UtusanDaily

Thursday, 25 September 2014

Alat pencegah hamil untuk lelaki

Alat pencegah kehamilan biasanya lebih sinonim kepada golongan wanita atau isteri. Sejak sekian lama beberapa alat pencegahan kehamilan telah dibangunkan seiring dengan kemajuan teknologi perubatan bertujuan untuk merancang kehamilan.

Biarpun terdapat beberapa kaedah pencegahan kehamilan membabitkan pihak lelaki, kaedahnya terhad seperti penggunaan kondom atau pembedahan vasektomi atau pemandulan.

Begitu pun dalam tempoh tiga tahun akan datang golongan lelaki bakal mempunyai lebih banyak pilihan dalam penggunaan alat pencegah kehamilan, yang tidak perlu melibatkan penggunaan kondom.

Ujian terhadap alat pencegah kehamilan baharu berbentuk suntikan, Vasalgel, ini menunjukkan keputusan yang cukup meyakinkan.

Ketika ini ia sedang dibangunkan oleh Yayasan Parsemus, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang giat menjalankan penyelidikan perubatan yang berbentuk penyelesaian masalah pada kos yang rendah.

Pertubuhan itu berharap kaedah baharu itu akan lebih murah, bertahan lama dan boleh diterbalikkan (kembali ke asal).

Vasalgel adalah hidrogel polimer yang akan disuntik ke dalam vas deferens iaitu tiub yang menyalurkan sperma ke zakar.

Gel tersebut akan bertindak menyekat pengaliran sperma, sekali gus menghindari kehamilan.

Mereka berkata, prosedur ini mempunyai kesan yang sama jika melakukan pembedahan vasektomi (pemandulan), tetapi kurang berbahaya memandangkan ia tidak memerlukan pembedahan dan tiub vas deferens hanya disekat dengan gel, bukan memotongnya.

Mereka juga berharap kaedah pencegahan hamil ini lebih murah dengan kosnya tidak melebihi daripada harga sebuah TV skrin leper.

Dalam ujian yang sedang dilakukan ketika ini terhadap babun, tiga haiwan tersebut disuntik dengan alat pencegah hamil Vasalgel. Setiap babun tersebut kemudian diletakkan di dalam sangkar bersama 10 hingga 15 babun betina.

Selepas enam bulan, tiada seekor pun babun betina tersebut bunting.

Apa pun ujian tersebut masih berjalan dan menjelang akhir tahun ini, Yayasan Parsemus yakin akan mendapat lebih banyak maklumat mengenai sama ada Vasalgel tersebut berkesan atau sebaliknya.

Mereka menambah, jika segalanya berjalan lancar pihak penyelidik merancang untuk menjalankan ujian klinikal ke atas manusia bermula tahun depan.

Antara kelebihan alat pencegah kehamilan ini, keadaan boleh kembali ke asal. Maksudnya, jika lelaki tersebut mahu sekatan tersebut dihapuskan, satu lagi gel polimer boleh disuntik untuk membuang Vasalgel yang menyekat sperma.

Produk tersebut mempunyai asas sama dengan satu lagi alat pencegah hamil lelaki yang sedang dibangunkan dipanggil RISUG.

Kedua-duanya, RISUG dan Vasalgel bertindak pada prinsip penggunan gel bagi menyekat tiub vas deferens, tetapi dengan formula berbeza.

Apa yang tidak disebut oleh Yayasan Parsemus ialah berapa lama suntikan Vasalgel boleh bertahan sebagai alat pencegah hamil, namun setakat ini suntikan RISUG dikatakan boleh bertahan untuk 10 tahun.

Jurucakap dari Yayasan Parsemus berkata: “Kami sedang berusaha untuk memasarkan Vasalgel secepat yang mungkin, tetapi ujian dari aspek keselamatan dan keberkesanannya perlu diselesaikan dengan betul.

“Vasalgel ketika ini diuji pada haiwan. Ujian pada manusia dijangka bermula awak tahun 2015 dan antara 2015 hingga 2016 untuk ujian lebih besar.

“ Jika semuanya berjalan lancar dan kita memperoleh cukup sokongan daripada orang awan, kami berharap dapat mengeluarkan Vasalgel di pasaran pada 2016-2017," kata jurucakap tersebut.

Yayasan itu juga dijangka akan merayu sumbangan daripada orang awam bagi membiayai ujian klinikal ke atas manusia pada tahun depan.

Kaedah lain pencegah hamil untuk lelaki

Satu lagi alat pencegah hamil untuk lelaki yang sedang diperingkat awal kajian adalah pill ‘cadar bersih’ atau ‘orgasma kering’.

Ubat ini boleh diambil sebelum melakukan hubungan seks, yang akan membuatkan tiada pengeluaran air mani ketika orgasma (puncak syahwat).

Lelaki tersebut masih merasai nikmat orgasma yang sama tetapi tiada air mani dikeluarkan.

Para penyelidik merancang untuk mereka ubat yang akan memberi kesan dalam tempoh beberapa jam selepas pengambilannya, tetapi akan hilang keberkesanananya dalam tempoh 24 jam.

Lelaki hanya akan mengambil pil tersebut jika diperlukan iaitu sebelum melakukan hubungan seks. - Agensi

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive