UtusanDaily

Friday, 28 November 2014

Keith Foo dibayar RM400 demi mahu melihat beliau





BUKAN senang mahu melihat selebriti popular mencuci kereta sambil berinteraksi bersama dengan peminat.

Atas sebab itulah program 1MKL Saturday Charity Car Wash anjuran Menara Kuala Lumpur dan majalah hiburan popular URTV dengan kerjasama Wira Aeroback Performance CLub (WAPC) telah diadakan pada Sabtu lalu.

Selain orang ramai bersilih ganti mencuci kereta dengan bayaran hanya RM15 di kawasan parkir Menara Kuala Lumpur, sesi bidaan turut diadakan bagi sesiapa yang mahukan kereta mereka dicuci oleh para artis popular yang hadir.

Keith Foo, antara aktor terkenal yang menyertai program berkenaan dan telah mendapat nilai bidaan tertinggi iaitu sebanyak RM400 oleh seorang suri rumah, Sania Saidi yang sanggup membayar sejumlah besar wang hanya mahukan pelakon tersebut mencuci keretanya.

Selain Keith Foo,antara artis lain yang turut turun padang ialah Izzue Islam, Miera Lyana, Aweera, Izreen Azminda, sherry Ibrahim, Nur Risteena, Zoey Rahman, Julia Ziegler dan pasangan duo ZiaBella.

Bagi Keith sendiri yang begitu padat dengan komitmen di set penggambaran, dia mengaku cukup terharu apabila diberikan peluang untuk menyertai program amal tersebut.

“Berbakti kepada golongan kurang upaya seperti kanak-kanak sindrom down ini adalah perkara yang sentiasa ingin saya lakukan. Walaupun sibuk dengan kerjaya, saya seboleh mungkin mahu sertai program amal ini sebagai tanda bakti kepada masyarakat terutamanya kepada golongan yang memerlukan.

“Dengan rezeki dan populariti yang saya kecapi sekarang, saya tidak akan berada di tahap sekarang tanpa sokongan yang tidak putus-putus masyarakat di luar sana. Jadi saya mahu berterima-kasih kepada semua dengan melakukan kerja-kerja amal,” katanya.

Keith turut tidak dapat menyembunyikan perasaan terkejutnya tatkala ada peminat yang sanggup mengeluarkan wang sebanyak RM400 semata-mata mahu dirinya mencuci kereta tersebut.

“Saya tidak menyangka ada peminat yang sanggup membayar RM400 untuk saya mencuci keretanya.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada pembida iaitu Puyan Sania Saidi kerana sudi membuat amal bersama saya dan artis-artis lain,” kata Keith yang berharap program amal sebegini akan diteruskan pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan, menyifatkan sokongan artis orang ramai yang hadir sebagai satu penghargaan buat program tersebut.

“Kami berbesar hati kerana program amal ini berjalan dengan lancar. Dengan kerjasama yang telah diberikan oleh majalah URTV, WAPC dan artis yang hadir untuk sama-sama mengurangkan beban anak-anak istimewa tersebut, ini satu acara terpuji. Saya berharap program amal seumpama ini dapat diteruskan dengan kerjasama daripada ramai pihak,” jelas Shahril.

Hasil keseluruhan bidaan serta cucian kereta, telah menjadikan kesemua sumbangan berjumlah RM2,390 dan akan diserahkan kepada Persatuan Sindrom Down Malaysia.

Selain Shahril, tetamu VIP yang turut hadir memeriahkan acara ialah Ketua Pegawai Operasi Utusan Karya Sdn. Bhd., Azlan Naim Abdullah dan Setiausaha Kerja Persatuan Sindrom Down Malaysia, Nor Azleen Abdullah.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive