UtusanDaily

Thursday, 1 May 2014

Sekarang ini miliki RM1 juta bukan lagi jutawan

KUALA LUMPUR 30 April - Memiliki RM1 juta tidak lagi layak digelar jutawan sebaliknya mereka yang ingin mencapai status tersebut perlu memiliki sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3.26 juta).

Bagaimanapun, bagi mereka yang hanya mempunyai AS$1 juta tetapi tidak dilaburkan, ia juga tidak membawa sebarang makna kerana dana kekayaan itu tidak berkembang.

Ketua Pegawai Akademik Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi (gambar) berkata, perkara itu amat penting memandangkan Malaysia menyasarkan untuk mempunyai 68,000 individu berpendapatan tinggi bersih (HNWI) yang memiliki pendapatan terkumpul sebanyak AS$330 bilion (RM1.08 trilion) menjelang 2015.

“Di luar sana, sebenarnya ramai orang yang sibuk membuat duit tetapi tidak melaburkannya. Malah, ada juga yang tidak tahu bagaimana untuk membuat pelaburan. Jadi, mereka ini perlu dibimbing dan diberi nasihat memandangkan pasaran bagi industri pengurusan kekayaan amat besar dan berpotensi luas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel bagi sesi perbincangan yang menyentuh topik tentang Masa Depan Industri Pengurusan Kekayaan Islam di Malaysia sempena Simposium Pengurusan Kekayaan Islam 2014 di sini hari ini.

Seminar tersebut dianjurkan oleh BNP Paribas-INCEIF dan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).

Turut terlibat pada sesi tersebut ialah, Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC, Saiful Bahari Baharom dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kewangan Islam Antarabangsa Bersekutu, Dr. Mohd. Daud Bakar.

Menurut Syed Othman, dari segi pasaran global di peringkat Asia, HNWI China menguasai aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak AS$8.8 trilion (RM28.74 trilion) berbanding jumlah keseluruhan iaitu AS$15.8 trilion (RM51.59 trilion) yang disumbangkan oleh 2.28 juta HNWI menjelang 2015.

“Baki daripada jumlah itu disumbangkan daripada negara-negara Asia lain termasuk Malaysia," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, kesedaran tentang pengurusan kekayaan di Malaysia masih berada di tahap yang lemah sedangkan ia memiliki potensi untuk berkembang dengan baik.

“Dalam tempoh lima tahun, pengurusan kekayaan di Malaysia akan mencapai pertumbuhan 100 peratus didorong oleh perkembangan positif dari segi aset persendirian," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140501/ek_03/Miliki-RM1-juta-bukan-lagi-jutawan#ixzz30QV2Whhy
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive