SEIRING dengan perkembangan teknologi yang semakin giat dibangunkan di negara kita, siaran radio bukan sahaja dapat didengari di corong-corong radio sebaliknya di hujung jari anda.


Bertepatan dengan tagline 'Mencetuskan Fenomena', radio online Fuh FM yang ditubuhkan pada Mac 2012 mencipta satu lagi sejarah dalam dunia penyiaran.

Sebagai alternatif kepada radio dahulu, pendengar boleh mendengar lagu menerusi Internet dalam sesawang www.fuhfm.com secara percuma.

Menurut Pengarah Fuh Network Resources, Zamrudul Ahmar Mohd Ruslan atau lebih dikenali sebagai DJ Zack, radio online itu ditubuhkan berdasarkan permintaan orang ramai.

Katanya, dunia hujung jari membolehkan setiap lapisan masyarakat dapat mendengar lagu pilihan mereka di mana jua berada.

"Malah, kami beroperasi selama 24 jam seminggu tanpa henti untuk pendengar. Kebanyakan genre lagu yang diputarkan adalah rock kapak ketika era 70 an lalu.

"Ianya boleh didengari melalui alam maya atau Internet yang dipancarkan bukan sahaja dalam negara bahkan seluruh dunia," katanya.

Permintaan pendengar

Menceritakan di awal penubuhan radio online itu, DJ Zack berkata, ia dibina dengan kekuatan empat petugas yang juga dalam masa sama mengendalikan segmen-segmen bermula seawal jam 8 pagi sehingga keesokan harinya.

"Setelah dua tahun berlalu, kami kini mempunyai beberapa tambahan staf yang membantu melancarkan perjalanan radio kami.

"Kami juga merupakan radio rasmi kepada program Rockers Apa Khabar yang menjelajah seluruh Malaysia," katanya.

Ujarnya, selain lima penyampai radio atau DJ, mereka turut dibantu dengan dua staf sokongan iaitu Adarul Azila Zainal Abidin (Juru Foto) dan Norshila Mior Rahimi (Admin).

Sedikit mengenai Fuh FM, Zack berkata, ia adalah 100 peratus syarikat yang dimiliki Bumiputera yang dibangunkan secara tidak rasmi pada tiga tahun lalu.

"Fuh FM adalah salah satu projek di bawah Fuh Network Resources dan atas permintaan pembaca-pembaca blog kami iaitu, www.fuh.my maka terciptalah radio online Fuh FM.

"Nama Fuh FM diambil berdasarkan nama blog kami iaitu Fuh Dot MY dipancarkan ke serata dunia.

"Pendengar boleh mendengar suara kami sama ada melalui website mahupun telefon pintar. Ia merupakan permulaan kami dalam satu skop yang baru iaitu persembahan melalui suara dan pendengar," ujarnya.

Sementara itu, terdapat 11 segmen yang ditawarkan kepada pendengar termasuklah Fuh Santai, Fuh Cintan, Fuh Interhtz, Madah Pujangga, Retro dan sebagainya.

Perkhidmatan terbaik

Dalam masa sama, Zack berkata selain radio online mereka turut menyediakan perkhidmatan karaoke dan sistem audio untuk sebarang majlis atau karnival.

"Kelebihan pada kami berbanding syarikat lain ialah kami mampu membawakan suasana majlis tersebut secara langsung melalui sistem radio kami iaitu FuhFM.

"Kami juga memberi perkhidmatan deejay dan pengacaraan yang terbaik untuk sesebuah majlis dan karnival.

"Kesemua pengacara dan deejay dari Fuh FM adalah yang terlatih," katanya.

Selain itu, Zack berkata,  dia mahu radio menjadi medium penyebaran informasi dan menubuhkan sebuah blog yang dikenali sebagai Fuh Dot My.

"Dari situ kami memberikan informasi tulus dan mendapatkan dari sumber boleh dipercayai mengikut akta media komunikasi," ujarnya.