SAYA janda anak empat berumur 35 tahun dan suami
berumur 24 tahun. Dia suami baru saya selepas setahun saya bercerai
dengan suami terdahulu. Empat anak saya dipelihara keluarga bekas suami.
Untuk pengetahuan, perkenalan saya dan suami berlaku secara tidak
sengaja di laman Facebook. Kami hanya berhubung di inbox message dan
dari situ saya menceritakan segala masalah yang pernah saya lalui
termasuklah mengenai kisah penceraian saya.
Atas dasar simpati dan kasih sayang yang semakin bertaut, dia ajak saya
berjumpa dan terjalinlah hubungan antara kami. Tidak sampai setahun,
kami pun bernikah tetapi di daerah kelahiran saya di Pulau Pinang tanpa
pengetahuan ibu bapa mahu pun adik beradiknya.
Saya terpaksa menurut kehendak suami yang mahu merahsiakan perhubungan kami dengan keluarganya kerana saya takut kehilangannya.
Menurut suami, keluarga pasti tidak merestui perhubungan kami kerana
dia masih muda, anak bongsu dalam keluarga manakala saya seorang janda
dan lebih berusia daripadanya. Dia berjanji apabila tiba masa sesuai,
dia akan menceritakan mengenai perkahwinan kami.
Sebenarnya doktor, kami berdosa kerana melakukan hubungan terlarang dan saya hamil dua bulan ketika bernikah dengan suami.
Perkahwinan kami mengikut prosedur negara ini dan diketahui keluarga
saya. Bulan berganti bulan, suami masih belum berterus terang dengan ibu
bapanya. Dia selalu balik ke kampung keluarganya tanpa saya tetapi
setiap kali dia kembali apabila saya bertanya adakah dia berterus
terang, dia beritahu belum sesuai.
Saya amat tertekan dengan situasi ini tambahan pula kandungan semakin membesar.
Entah macam mana kakak dan abangnya mengetahui perihal perkahwinan kami. Mereka pujuk suami pulang ke kampung untuk berbincang.
Balik sahaja dari kampung, suami terus keluar dari rumah tanpa
memberikan penjelasan. Saya merayu kepada suami tetapi dia tidak mahu
bercakap apa-apa.
Saya kejar suami sehingga dia balik ke rumah sewa lamanya. Dari pagi
sehingga petang saya tunggu suami keluar tapi dia tidak endahkan saya.
Telefon dan mesej tidak berjawab. Saya menangis dan merayu sehingga saya
penat dan akhirnya balik ke rumah dengan perasaan hampa.
Esoknya saya ke sana lagi. Kawan serumah suami beritahu suami sudah
pindah tetapi saya tahu suami saya masih ada di dalam rumah dan sengaja
tidak mahu berjumpa.
Saya cari contact kakak dan abangnya menerusi Facebook dan apabila
dapat berhubung kakaknya menjawab yang saya telah menyihir suami
sehingga berkahwin dengan saya.
Ya ALLAH... saya terduduk. Mereka menghasut suami dengan mengatakan
anak dalam kandungan saya bukan anak suami. Dan suami bernikah dengan
saya kerana sihir. Kononnya suami tersedar selepas berubat di kampung.
Saya hantar mesej merayu suami jangan buat saya begini. Saya pernah
melalui perceraian sebelum ini dan saya tidak sanggup mengharunginya
sekali lagi dalam keadaan saya mengandungkan anaknya. Tetapi suami tidak
menjawab soalan saya.
Saya pulang dengan hampa. Ketika itu kandungan saya masuk lima bulan.
Kini sudah lapan bulan dan suami langsung tidak pulang menjenguk saya.
Saya bekerja kilang dan terpaksa berulang alik naik motor seorang diri
untuk bekerja. Dalam keadaan mabuk hamil saya terpaksa juga bekerja demi
mencari wang untuk bersalin nanti.
Saya benar-benar tertekan dan tidak tahu apa saya perlu lakukan. Saya
hanya mampu menangis. Makan minum saya sudah tidak menentu tapi saya
perlu teruskan hidup untuk anak kami.
Zai,
Pulau Pinang
APA KATA PAKAR oleh Dr HM Tuah Iskandar al-Haj
Berhentilah menangis kerana ia tidak baik untuk janin dalam kandungan.
Sesuatu yang kita lakukan, akuilah kesan dan akibatnya. Bersedih tidak
akan membawa kepada sebarang keuntungan sebaliknya masalah akan semakin
kusut.
Sangat ramai orang yang hujungnya menghubungi saya atas masalah yang
sama. Saya menjadi sangat pelik memikirkan bagaimanalah orang kita
terlalu mudah mengambil keputusan yang selalu bertentangan dengan adat
kebiasaan, budaya, malah agama.
Ceritanya sama sahaja; gagal perkahwinan pertama, maka mencari
alternatif di laman sosial, kemudian menjadi mesra lalu berjumpa. Tidak
lama kemudian cinta pun berputik lalu tidak segan-segan melakukan seks
haram. Seterusnya hamil sedang si lelaki berkenaan mula berubah. Tragedi
pun bermula dan airmata pun tidak sudah-sudah ditumpahkan.
Keadaan serupa ini sudah terlalu kerap dipaparkan dalam drama-drama Melayu tetapi orang masih berbuat kesilapan yang sama juga.
Memang tidak dinafikan masalah anda sangat berat. Manakan tidak, bakal
melahirkan anak tanpa suami di sisi meskipun anda telah berkahwin secara
sah. Pada saya anda telah melakukan segala-galanya untuk mendapatkannya
kembali, maka berhentilah daripada terus menagih kasih.
Andainya keluarga suami sendiri sudah tidak dapat bersikap adil, dan
suami juga menjauhkan diri beralihlah kepada keluarga sendiri. Selalunya
dalam hal begini keluarga akan berpihak kepada diri kita, sebagaimana
keluarga suami sedang berpihak kepadanya sekarang. Melalui campur tangan keluarga, suami boleh dicari.
Terlalu banyak kesilapan yang anda lakukan dalam perkahwinan kedua ini.
Sepatutnya sebagai orang yang pernah mengalami masalah perceraian dan
lebih matang. Perkahwinan rahsia memang membawa akibat yang besar, lebih
besar apabila meninggal dunia.
Cuba fikir apa akan jadi pada anda dan anak yang dikandung andainya
suami meninggal dunia, sedang tiada siapa tahu akan perkahwinan ini.
Bukankah lebih baik hidup menjanda daripada berkahwin lagi dengan orang
yang tidak pasti? Anda hanya mengenalinya melalui laman sosial dan
berkahwin dengannya melalui syarat yang tidak boleh diterima, sebab
bukankah sunah mewar-warkan perkahwinan, bukan merahsiakannya?
Perkara yang telah berlalu biarkanlah, sekarang bersedia dengan
kekuatan mental untuk berdepan dengan masalah yang berbangkit ini.
Selain meminta bantuan keluarga, anda boleh memfailkan kes ini di
pejabat agama. Ikut semua yang dinasihati, dalam kata lain bertindak
mengikut saluran undang-undang.
Usah pergi lagi ke rumah sewanya, merayu dan menangis, itu sangat
buruk. Ia juga boleh menyebabkan orang berfikir macam-macam tentang
anda, hujungnya anda juga yang akan dipersalahkan.
Dalam keadaan sekarang menjaga maruah diri adalah lebih penting daripada mendapatkan suami.
Bukankah anda dituduh menyihirkan suami?
Jika terus bertindak gila, perkataan-perkataan yang tidak molek akan
semakin anda perolehi. Dia seorang yang muda, mungkin juga dia
mengahwini anda bukan atas dasar cinta, maklumlah orang muda biasanya
banyak pilihan, apalagi setelah mendapat nikmatnya hubungan seksual
sebelum bernikah lagi.
Dan usahlah terlalu risau, saya percaya apabila anak lahir nanti, suami akan kembali.
Meskipun anak itu anak luar nikah tetapi dia adalah dari zuriat suami, bukan?
Walaupun sekarang ini anda dituduh macam-macam tentang status anak itu
tetapi anda dan suami sangat mengetahuinya, bahawa anak itu adalah anak
anda berdua. Dia akan teruja untuk melihat zuriatnya kelak dan
perhubungan insya-ALLAH akan terjalin kembali.
No comments:
Post a Comment