Sup tulang bermanfaat kukuhkan fungsi sistem imun. - Foto oleh KKSB
PARACETAMOL dikatakan merupakan ubatan yang paling
biasa dipreskripsi untuk demam selesema dan flu serta penghidap demam
denggi. Preskripsi paracetamol bertujuan mengurangkan suhu badan yang
meningkat serta membantu mengurangkan rasa sakit.
Rasa sakit yang didapati biasa dialami penghidap demam yang berpunca
daripada inflamasi atau keradangan termasuk sakit kepala, sengal sendi,
sengal otot dan sakit belakang. Paracetamol yang juga dipreskripsi
kepada kanak-kanak memiliki kelemahan iaitu ia dikatakan boleh
menimbulkan kesan/gejala sampingan buruk contohnya kegagalan buah
pinggang berpunca daripada pengambilan berlebihan.
Ramai pengkritik percaya walaupun ia diambil pada sukatan dan tempoh
yang dicadangkan, namun kesan sampingan buruk boleh dialami mereka yang
sensitif kepada paracetamol. Sensitiviti kepada sesuatu bahan yang
dimakan/minum bukan sahaja berlaku terhadap ubat-ubatan malah berlaku
kepada makanan, ubatan herba, pewarna, perisa, bahan pengawet dan
suplemen.
Penulis percaya pembaca budiman pernah mendengar terdapat individu yang
sensitif kepada rumpai laut dan garam! Tindak balas yang kurang
menyenangkan seperti kulit mengalami ruam atau gatal ialah antara
sensitiviti terhadap rumpai laut.
Sebenarnya terdapat pelbagai bahan yang dikategorikan sebagai bahan
rawatan alternatif yang boleh diambil sama ada secara bersama (1 jam
sebelum atau selepas) dengan ubat-ubatan moden yang dipreskripsi doktor
atau dijadikan sebagai agen rawatan utama.
Rawatan alternatif
Bahan yang bersifat perangsang/pengukuh sistem imun (immunostimulant),
antivirus, antibakteria dan anti keradangan adalah bahan sesuai diambil
ketika seseorang baharu sahaja mengalami simptom demam atau sedang
mengalami demam berpunca daripada jangkitan virus.
Sifat antibakteria contohnya seperti dimiliki oleh neem (daun mambu),
bunga cengkih, thyme, dan oregano dapat membantu mencegah atau merawat
infeksi sekunder yang dialami penghidap demam selesema atau flu.
Beberapa dekad kebelakangan ini terdapat pelbagai kajian sains
menunjukkan bahawa sistem imun manusia dipengaruhi kestabilan flora
usus. Gaya hidup termasuk makanan yang sesuai dipercayai dapat membantu
mengharmonikan koloni flora yang sebahagian besar terdiri daripada
bakteria.
Makanan yang tinggi karbohidrat terutama karbohidrat terproses
dipercayai menyebabkan bakteria jahat mendominasi usus. Sebaliknya
makanan terdiri daripada protein, lemak dan karbohidrat yang seimbang
pula dipercayai membantu meningkatkan jumlah bakteria baik.
Sungguhpun beberapa kajian terkini menunjukkan bakteria jahat juga
menjalankan fungsi bermanfaat kepada kesihatan manusia namun keharmonian
koloni kedua-dua jenis bakteria baik dan jahat setakat ini dipercayai
adalah jauh lebih penting.
Sesetengah doktor konvensional yang memahami kesan makanan terhadap
beberapa jenis tahap kesihatan akan menasihatkan agar penghidap diarea
mengelakkan daripada makan buah-buahan.
Ini kerana buah-buahan terutama jenis yang manis dan kurang serat akan
memburukkan lagi keadaan diarea. Keadaan ini berlaku dipercayai berpunca
dari karbohidrat ringkas meningkatkan jumlah bakteria jahat dan
seterusnya menyebabkan koloni bakteria baik dan jahat menjadi tidak
seimbang.
Orang Cina biasa memberi sup yang mengandungi ayam dan beberapa jenis
herba termasuk cendawan. Ayam kaya dengan protein di mana ia membantu
meningkatkan jumlah bakteria baik dalam usus. Fungsi protein dibantu
secara sinergi oleh beberapa jenis herba yang ditambah ke dalam sup.
