Tak perlu kecoh - Zizan
Zizan Razak
NAMPAKNYA masih belum reda isu pelawak, pengacara dan pelakon, Zizan Razak yang terpaksa berdepan dengan saman oleh bekas pengurusnya, Marina Juki yang menuntut RM500,000.
Syarikat pengurusan Wire Fame Entertainment Sdn. Bhd., bertindak demikian selepas mendakwa Zizan telah melanggar kontrak pengurusan artis yang ditandatanganinya.
Mengulas mengenai hal itu, Zizan menyerahkan segala urusan itu dengan peguam nya. Dia tidak mahu bercerita lanjut mengenai hal itu walaupun ramai yang mahu mendengar reaksi daripada Zizan.
Mengaku dia seorang yang profesional, Zizan sedar dia tidak boleh bercakap banyak mengenainya dan mendakwa sepatutnya hal itu tidak dikecohkan kepada umum.
“Satu sebabnya kerana ia adalah hal peribadi. Masalah antara syarikat, masalah antara bekas pengurus. Rasanya tak perlulah kecoh. Saya tak nampak kenapa perkara ini perlu dihebohkan.
“Kenapa masa nak buka kontrak tak ada kecoh-kecoh, tapi bila jadi macam ni, nak dihebohkan pula? Saya rasa tak perlu,” katanya walaupun sebelumnya dia tidak mahu memberikan sebarang reaksi tetapi itulah reaksinya.
Zizan tidak bimbang hal berkenaan akan menjejaskan periuk nasinya sebagai seorang yang sesetengah pihak menganggap bertaraf "kelas A" .
Seperti biasa ayat klise ialah dia percaya pada rezeki dan ketentuan Tuhan.
“Kita kena percaya pada rezeki. Nak kata tak ada kesan langsung atau sebagainya, tidak juga, Saya berserah kepada Allah selagi saya percaya apa yang saya buat ni benar, InsyaAllah, perjalanan akan lancar,” katanya.
Tidak bercadang untuk mengadakan sidang akhbar semata-mata untuk meletakkan keadilan pada diri, kata Zizan dia tidak berani hendak berlebih-lebihan dalam berkata dan kerana itu, hal itu lebih selesa diserahkan kepada pihak peguam.
“Bukan tak pernah saya cakap pada mereka supaya hal itu diselesaikan secara baik tanpa melibatkan pihak mahkamah. Bila dah libatkan mahkamah, saya pun tak boleh komen lebih-lebih sebab ini juga arahan peguam.
“Sekarang ini, biarlah pihak peguam saja yang cakap. Biarlah orang yang bijak saja yang bercakap sebab saya pun bukan orang yang belajar tinggi,” katanya panjang lebar mengulas isu disaman itu.
Dikritik
Belum pun reda isu disaman oleh bekas pengurusnya, Marina Juki, Zizan juga dihurung dengan isu baru bila dipilih sebagai hos Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 6 Disember depan dipertikaikan.
Ada yang mendakwa, pemilihan Zizan yang digandingkan dengan Faizal Ismail untuk majlis tersebut adalah tidak sesuai kerana ada yang bimbang Zizan akan menghuru-harakan acara itu.
Orang ramai tidak mahu badut mengacarakan majlis segah itu, Zizan dikhuatiri tidak mampu mengendalikan majlis besar itu yang akan ditonton oleh jutaan penonton.
Tenang mengendalikan kritikan itu, Zizan mengaku tidak bengang dengan hal itu lantaran menganggap ia salah satu ujian yang perlu diharunginya sebagai seorang selebriti.
“Tak marah dan bengang pun sebab saya profesional dan suka menilai apa sahaja pandangan orang mengenai saya. Perkara-perkara begini mematangkan saya dalam industri dan kadang-kadang teguran begini memberi kesan positif pada kita sebagai seorang artis. Saya orangnya ringkas sahaja, tentu sekali boleh terima teguran,” katanya.
Sedar bahawa mengenai kebimbangan sesetengah pihak mengenai kebarangkalian dia akan mengendalikan majlis dengan lawak jenakanya yang keterlaluan, Zizan bagaimanapun awal-awal meletak jaminan bahawa dia akan memastikan keadaan sebegitu tidak berlaku kelak.
“Itu pandangan orang. Sebelum ini pun saya pernah mengacarakan Akademi Fantasia (AF) dan AIM. Jangan risau, sebab itulah adanya sesi latihan sebelum majlis sebenar bermula. Itu semua untuk memberi keseimbangan kepada kedua-dua pengacara nanti.
“Mungkinlah ada 10 ribu orang yang suka tengok kita mengacara. Tetapi ada pula seorang dua yang tak berapa gemar. Jadi suka atau tidak saya kena terima dan jadikan ia sebagai satu panduan. Tapi kalau orang tak suka juga, saya nak buat macam mana sebab masing-masing punya penilaian dan cara masing-masing,” katanya.
Tidak kisah jika ada pihak yang membandingkan caranya mengacara atara satu acara besar dengan acara besar yang lain, kata kekasih Emma Maembong ini, dia tidak mahu terlalu memikirkan hal tersebut yang dianggapnya subjektif.
Dalam pada itu, kata Zizan, dia yang sedar sejak kebelakangan ini banyak kontroversi melekat pada dirinya bagaimanapun menganggap ia adalah satu dugaan dan dia tidak mahu tertekan dengan masalah itu yang sekali gus mungkin akan mencacatkan kerjanya.
Foto Muhammad Syahmi (Praktikal)
- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/tak-perlu-kecoh-zizan-1.28120#sthash.FxGjZU7C.dpuf
No comments:
Post a Comment