.
Tambahnya, objektif utama program 'Klik Dengan Bijak' adalah untuk melahirkan pengguna celik media, mewujudkan rasa tanggungjawab dalam kalangan pengguna internet supaya beretika, kepentingan kawal selia kendiri dan mewujudkan persekitaran yang selamat untuk menggunakan internet. - JULIA ISMAIL
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2rGOJItpo
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment