DR AMINUDIN MANSOR
Gambar Hiasan
PANGGILAH apa sahaja, ibu, emak, mama dan ummi serta beberapa gelaran atau panggilan yang lain.
Semua panggilan itu menunjukkan taraf ibu tiga kali tinggi daripada
bapa. Kata “ibu bapa” - ibu mendahului bapa, kita tidak sebut “bapa ibu”
yang boleh membawa maksud lain iaitu ibu kepada bapa. Begitulah
tingginya darjat ibu.
Tetapi apa yang menjadi fenomena pada masa kini kepada ibu, emak, mama
dan ummi mereka kini menghadapi masalah dalam mendidik anak-anak
terutama anak remaja yang berusia 13 hingga 20 tahun.
Tambah lagi jika anak remaja tersebut ramai kawan, tak dengar cakap dan sukar dikawal.
Banyak kes anak-anak remaja kini tak dengar cakap ibu, emak, mama dan ummi lagi. Mereka lebih dengar cakap kawan.
Mereka lebih percaya kepada kawan dan lebih kerap berhubung melalui
Telefon Pintar dengan kawan berSMS dengan kawan, berFacebook,
berTwitter, berWhatsApp dengan kawan juga berinteraksi dengan kawan
melalui pelbagai cara di media baharu.
Jarang sekali ibu, emak, mama dan ummi dihubungi melalui telefon
kecuali nak minta wang atau mungkinlah pada Hari Ibu setahun sekali.
Inilah fenomena era globalisasi yang menduga kesabaran dan ketabahan
ibu, emak, mama dan ummi dalam menghadapi cabaran hidup. Mungkin juga
apabila seseorang anak itu akan berkahwin baharullah mereka memberitahu
ibu, emak, mama dan ummi.
Seorang sahabat bertanya kepada Nabi SAW, “Ya Rasulullah siapa yang
paling berhak memperoleh pelayanan dan persahabatanku?” Nabi SAW
menjawab, “Ibumu… ibumu… ibumu, kemudian ayahmu dan kemudian yang lebih
dekat kepadamu dan yang lebih dekat kepadamu.” (Riwayat Mutafa’ alaih).
Begitulah pentingnya ibu, emak, mama atau ummi dalam kehidupan. Layanan
dan persahabatan di sini bermaksud perlakuan yang baik dan anak
sentiasa menjadi sahabat kepada ibu, emak, mama dan ummi. Layanan dan
persahabatan ini tiga kali lebih daripada bapa atau ayah.
Lantaran itu, mengubah sikap supaya ibu lebih diutamakan daripada
kawan, sahabat atau kekasih mestilah berlaku dalam kehidupan
bermasyarakat.
Jika keadaan ini berlaku perubahan yang baik mesti berlaku kerana ibu,
emak, mama dan ummi sentiasa mahukan yang terbaik untuk anaknya. Itulah
sebabnya doa ibu, emak, mama dan ummi sangat mustajab untuk anaknya.
Banyak kata nasihat dan pedoman daripada pujangga Melayu sejak dahulu
berkaitan dengan ibu. Antaranya: “Cinta ibu tidak pernah lapuk”, “Cinta
ibu adalah yang paling baik daripada segala-galanya”, “Di sisi ibu
adalah tempat yang paling aman dan tenteram”, “Yang perlu ditabung oleh
seorang ibu adalah kesabaran.”
Begitulah hebatnya pandangan melalui pemerhatian dan pengalaman pemikir
dahulu berkaitan dengan ibu. Memanglah seseorang ibu, emak, mama atau
ummi itu perlukan kesabaran dalam mendidik anak-anak terutama di era
globalisasi yang penuh sensasi.
Di era inilah anak-anak sukar mendengar cakap, suka melawan cakap ibu,
emak, mama dan ummi kerana pelbagai pengaruh dari luar yang amat kuat
dan hebat.
Oleh itu, dengan kesabaran ibu, emak, mama dan ummi zaman ini kena
belajar pelbagai ilmu terutama ilmu berkaitan teknologi maklumat (IT)
supaya tidak mudah ditipu oleh anak-anak.
Penguasaan ilmu, kehebatan kesabaran, ketabahan mendidik dan pesanan
yang beribu-ribu kepada anak walaupun tidak disukainya adalah menjadi
tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh seorang ibu, emak, mama dan
ummi dengan sokongan kuat daripada bapa.
Hasilnya anak-anak akan berjaya di dunia dan akhirat dan tidak mudah
terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang boleh membawa sial.
Ingatlah, hargailah ibu, emak, mama dan ummi semasa dia masih hidup.
Terdapat juga pandangan yang mengatakan, seorang ibu berharap anak
perempuannya memperoleh suami yang lebih baik daripadanya, tetapi dia
tahu anak lelakinya tidak akan mendapatkan isteri sebaik isteri bapanya.
Sempena Hari Ibu diucapkan “Selamat Hari Ibu; semoga ibu selalulah berdoa kepada anakmu” dengan kebaikan dan kesejahteraan.
No comments:
Post a Comment