UtusanDaily

Wednesday 12 August 2015

FATHUL BARI jawab isu "Wajib Taat Pada PM Walaupun Mencuri Harta Rakyat

Mudahnya menabur fitnah isu wajib taat PM

Fathul Bari
PENYEBARAN fitnah bahawa saya mengungkapkan 'Wajib taat pada perdana menteri walaupun dia mencuri harta rakyat'. Berikut adalah ulasan saya:

1) Fitnah ini disebarkan dengan meletakkan tajuk provokasi (seperti di atas) pada satu kuliah maghrib saya di sebuah masjid di Batu Caves pada 31 Mei 2011.

2) Video berdurasi 8 minit 19 saat itu merupakan jawapan saya kepada satu soalan tentang sejauh mana ketaatan kepada pemimpin. Adakah dengan kenaikan tarif elektrik mengharuskan kita untuk tidak mentaati pemimpin dalam hal yang makruf?

3) Terlalu banyak video-video ulasan saya tentang pemerintahan dan konsep mentaati pemimpin. Sila rujuk: http://www.drfathulbari.com/2015/08/menjawab-fitnah-wajib-taat-perdana.html

Jadi, sebarang kesimpulan yang ingin dibuat tentang pendirian saya, perlu mengambil kira ulasan-ulasan saya secara kolektif dan janganlah diputarbelitkan yang  kemudiannya boleh menjadi modal fitnah.

4) Oleh kerana, pemfitnah sentiasa gagal berhujah ilmiah, maka mereka cuba memutarbelitkan kenyataan saya dengan tujuan mengadu domba.

Sabda Nabi SAW: "Tidak akan masuk syurga pengadu domba". (HR ) Al-Imam al-Nawawi (w.676H) memberikan takrifan "al-Namimah" (adu domba) sebagai menukilkan kata-kata seseorang dan menyebarkannya dengan tujuan jahat. (lihat: al-Azkar, oleh Yahya bin Syarf al-Nawawi, ms 99)

5) Mentaati Pemerintah Islam yang sah dalam hal yang ma'ruf adalah satu kewajipan selama mana tiada arahan melakukan maksiat. Asas pendirian saya berdasarkan hadis Nabi SAW:

"Wajib ke atas seorang Muslim untuk mendengar dan taat (kepada pemerintah) pada apa-apa yang dia sukai atau benci, melainkan apabila penguasa tersebut menyuruhnya untuk melakukan kemaksiatan. Apabila pemerintah menyuruh untuk melakukan maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat (dalam  urusan maksiat tersebut)." (HR Muslim, no: 3423. al-Tirmidzi, no: 1629)

6) Kezaliman pemerintah sudah tentu wajib diingkari dan dinasihati. Sabda Nabi SAW: "Jihad yang paling utama adalah mengatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim." (HR Abu Daud, no:4344, al-Tirmidzi, no:2174). Asas menasihati adalah secara berhadapan dengan pemimpin bukan di belakangnya.

7) Kaedah "mengatakan kebenaran" atau menegur atau mengingkari atau menasihati semestinya perlu menepati methodologi Ahli Sunnah Wal Jamaah.

8) Methodologi Ahli Sunnah dalam menasihati pemerintah:

a. Menasihati bukan provokasi.

b. Menyampaikan hujah bukan fitnah

c. Penuh kesopanan bukan kebiadaban

d. Dengan kasih sayang bukan kebencian

e. Secara bersendirian diutamakan bukan di jalanan atau terang terangan.

f. Dengan keikhlasan bukan kepentingan

g. Penuh penghormatan bukan mengaibkan

h. Bersangka baik bukan bersangka buruk

i. Dengan kebijaksanaan bukan kejahilan (cth: Bijak memilih tempat,masa,perkataan, menilai kemampuan diri, menilai masalah dan mafsadahnya)

*Saya memaafkan semua pemfitnah, pemaki hamun, pengadu domba, pengumpat dan penyebar yg tidak bertabayyun (selidik dahulu). Moga ALLAH mengampuni kita semua. Wallaahualam.

Dr Fathul Bari Mat Jahya ialah Exco Pergerakan Pemuda Umno dan Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (Ilmu)

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive