MENYEDARI sering berlakunya salah faham terhadap perbankan Islam, TV Al
Hijrah meneruskan kerjasamanya dengan Affin Islamic Bank Berhad untuk
terus menerbitkan rancangan bual bicara, Fulus.
Berbeza format dan pendekatan, Fulus memfokuskan mengenai kandungan
ilmu asas dan tip-tip kewangan kepada golongan muda terutama belia yang
baru memasuki alam kerjaya.
Sudah memasuki musim kedua sejak bersiaran pada 21 Februari lalu, Fulus
membicarakan 13 topik berbeza iaitu, Hindari Riba, Indahnya Perbankan
Islam, Pembangunan Perbankan Islam, Pendidikan Muamalat, Hutang Oh
Hutang!, Aku Nak Kaya (Skim Cepat Kaya & MLM), Pelaburan Emas,
Forex, Pinjaman Perumahan, Zakat, Pelaburan Hari Akhirat (Wakaf &
Jariah), Wasiat dan Impian Haji.
Fulus musim kedua diacarakan oleh bekas penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail.
Rancangan ini juga menampilkan panel jemputan berbeza pada setiap
minggu dan diceriakan dengan tetamu undangan yang terdiri daripada
barisan selebriti seperti Johan As’ari, Salma Mentor, Sahri AF, Zalif
Sidek, Adib Anas, Heliza Helmi, Shawal AF, Imam Muda Asyraf, Khai AF,
Bob AF, Nora, Amanda Misbun, Amirizdwa, Taj dan Yatt Hamzah.
Kata Penerbit Eksekutif Fulus, Noor Harlida Abu Bakar, barisan
selebriti yang dipilih akan berkongsi pengalaman dan tragedi yang mereka
tempuhi dalam dunia kewangan.
"Contohnya, Khai AF yang pernah terbabit dalam urus niaga Forex sehingga dia tertipu beribu-ribu ringgit.
"Mereka (artis) akan berkongsi pengalaman mereka mengikut topik yang disediakan.
"Kita bukanlah nak mengaibkan mereka sebaliknya ia seharusnya dijadikan
panduan dan pengajaran yang berguna buat masyarakat," katanya ketika
ditemui pada sidang akhbar di Restoran Songket, Kuala Lumpur, baru-baru
ini.
Tepati kriteria
Ketika ditanya mengenai pemilihan pengacara, Noor Harlida berkata,
Faizal menjadi pilihan kerana percaya dengan kriteria dirinya yang agak
'gila-gila' dan 'havoc' seterusnya dapat memberi pendekatan terbaik buat
semua golongan yang menonton terutamanya belia.
Katanya, musim pertama Fulus diacarakan oleh Afdlin Shauki.
"Sebenarnya, kami mahukan Faizal sejak musim pertama lagi, tetapi kerana kesibukannya kami menawarkannya kepada Afdlin.
"Untuk musim kedua ini, Fulus terus membincangkan mengenai pengurusan
kewangan Islam dan pemilihan Faizal dibuat kerana kami mahu Fulus
diacarakan dalam suasana yang lebih relaks dan santai," katanya.
Jelasnya lagi, pemilihan Faizal juga dikatakan menepati kehendak stesen
TV dan penonton yang mahukan lebih 'kemeriahan' tetapi masih lagi
berfokus pada jalan ceritanya.
"Kami mahu memberi pembaharuan kepada program bual bicara terbitan TV AlHijrah.
"Pemilihan Faizal menepati kehendak kami untuk mendekati golongan muda
dan setanding dengan pengalaman yang ada padanya, dia berjaya mendekati
panel Fulus yang terdiri daripada golongan korporat dan profesional agar
mereka juga tampil relaks serta bersahaja," katanya.
Berbanding musim pertama, Fulus musim kedua menawarkan pemenang dengan
hadiah yang lebih menarik iaitu tiga hadiah utama Pakej Umrah Dan Ziarah
Ke Istanbul, Turki Bersama Faizal Ismail.
Penonton cuma perlu menjawab soalan kuiz mingguan dan terkumpul dengan melayari www.tvalhijrah.com/fulus/.
Dakwah cara Faizal
Mengakui agak tergamam dengan pemilihan dirinya sebagai pengacara Fulus
ditambah lagi dengan latar diri dan pengalamannya banyak memihak pada
dunia hiburan, Faizal bagaimanapun bersedia untuk menggalas amanah yang
diberi apatah lagi apabila terdapat sedikit 'kelonggaran' diberikan oleh
stesen TV.
"Saya sendiri tertanya-tanya apakah kriteria yang ada pada saya
sehingga mereka berasakan yang saya layak untuk mengacarakan Fulus.
"Begitu pun, selepas mereka memberi penjelasan, saya perlu sahut
cabaran ini kerana jika saya menolaknya, kerjaya saya akan terus berada
di takuk lama.
"Meskipun pihak stesen tidak memberi panduan khusus kepada saya, tetapi
saya sedia maklum arah perjuangan mereka lantas saya perlu meletakkan
diri saya dalam posisi dan karakter selaras kehendak mereka.
"Namun begitu, mereka masih memberi kebebasan kepada saya untuk
mengendalikan Fulus dalam bentuk santai kerana fokus utama program ini
adalah untuk tontonan golongan muda,” katanya.
Tambahnya lagi, mengacarakan program ini merupakan satu anjakan
paradigma buat dirinya selain memberi amaran kepada masyarakat di luar
sana agar jangan melabelnya ustaz atau alim ulama hanya kerana program
itu diterbitkan stesen TV Al Hijrah.
"Tercapailah hasrat saya untuk mencuba bidang baharu selepas mengambil
keputusan berundur daripada Hot FM pada Oktober tahun lalu.
"Saya tidak jangka boleh mengacarakan program sebegini dan pada masa
sama saya tidak boleh lepaskan sekali gus ia membuktikan yang saya
berkemampuan mengacarakan program lain di samping hiburan.
"Biarpun saya bukanlah berstatus ustaz atau alim ulama, inilah sedikit amal jariah saya kepada masyarakat," katanya.
Bertuah mengendalikan rancangan berkenaan, Faizal mengakui terlalu
banyak mengenai sistem kewangan yang betul menurut garis panduan yang
ditetapkan dalam Islam dapat dipelajari.
"Mengacarakan Fulus adalah peluang terbaik kepada saya untuk mendalami
ilmu pengetahuan baharu yang ada ketikanya kita ambil mudah.
"Lagipun, inilah dakwah saya kepada masyarakat di luar sana," katanya.
No comments:
Post a Comment