UtusanDaily

Friday, 7 November 2014

Apabila Bayi alami kembung perut..!!!

Beri keselesaan sewajarnya pada bayi ketika dia menghadapi kembung
Beri keselesaan sewajarnya pada bayi ketika dia menghadapi kembung perut. - Gambar hiasan

Kegembiraan menimang cahaya mata bagi pasangan yang baharu pertama kali bergelar ibu atau bapa, mungkin terbantut apabila bayi kecil mereka kerap menangis kerana mengalami masalah kembung perut.

Disebabkan, tiada pengalaman, rasa cemas dan tidak tenteram sukar dibendung, apatah lagi dengan keadaan bayi yang menangis berlarutan hingga beberapa jam.

Pelbagai cara dilakukan seperti menyapu minyak pada perut atau mendodoikannya, dengan harapan tangisan reda dan bayi kembali tenang.

Menurut Prof. Madya Dr. Josie Rogacion, di Jabatan Pediatrik, Kolej Perubatan, Universiti Filipina, bayi menangis merupakan satu petanda yang baik terhadap keperluannya.

Bagaimanapun, ia juga boleh jadi isyarat ada sesuatu yang tidak kena pada bayi tersebut dan perlu diberi perhatian.

“Setelah lahir saluran gastrousus menyesuaikan diri dengan fungsi baharu dalam badan. Keadaan ini mungkin menyebabkan bayi tersebut menghadapi gejala-gejala seperti kembung perut, muntah-muntah, perut berangin, sembelit dan cirit-birit ringan

“Kembung perut adalah keadaan di mana bayi yang sihat menunjukkan reaksi tidak selesa, merengek dan menangis tanpa sebab yang jelas

“Keadaan tersebut berlaku pada bayi dalam tempoh beberapa minggu pertama kelahiran. Kira-kira 40 peratus daripada bayi-bayi di seluruh dunia mengalami keadaan ini,” jelasnya pada forum bersama media bertajuk Akhirnya, Keselesaan untuk Kembung Perut, anjuran Nestle, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, ibu bapa yang sedang menghadapi masalah bayi kerap menangis tidak perlu risau, sebaliknya mereka boleh menggunakan beberapa cara untuk mengenal-pasti masalah kembung perut pada bayi.

“Perhatikan tempoh bayi anda menangis. Jika ia melebihi daripada tiga jam itu bermakna bayi tersebut sedang menanggung kesakitan akibat kembung perut

“Pantau juga bilangan hari bayi anda menangis. Jika tangisan tersebut berlaku tiga hari dalam seminggu langkah sewajarnya perlu diambil

“Paling parah adalah apabila keadaan bayi anda yang sering menangis sehingga berterusan selama lebih daripada tiga minggu,” ujarnya.

Dr. Rogacion berkata, masalah kembung perut yang selalu berlaku kepada bayi, berkaitan dengan beberapa perkara termasuklah persekitaran.

Katanya, kembung biasanya disebabkan fungsi pencernaan bayi masih belum matang, selain intoleransi kepada laktosa, dan alergi terhadap protein susu lembu

“Kembung juga boleh disebabkan oleh keadaan ibu baharu bersalin yang resah sehingga gagal mengendalikan bayinya dengan cara betul seperti cara mendukung atau memangku bayi,” jelasnya.

Dr. Rogacion menambah, kekurangan waktu tidur pada malam hari bagi bayi yang mengalami kembung perut adalah amat ketara sehingga turut mengganggu waktu tidur ibu dan bapa.

Bayi dengan masalah kembung perut lebih empat kali dalam satu malam akan memberi tekanan perasaan kepada ibu, sekali gus mengganggu kualiti tidur dan memberi kesan dalam kehidupan seharian mereka

“Walaupun kembung perut bukan masalah perubatan yang berat dan akan pulih dalam tempoh empat hingga lima bulan, masalah ini memberi kesan dan kebimbangan kepada keluarga.
Keadaan ini memerlukan penyelesaian daripada pakar-pakar penjagaan kesihatan

“Bayi yang mengalami kembung perut mempunyai risiko lebih tinggi mengalami kesakitan di bahagian abdomen dan penyebab kepada masalah tidur di kemudian hari,” ujarnya.

Dr. Rogacion turut menjelaskan, beberapa kajian telah membuktikan keberkesanan sejenis probiotik, Lactobacillus reuteri dalam mengurangkan masalah kembung perut dan masalah lain pada bayi.

“Kajian tersebut juga menunjukkan probiotik tersebut tidak hanya berkesan kepada bayi, malah sesuai untuk kegunaan keluarga dengan peningkatan sebanyak 60 peratus kualiti kehidupan mereka.

“Lagi satu kajian lain menunjukkan kanak-kanak mengalami kekurangan tangisan sebanyak 74 peratus hanya dalam satu minggu,” katanya.

Beliau juga menyatakan kajian perbandingan, probiotik Lactobacillus reuteri terbukti lebih berkesan berbanding rawatan yang paling biasa digunakan.

Kajian juga membuktikan bahawa Lactobacillus reuteri mampu memberi keselesaan kepada sistem gastrousus bayi dengan mengawal selia fungsi pencernaan, mengurangkan sembelit dan kesakitan abdomen serta mencegah timbulnya kembung perut.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive