Bekas perompak, penagih insaf

SIKAP perompak yang insaf dan memulangkan kembali wang hasil rompakan sememangnya jarang terjadi dan harus dicontohi.

Meskipun kejadian berlaku lebih 12 tahun lalu, namun dia nekad mengembalikan wang yang dirompak dalam usahanya untuk kembali membetulkan kesilapan yang telah dilakukan sekali gus membuka lembaran baru dalam hidupnya.

Walaupun tidak berdepan secara bersemuka dengan pemilik wang, tindakan bekas perompak itu meninggalkan sampul surat berisi nota tulisan tangan meminta maaf dan wang AS$400 (RM1,300) harus dipuji.

Dalam notanya, bekas perompak itu menjelaskan, dia tidak lagi mengambil dadah dan mahu membetulkan kesilapan terhadap mereka yang pernah disakitinya.

Pewaris kedai runcit InterAsian Market & Deli di Nashville, Amerika Syarikat Somboon Wu berkata, walaupun tidak mengenali lelaki itu, tetapi dia ingin masyarakat tahu lelaki itu perlu diberikan kedua.

“Kami berasa terharu dengan sikap bekas perompak ini. Dia perlu dipuji  kerana telah insaf. Tindakannya itu memberi inspirasi kepada bekas perompak yang senasib dengannya. Kepada lelaki ini, kami ingin memberitahu, anda telah dimaafkan. Semoga anda mendapat ketenangan dan kemakmuran dalam hidup,” katanya pada laporan Daily Mail

Wu dan bapanya Keosavanh Xayarath memuat naik gambar nota itu di laman Twitter dan Instagram dengan keterangan: “Kami telah dirompak kira-kira 11 atau 12 tahun lalu. Hari ini kami terkejut menerima nota ini daripada perompak yang mengembalikan semula wang tunai".

Wu menerima kedatangan seorang lelaki tidak dikenali awal bulan lalu yang berkeras menyuruhnya menerima sampul surat. Tanpa diketahui, lelaki itu adalah lelaki sama yang melakukan rompakan bersenjata dan melarikan wang lebih AS$300 (RM980) lebih sedekad lalu.