Amalan mengambil sup rebusan tulang yang dimasak dengan api sederhana
selama beberapa jam diamalkan orang Barat yang mengamalkan pemakanan
tradisional dalam menangani penyakit. Sum-sum tulang sebenarnya kaya
dengan asid amino iaitu bahan binaan asas protein. Sup ayam/ikan orang
Cina yang mengandungi herba dan sup tulang orang Barat dikatakan mujarab
dalam membantu meredakan demam seperti demam selesema, flu atau
sebarang demam berpunca daripada jangkitan virus.
Pengambilan vitamin C
Orang Melayu juga tidak kurang hebat dari segi menyediakan beberapa
jenis sup termasuk sup tulang, sup ayam atau sup daging. Sup ini
termasuk sup ikan yang dimasak dengan api sederhana juga mengandungi
jumlah asid amino tinggi.
Selain membantu mengharmonikan koloni bakteria baik dan jahat, sup
tersebut yang diambil ketika masih panas membantu mengeluarkan peluh dan
seterusnya akan menyejukkan tubuh.
Rencah asas sup iaitu bawang, bawang putih, halia serta rempah terdiri
daripada bunga cengkih dan kayu manis dalam sup yang disediakan orang
Melayu semuanya bersifat antivirus.
Jadi, bagi tujuan pencegahan dan rawatan, antara sistem yang utama
perlu diberi perhatian agar sentiasa dipulihara ialah sistem imun.
Stres, makanan merapu (makanan kandungan gula tinggi, terproses),
nutrien dalam tubuh tidak seimbang serta detoksifikasi tidak lancar
dipercayai merupakan punca ketidakseimbangan sistem imun.
Jadi, seseorang yang ingin mendapatkan sistem imun yang cemerlang perlu
mengurus stres dengan bijak, bijak memilih jenis makanan serta
mengelakkan diri dari mengambil makanan yang menyukarkan proses
detoksifikasi.
Seseorang yang sering sembelit mudah mengalami pelbagai penyakit seperti sakit kepala, sengal tubuh/sendi dan demam.
Secara ringkas, beberapa jenis herba antivirus yang boleh digunakan
bagi merawat demam termasuk demam selesema dan flu ialah bawang putih,
bunga cengkih, kayu manis, oregano, thyme, neem, rosemary dan astragalus
(kedai singse: Wong-Ke).
Di samping itu suplemen zink dan asid askorbik (vitamin C) dos tinggi
juga juga amat penting. Ia membantu memperkukuh sistem imun serta ia
bersifat antivirus!
Sebanyak 3,000 – 5,000 mg (1,000 mg setiap 4 jam) vitamin C, 1 tablet
zink (bersamaan 75 mg zink elemen), 3 kapsul neem (1 kapsul diambil
setiap 4 jam dapat membantu mengukuhkan sistem imun.
Minyak hati ikan kod juga penting kerana kandungan omega-3, vitamin D
dan A membantu mengukuhkan sistem imiun. Ia juga bersifat anti
keradangan.
Terdapat banyak persamaan antara denggi dan Ebola dari segi patologi
terutama dari sudut ketidakfungsian endotelia dan pendarahan.
Penulis percaya vitamin C dos tinggi perlu dijadikan ‘suplemen wajib’
dalam membantu merawat denggi dan Ebola bagi mencegah atau meredakan
denggi/Ebola berdarah. Jus daun betik juga dipercayai amat membantu
untuk merawat kedua-dua jenis demam ini.
Virus-virus penyebab denggi dan Ebola dikatakan menyebabkan tubuh
mengalami kekurangan nutrien tertentu termasuk vitamin C. Paras vitamin C
yang amat rendah atau tiada langsung, dipercayai menyebabkan salur
darah termasuk arteriol dan kapilari pecah lalu menyebabkan pendarahan.
Jadi, pengambilan vitamin C dos tinggi dipercayai dapat menghalang
pendarahan dengan mengukuhkan mekanisme pencegahan pendarahan. Suplemen
vitamin C – 1,000 mg jenis slow released adalah pilihan yang baik.
Simpan artikel ini baik-baik kerana mungkin anda amat memerlukannya suatu ketika nanti.
Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AH G)
No comments:
Post a Comment