PETALING JAYA: Seramai 17 pelukis tempatan dan luar negara
membabitkan diri dalam pameran karya lukisan khas Datuk Siti Nurhaliza
sebagai ikon pop negara di Galeri Artelier KL, Publika di sini.
Lukisan tersebut akan dipamerkan selama sebulan bermula 26 Februari 2014.
Menurut rakan niaga Galeri Artelier KL, Ahmad Khairo Othman, Antara
nama-nama pelukis yang terbabit melakar gambar Siti Nurhaliza
termasuklah Adrian Torres (Sepanyol), Azizi Latif, Faiz Yunus, E.M.
Nightwatcher (Iran), Haffendi Anuar, Zizan Rosman dan Nazmi Ismail.
"Projek ini telah bermula sebulan lalu di mana kesemua pelukis telah menemu bual Siti sebelum memulakan projek lukisan mereka.
"Kemudian, setiap daripada mereka akan menghasilkan karya mengikut
kreativiti masing-masing. Pihak kami turut berbesar hati kerana bukan
calang-calang orang yang terbabit dengan projek ini," katanya kepada mStar Online.
Tambah Khairo, lukisan termahal yang dipamerkan iaitu bernilai
RM75,000 merupakan karya pelukis dari Sepanyol, Adrian Torres dan ia
begitu eksklusif kerana membabitkan hasil lukisan menggunakan jari
tanpa peralatan lukisan.
Lukisan berbentuk arca dengan memaparkan separuh wajah Siti karya
Scott Abbas turut menarik perhatian ramai dengan nilai harga sebanyak
RM6,500.
Antara lukisan-lukisan yang menjadi perhatian termasuklah karya
Badruddin Shah Abdul Wahab bernilai RM6,000, Firdaus Mahadi (RM5,000)
dan Khairul Arshad (RM5,500).
"Ini merupakan satu permulaan daripada pihak Artelier yang memaparkan karya-karya agung berdasarkan ikon negara kita.
"Pihak kami juga mahu selebriti tempatan kita diangkat seperti
selebriti Hollywood menerusi karya lukisan. Sehingga kini, Siti
merupakan selebriti tempatan pertama selepas Tan Sri P.Ramlee dan Datuk
Sudirman Hj Arshad yang menjadi ikon inspirasi pelukis-pelukis
tempatan," ujarnya.
Sementara itu, 30 peratus daripada kesemua lukisan yang dijual akan
disalurkan ke Yayasan Nurjiwa yang dimiliki oleh Siti dan suaminya Datuk
Seri Khalid Mohamad Jiwa.
No comments:
Post a Comment