UtusanDaily

Monday 12 May 2014

Hudud: Fakta untuk perhatian rakyat Malaysia

IRFAN I.S

Hudud

1. Kelantan telah diperintah oleh Pas yang mempunyai sejarah menegakkan Islam bukan sahaja sejak 1990 apabila menang di Kelantan bersama Semangat 46, tetapi lebih awal daripada itu, Pas pernah memerintah Kelantan dalam siri-siri pusingan PRU di Malaysia.

2. Kerajaan Pas Kelantan telah meluluskan Enakmen Undang-Undang Syariah pada tahun 1993.

Kemudian apabila memerintah Terengganu, Pas juga telah meluluskan Enakmen Undang-undang Syariah di Terengganu. Kedua-duanya telah diluluskan di Dun, tetapi belum dapat dilaksanakan kerana pelbagai faktor dalaman dan luaran.

Faktor dalaman ialah daripada Pas dan kerajaan negeri sendiri, manakala faktor luaran adalah kerajaan Persekutuan, parti-parti politik, masyarakat awam dan perspektif global terhadap undang-undang jenayah Islam.

3. Perbincangan yang berlaku di media bercetak atau elektronik kini menjurus kepada persoalan bagaimana hudud boleh dan sewajarnya dilaksanakan.

Walaupun masih lagi suara-suara sumbang yang menolak hudud sebagai undang-undang lapuk dan ketinggalan zaman, mereka yang menolak hudud, tidak lagi melihat falsafah dan hikmah undang-undang jenayah Islam sebagai suatu yang ditolak secara tidak berfakta.

4. Kalau dahulu kerajaan Umno agak kuat menolak hudud dengan alasan-alasan tertentu, tetapi jawapan sekarang lebih lunak, bahkan senario politik yang ada kini tidak menghalang Umno dan Pas duduk bersama-sama berbincang undang-undang yang dianggap ada halangan dari sudut bidang kuasa Negeri dan Persekutuan.

5. Beberapa konflik dan perselisihan pendapat timbul akibat maklumat dan penerangan kurang berkesan atau tidak sampai.

Di sini saya kemukakan beberapa fakta daripada kajian antarabangsa yang menunjukkan suatu yang positif untuk undang-undang pencipta dan penguasa manusia dan alam semesta ini (ALLAH) untuk dibuktikan menyelesaikan masalah manusia dalam urusan undang-undang jenayah.

6. Terdapat kajian antarabangsa yang menunjukkan bahawa undang-undang Syariah (termasuk undang-undang jenayah, kekeluargaan, pengurusan harta) diterima oleh masyarakat Islam untuk dilaksanakan sebagai undang-undang negara.

Hal ini dibuktikan dengan kajian Pew Research Center: The Pew Forum on Religion & Public Life menyatakan di Asia Selatan 84% Muslim menyokong undang-undang Syariah sebagai undang-undang negara, Asia Tenggara 77 peratus, Timur Tengah dan Utara Afrika 74 peratus, Sub-Sahara dan Afrika 64 peratus, Tenggara Eropah 18 peratus, Asia Tengah 12 peratus.

Bagi Malaysia, 88 peratus Muslim amat menyokong undang-undang Syariah menjadi undang-undang negara kerana Malaysia mempunyai sandaran perundangan yang kuat dalam Perlembagaan Malaysia.

7. Pas telah memainkan peranan yang baik dalam pembangunan dan kemajuan Islam di negara ini, bahkan menjadi rujukan di peringkat dunia kerana dasar-dasar Islam yang dilaksanakan.

Dalam hal ini, kajian antarabangsa Pew Research menunjukkan bahawa 79 peratus masyarakat Muslim di Asia Tenggara setuju bahawa pemimpin agama perlu kepada pengaruh politik, Asia Selatan 69 peratus, Timur Tengah dan Utara Afrika 65 peratus, Asia Tengah 28 peratus dan Tenggara Eropah 22 peratus. Bahkan kajian tersebut juga menyatakan parti Islam lebih baik daripada parti politik lain di Malaysia 43 peratus, sama dengan parti politik lain 42 peratus dan lebih teruk daripada parti politik lain 3 peratus.

8. Kajian ini juga menunjukkan 60 peratus Muslim Malaysia menyokong hukuman rejam dikenakan ke atas penzina, hukuman sebat ke atas pencuri 66 peratus, dan hukuman mati ke atas murtad 62 peratus. Peratusan ini ada perbandingan dengan banyak negara di seluruh dunia, tetapi tidak diperincikan di sini.

9. Secara keseluruhannya, kajian yang dibuat oleh Pew Research Centre ini menunjukkan perkembangan Islam di seluruh dunia mempunyai persepsi yang berbeza tengan undang-undang jenayah Syariah, namun, secara keseluruhannya, masyarakat Islam bersetuju bahawa ajaran Islam adalah terbaik untuk memandu kehidupan di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive