UtusanDaily

Friday, 6 February 2015

Masyarakat Malaysia masih fobia penggunaan tenaga nuklear


Oleh Mona Ahmad
mona@bh.com.my


Industri nuklear masih asing di Malaysia. - Gambar hiasan

Perlukah mengambil pil setiap hari bagi mengelakkan radiasi jika bekerja dalam industri nuklear. Benarkan jika bekerja dalam industri nuklear mudah terdedah dengan radiasi sehingga boleh menyebabkan mandul atau mudah diserang penyakit kanser?

Inilah antara persoalan yang sering berlegar di minda setiap kali disebut mengenai nuklear, ditambah pula dengan cerita dan momokan mengenai tragedi letupan loji nuklear Chernorbly di Soviet Union, 30 tahun lalu yang tersebar dalam media sosial yang memaparkan cerita negatif mengenai nuklear.

Sumber tenaga rendah karbon

Benarlah kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Begitu juga dengan nuklear. Hakikatnya, tenaga nuklear adalah sumber tenaga yang rendah karbon dan menjimatkan serta selamat digunakan.

Ketua Bahagian Projek Khas dan Komunikasi, Perbadanan Tenaga Atom Negara Russia (ROSATOM), Anna Trapeznikova, berkata selepas tragedi Chernobyl, generasi muda di Russia lebih berminat kepada sains dan teknologi. Tidak dinafikan, masih ada golongan warga tua yang skeptikal mengenai tenaga nuklear kerana bimbang tragedi berulang, tetapi ini kerana mereka tidak diberi maklumat tepat.

"Kadangkala saya ditanya oleh orang tua mengenai bahaya nuklear. Mereka tidak tahu kerana tiada maklumat. Sebenarnya penerangan maklumat juga perlu menggunakan bahasa yang mudah bukannya bahasa sains yang tinggi sehingga tidak difahami. Kita perlu terangkan tenaga nuklear ini adalah proses semula jadi. Telaga minyak dan ada pantai di beberapa negara mempunyai tahap radiasi yang lebih tinggi berbanding pendedahan terhadap tenaga nuklear.

"Masalah yang sering dihadapi adalah menyalurkan maklumat kepada golongan berpendidikan rendah dan orang kampung yang masih bimbang dan khuatir dengan apa yang berlaku di Chernobyl, 30 tahun lalu," katanya ketika ditemui sempena Persidangan Tenaga Nuklear Asia Ke-6 anjuran Pertubuhan Nuklear Sedunia di ibu negara, baru-baru ini.

Trapeznikova turut meluahkan kekecewaan berikutan banyak maklumat yang tidak betul disebarkan dalam media sosial menyebabkan orang ramai masih memandangkan negatif terhadap tenaga nuklear.

Secara keseluruhan, katanya, keyakinan masyarakat negara itu terhadap industri nuklear yang mampu memberikan manfaat terutama dalam bidang perubatan dan tenaga lebih tinggi berbanding mereka yang mahu loji nuklear ditutup.


Dr Muhd Noor Muhd Yunus (kiri) dan Anna Trapeznikova.

Projek Nuckids tingkat kesedaran tenaga nuklear

Katanya, dalam usaha membantu kesedaran mengenai nuklear, pihak ROSATOM mewujudkan projek Nuckids yang dimulakan sejak tujuh tahun lalu dengan memilih pelajar dari 20 bandar nuklear di Russia termasuk Sosnovy Bqr, Kurchatov, Novovoronrzk dan Kolskaya bagi mencungkil bakat dan melatih mereka dalam bidang seni.

Mereka yang juga anak kepada pekerja industri nuklear berusia 11 hingga 16 tahun, dibawa ke kem musim panas dan dilatih mengikut bakat termasuk dalam bidang lakonan, nyanyian dan tarian.

Lebih membanggakan, kumpulan pelajar yang dilatih ini pernah mengadakan persembahan di pementasan teater terkemuka di St Petersburg.

"Kita berharap dengan cara ini kita dapat mencungkil bakat pelajar ini dan menjadikan mereka superstar. Kita memerlukan superstar untuk menjadi jurucakap bagi kempen kesedaran mengenai nuklear kerana tentunya pengikutnya ramai," katanya.

Bukan itu sahaja, ROSATOM turut mengadakan program pertukaran pelajar luar negara yang diambil dari bandar nuklear di negara seperti India, Ukraine, Belarus, Turki dan Perancis bagi tujuan sama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, Agensi Nuklear Malaysia, Dr Muhd Noor Muhd Yunus, berkata cadangan membina loji nuklear di negara ini masih pada peringkat kajian orang ramai.

Difahamkan, kajian tidak rasmi yang menyokong nuklear sebanyak 70 peratus, bagaimanapun selepas kejadian kemusnahan Loji Nuklear Fukushima Daichii, Jepun akibat tsunami pada tahun 2011, sokongan terhadap pembinaan loji itu menurun sehingga 48 peratus.


Generasi muda perlu diberi galakan menceburi industri tenaga nuklear. - Gambar hiasan

Rakyat Malaysia tak harus jumud

"Pendapat peribadi saya, rakyat Malaysia tidak seharusnya jumud mengenai teknologi penjanaan elektrik. Kita perlu melihat sumber tenaga lain terutama yang rendah karbon seperti nuklear. Berbanding sumber tenaga rendah karbon lain seperti angin, solar dan biomas, nuklear satu-satunya yang based load (sentiasa ada). Jika tenaga solar perlu menunggu matahari, manakala angin pula kadangkala bermusim," katanya.

Kepelbagaian sumber tenaga perlu bagi sesebuah negara supaya kebergantungan terhadap satu atau dua sahaja sumber, bagi mengelakkan kekurangan bekalan atau dari segi keselamatan tenaga yang tidak terjamin. Umpama rumah tangga, tidak boleh hanya bergantung kepada satu sumber ekonomi sahaja.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive