UtusanDaily

Saturday 27 February 2016

Jika Anwar itu Muhyiddin, dia akan pimpin gerakan tuntut reformasi

 
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memimpin gerakan besar membabitkan semua pihak untuk melaksanakan reformasi jika ditakdirkan mengalami situasi serupa seperti apa yang dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang.

Beliau yakin Anwar akan berjiwa besar dan mengenepikan perbezaan lampau untuk mengalu-alukan sesiapa pun menyertai gerakan besar ini sementara terus kekal pada prinsip menuntut reformasi dan perubahan sistem secara keseluruhan.

Mengulas keputusan Majlis Tertinggi Umno (MT Umno) menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno petang semalam, beliau melahirkan rasa sedih setelah meneliti kenyataan Muhyiddin yang dikeluarkan hari ini.

"Sesiapa pun yang telah menghabiskan masa dewasanya menyumbang kepada parti yang dianggotai tidak wajar diperlakukan begitu, apatah lagi setelah beliau cuba membetulkan sesuatu yang beliau rasa adalah salah.

"Sudah tentu pihak media bertanyakan reaksi saya kepada kenyataan beliau kerana saya pantas melahirkan kebimbangan apabila Dato’ Zaid Ibrahim menyeru rakyat Malaysia bersatu menyokong Tun Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

"Antara perkara pertama yang terlintas di fikiran saya setelah membaca kenyataan Tan Sri Muhyiddin itu adalah Anwar Ibrahim. Saya terfikir tindakan bagaimana agaknya Anwar Ibrahim akan ambil dalam keadaan unik sekarang yang membuka ruang besar untuk melaksanakan reformasi (tetapi ruang itu juga penuh dengan risiko dan ketidaktentuan)," ujarnya yang mengulas atas kapasiti aktivis reformasi 1998.

Menurut Rafizi, beliau yakin Anwar akan mengambil kesempatan ini untuk membawa semua pihak di dalam satu gerakan besar menuntut perubahan dan melaksanakan idea reformasi yang beliau perjuangkan selama ini.

"Sebelum ini, beliau gigih berusaha mencari titik temu di antara pihak-pihak yang berbeza pandangan dan berlainan puak agar dapat membina kekuatan bersama memperjuangkan reformasi.

"Banyak perubahan dan kesedaran politik yang ada dalam masyarakat kita hari ini dimungkinkan dek kerana jiwa besar Anwar Ibrahim dan kesabaran beliau membina gerakan besar yang memberi ruang kepada semua pihak itu," katanya.

Menurut Rafizi, rakyat kini berada di persimpangan yang unik kerana buat pertama kalinya negara berada di kedudukan kritikal apabila sebahagian rakyat sudah memahami bahawa perubahan dan reformasi dalam negara tidak boleh ditangguhkan.

Tan Sri Muhyiddin, ujar beliau menekankan keperluan mengembalikan kebebasan dan integriti kepada institusi utama di negara ini selari dengan tuntutan yang dilaungkan pembangkang selama ini.

Muhyiddin, tambah Rafizi telah menyatakan secara terbuka bahawa kuasa membuat lantikan ketua-ketua institusi utama yang kini dipusatkan di tangan Perdana Menteri mesti dirungkai.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak parti saya atau Pakatan Harapan. Saya tidak akan cuba bercakap bagi orang lain. Saya hanya boleh bercakap sebagai seorang aktivis reformasi yang telah bersama-sama dengan arus menuntut perubahan ini sejak 1998.

"Saya hulurkan persahabatan kepada sesiapa yang bersetuju dengan agenda reformasi yang kami bawa. Keutamaan sekarang ialah menjana kekuatan rakyat untuk menuntut reformasi yang menyeluruh dalam sistem sekarang yang banyak menindas," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan Muhyiddin untuk bersama-sama gerakan rakyat yang mahukan perubahan itu dan menghulurkan persahabatan supaya semua pihak (tidak kira latar belakang) dapat menyumbang ke arah sebuah Malaysia baru yang adil dan saksama, yang meletakkan keadilan undang-undang mengatasi kepentingan peribadi.

"Saya berharap lebih ramai rakyat biasa (tidak kira apa latar belakang) memilih untuk berbuat sesuatu supaya kita boleh menukar Dato’ Seri Najib Tun Razak dan melantik seorang Perdana Menteri baru yang bertanggungjawab kepada rakyat di bawah satu sistem baru," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive