UtusanDaily

Saturday, 27 February 2016

Kurang Ajar Pada Timbalan Tak Boleh, Kurang Ajar Pada Presiden Boleh?

Marah sungguh seorang bekas Naib Ketua UMNO Bahagian, Dato’ Khairuddin Abu Hassan apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan supaya digantung jawatan di dalam UMNO. Dia tempelak pula Ahli Majlis Tertinggi supaya ‘jangan kurang ajar’.

Hujahnya, Muhyiddin berjawatan Timbalan Presiden UMNO dan sesiapa pun tidak boleh berkurang ajar dengan pemegang jawatan nombor dua parti itu. Kononnya, lepas digugurkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin bebas untuk mengkritik apa saja.

Itu pandangan Khairuddin, seorang ‘bekas’ ahli UMNO. Dia kini bukan lagi ahli parti, tapi menyibuk tentang hal ehwal UMNO. Apa hak agaknya untuk dia bersuara untuk kepentingan parti keramat bangsa itu?

Merujuk kepada teori Khairuddin itu, penulis simpulkan bahawa mereka yang jawatannya lebih rendah tidak boleh kurang ajar pada Timbalan Presiden UMNO. Itu salah dari sudut pandang suami Umi Aida itu.

Jika merujuk pada hipotesis berkenaan, maka adalah kurang ajar juga bagi ahli, ketua cawangan, ketua bahagian, ahli majlis tertinggi, naib presiden mahupun Timbalan Presiden untuk mengkritik Presiden UMNO secara terbuka begitu, bukan?

Jadi, sebelum ini jika Muhyiddin tegur, kritik, perlekeh, perburuk dan mempertikai Presiden UMNO, maka ia membawa erti Timbalan Presiden kurang ajar pada Presidenlah, bukan? Jadi, siapakah yang kurang ajar pada siapa sekarang?

Berkenaan isu 1MDB yang disalak Muhyddin dan Khairuddin sebelum ini sudah pun dijawab berkali-kali. Bukan saja Perdana Menteri yang jawab, malah Arul Kanda sendiri selaku bos 1MDB pun sudah turun padang, memperjelas satu persatu tohmahan tidak benar yang dilemparkan. Malah, isu permasalahan mengenai GLC itu sebenarnya sudah hampir selesai kini.

Berkenaan RM2.6 bilion pula adalah hal dalaman parti. Mungkin benar tohmahan pertama disiarkan WSJ. Tapi kenapa pula Timbalan Presiden dan konco-konconya menempelak Presiden tentang isu itu diluar parti? Hal ehwal ‘rumahtangga’ dicanang seluruh negara? Apa motifnya?

Lagi pun, kedua isu berkenaan telah dilayan secara adil oleh Presiden UMNO. Bukan orang lain yang suruh siasat isu itu secara terperinci, malah Presiden sendiri yang menggesa kedua isu itu disiasat dengan teliti, telus dan adil. Jadi apa lagi yang mahu dipertikai selain dari pertikaian remeh?

Mengapa pula Khairuddin tidak menempelak Muhyiddin kerana berkurang ajar pada Presiden? Kenapa Khairuddin tidak ‘ketuk’ kepala sendiri ketika berkurang ajar pada pemimpin nombor satu parti? Orang lain digelarnya kurang ajar, tapi kurang ajar diri sendiri dia tidak nampak?

Pada pandangan penulis, usahlah Khairuddin menyibuk hal ehwal dalaman UMNO. Beliau bukan ahli parti pun dan janganlah kurang ajar pada ahli-ahli parti yang sah. Jika kemaruk sangat mahu berpolitik, sertailah pembangkang atau tubuh parti baru macam Mat Sabu.

Tentang masa depan atau apa-apa tindakan terhadap mana-mana pemegang jawatan UMNO, sama ada Muhyiddin, Dato’ Seri Shafie Apdal, Tun Dr Mahathir Mohamad atau anaknya, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, biarlah parti kami yang putuskan.

Tidak semestinya mereka digantung atau dipecat dari parti. Jika di zaman Dr Mahathir dulu, mungkin benar ‘jangka hayat’ karier politik mereka akan ‘dibenam sedalam-dalamnya’ hinga tidak mungkin bangkit kembali. Tapi di zaman Najib ini lain sedikit pendekatannya.

Usahlah Khairuddin gusar tentang UMNO. 40 tahun Najib berkecimpung dalam parti dari bawah hingga ke puncak, penulis yakin beliau tiada langsung niat untuk menjahanamkan parti dan perjuangan UMNO. Tahulah beliau bagaimana untuk uruskan parti…

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive