UtusanDaily

Tuesday, 3 February 2015

Pemakanan untuk pesakit gout

Copy of dreamstime_m_47537321.jpg

GOUT sejenis penyakit yang ditakrifkan sebagai penghasilan asid urik secara berlebihan di dalam badan dan ini berlaku dalam keadaan di mana pengeluarannya bertambah dengan pengambilan secara berlebihan makanan purin (zat semula jadi) berprotein tinggi.

Apabila ini terjadi, pesakit gout akan mengalami bengkak pada bahagian kaki, panas, dan amat sakit hingga ada sesetengahnya tidak boleh berjalan.

Sekiranya pesakit tersebut menghidap gout yang kronik, kehidupan harian yang normal akan terganggu dan perkara yang paling ditakuti ialah berlakunya kecacatan pada sendi dan otot, sama ada ringan atau berat.
Advertisement

Menurut Pegawai Pemakanan, Hospital KPJ Ampang Puteri, Nurul Ain Baharudin, penyakit yang banyak menyerang golongan lelaki ini berpunca daripada pengambilan makanan yang tinggi purin seperti hidupan laut, kekacang, dan daging merah.

Katanya, purin ialah sejenis protein yang membentuk asid urik hasil proses metabolisme dan berpotensi menyebabkan serangan gout.

Tambahnya, kekurangan air dalam badan juga boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah, sekali gus menyebabkan keadaan pesakit gout lebih buruk.

“Tidak dinafikan, penyakit ini jika sekali terkena sukar untuk sembuh, tetapi kita boleh mencegah serangannya dengan mengamalkan diet seimbang dan mengelak daripada makanan yang mengundang gout.

“Untuk itu, pesakit perlulah mengelak daripada makan makanan laut seperti kerang, ikan salmon, ikan bilis, udang, dan ketam kerana kandungan purinnya tinggi, serta tidak ketinggalan makanan berasaskan kacang, dan daging merah, seperti daging lembu.

“Selain itu, organ-organ dalaman haiwan seperti hati dan hempedal ayam, perut, otak dan usus lembu, serta daging kambing juga perlu dielak kerana kesemua makanan ini mengandungi purin yang tinggi,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Disebabkan itu juga, setiap pesakit gout disarankan agar sentiasa mengamalkan diet mengikut panduan piramid makanan.

Katanya, minuman keras juga patut dielakkan kerana minuman tersebut boleh meningkatkan paras asid urik dalam badan.

Oleh kerana pengambilan makanan yang tinggi purin penyebab utama gout, Nurul Ain menasihatkan pesakit mendisiplinkan diri dengan memilih makanan yang mengandungi kandungan purin yang sederhana dan seelok-eloknya mengambil makanan bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran atau karbohidrat.

Ulasnya, selain mengawal pemakanan dengan tidak mengambil makanan berprotein tinggi secara berlebihan, terdapat ubat-ubatan tertentu yang dapat membantu mengurangkan asid urik dalam badan.

Pesakit juga dinasihatkan minum air yang banyak setiap hari bagi membantu perkumuhan asid urik daripada badan dan mengurangkan risiko mendapat batu karang.

Ringkasnya, pemakanan yang harus dikurangkan atau dielakkan adalah protein yang menghasilkan kandungan purin yang banyak kerana zat tersebut penyumbang terbesar kepada pembentukan asid urik.

Begitu pun, Nurul Ain memberitahu, tidak semua makanan yang berprotein ada risiko gout, seperti ikan dan telur ayam, tetapi harus diingatkan bahawa penyakit tersebut menyerang seseorang yang mengambil protein secara berlebihan.

Yang pasti, hari ini, gout boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira umur, bangsa, serta jantina dan ada kes remaja berusia 18 tahun dikesan menghidap penyakit ini.

Pesakit-pesakit gout turut disarankan agar berjumpa dengan pakar pemakanan untuk mendapatkan nasihat yang sewajarnya. UTUSAN

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive