UtusanDaily

Sunday, 6 April 2014

Jatuh cinta lagi bukan luar biasa, namun nak tambah lagi ukurlah baju dibadan sendiri

MUHAMAD MAT YAKIM

BARU-BARU ini, dalam kenyataan Facebook, seorang lelaki menceritakan: "Isteri tanya anak, kalau abah kahwin lain macam mana? Anak jawab, oklah tu, nanti ibu dapat payung emas. Isteri cakap pada anak, bertuah punya budak, kau nak bapa kau kawin lain, kepala hotak kau! Kih3. Bagusnya anak abah!"

Tengok kenyataan seperti ini, kita diberi gambaran seolah-olah semua lelaki menunggu-nunggu peluang untuk berpoligami. Mereka seperti hanya menunggu ruang. Sebaik sahaja pintu dibuka, melurulah mereka...

Soalnya, benarkah begitu? Apakah semua lelaki suka dan mahu berpoligami? Apakah lelaki memang dijadikan tidak cukup dengan hanya seorang isteri?

Tidak! Jangan salah menebak. Saya bukan antipoligami. Ya, saya faham, berkahwin lebih itu sunnah Nabi tetapi ingatlah, kelayakannya juga amat ketat. Walaupun dibolehkan, bukan semua lelaki mampu dan layak berpoligami.

Manakala wanita pula, walaupun ada yang rela berpoligami, bukan semuanya suka. Ertinya, memang susah kita nak jumpa yang sukarela. Sebab itu, ALLAH meletakkan jika, jika dan jika dalam hukum mengharuskan poligami.

Saya pernah punya kawan seorang lelaki berpoligami yang tidak bekerja. Sehari-hari dia hidup makan hasil usaha isteri-isterinya.

Saya tidak mampu untuk beri kesimpulan berapa ramai lelaki yang memang mahu berpoligami. Namun apa yang boleh saya katakan, dalam keadaan tertentu, seseorang lelaki memang boleh tertarik kepada wanita yang selain daripada isterinya. Ini bukan pula bermakna dia mahu mengenepikan isterinya.

Keadaan ini mungkin berbeza dengan wanita yang kebanyakannya - bukan semua - apabila sudah berkahwin, sepenuh perasaan dan tumpuan hanya kepada suaminya sahaja.

Lelaki hakikatnya ramai yang bukan begitu. Ini barang kali disebabkan keharusan hukum yang seakan memberi ruang dan tidak menghalang mereka untuk jatuh cinta buat kesekian kalinya.

Sungguhpun demikian, ini bukan juga bererti semua lelaki yang jatuh cinta buat kali kedua, ketiga dan seterusnya itu, sudah bulat hati mereka mahu dan sedia untuk berpoligami. Dalam kes seperti ini, lelaki yang ditakdirkan terkantoi biasanya tidak akan meneruskan hajatnya itu.

Ramai yang bertanya, dalam kes seperti ini, apa yang wajar dilakukan oleh si suami, mahu pun isteri. Terlalu banyak soalan seperti ini diajukan kepada saya menerusi Facebook walaupun sudah berkali-kali saya jelaskan bahawa saya bukanlah kaunselor rumah tangga.

Kepada isteri, walaupun anda sudah tentu teramat kecewa dengan apa yang berlaku, jangan ambil keputusan terburu-buru. Walaupun saya pasti, anda akan jadi teramat emosi namun cuba kawal diri dan timbang untuk jangka panjang.

Masa depan, anak-anak dan fikirkan juga adakah suami anda memang jenisnya yang begitu ataupun dia hanya sekadar cuba nasib, bukan mahu mengenepikan apatah lagi menyingkirkan anda!

Selagi anda yakini dia dan kasih sayangnya, jangan ambil tindakan yang boleh musnahkan hidup kalian. Let bygone be bygone!

Saya percaya, proses ini akan ambil masa yang lama untuk reda tetapi jangan berputus asa. Dalam pada itu, baik untuk anda fikirkan juga dengan rasional kalau-kalau ada kelemahan pada diri anda yang membuatkan suami anda berubah hati. Barang kali mungkin sebelum itu ada sesuatu pada diri anda yang dia tidak suka dan membuatkan dia makan hati!

Bagi suami pula, hargai kesabaran dan penerimaan isteri. Jangan ulangi kesilapan kalau anda bukan jenis lelaki yang bersungguh-sungguh, layak dan mahu berpoligami. Perkara pertama yang perlu anda fikir jika ada hajat ke arah itu ialah penuhkan dada dengan ilmu agama. Kalau tidak, lupakan sahaja!

Anda hanya akan menambah masalah pada diri anda sendiri dan orang lain jika melakukan tanpa pegangan agama. Penting sekali bagi suami ialah mengotakan janji, jangan ulangi kesilapan yang sama dan sebutlah selalu betapa anda menyesal kerana telah melukakan hatinya.

Jangan biarkan dia terus mencurigai anda kerana sekali lagi anda terjebak, percayalah dia tak akan percayakan anda lagi seumur hidup!

Jatuh cinta buat kesekian kalinya pada usia 40-an bukan sesuatu yang luar biasa tetapi suluhlah diri sama ada anda bersungguh atau tidak. Kalau tidak, jangan buang masa, wang dan tenaga!

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive