Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membangkitkan persoalan ekoran tiada tindakan yang diambil terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung laporan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai isu 1MDB.
Malah, Ketua Umno bahagian Pagoh itu juga memberi perumpamaan tentang seseorang yang mencuri ayam turut akan ditangkap dan didakwa berbanding perdana menteri yang didakwa 'mencuri' puluhan bilion wang negara.
"Orang yang mencuri ayam pun ditangkap dan didakwa. Masakan individu yang mencuri puluhan bilion wang negara terlepas begitu sahaja?
"Ini suatu pendedahan yang amat memalukan. Ia suatu penipuan. Jika IPIC (International Petroleum Investment Company) tidak menerima sebarang bayaran daripada 1MDB, ke mana perginya wang ini?
"Kegagalan untuk memastikan ke mana perginya wang ini mengukuhkan lagi pandangan saya sebelum ini bahawa 1MDB sejak dari awal lagi adalah satu skim untuk menipu," kata Muhyiddin dalam kenyataannya, hari ini.
Selain itu, Muhyiddin juga turut memberi peringatan kepada menteri-menteri kabinet dan Najib sendiri supaya tidak bersandiwara serta mengalihkan isu.
"Jadi kepada menteri-menteri kabinet dan Najib sendiri yang menganggap penyelewengan 1MDB telah selesai dan namanya telah dibersihkan, seraya mengajak rakyat supaya bergerak ke hadapan, janganlah anda cuba bersandiwara atau mengalihkan isu.
"Rakyat tidak akan lupa puluhan bilion wang negara telah diseleweng," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment