SATU ketika dahulu, dia merupakan pengurus kepada kumpulan rock termasuk Loving Born, XPDC, Damasutra dan Real XPDC.
Siapa sangka, hidayah ALLAH SWT yang diterima pada 2007, berjaya
menempatkan pemilik nama sebenar, Badry, ini ke jalan yang diredai.
Tahun demi tahun, akhirnya penghijrahan itu membuatkan Eddy berhasrat mengajak rakan-rakannya bersama dalam program dakwah.
Menurut Eddy, satu ketika dahulu, dia berjaya mengumpulkan kelompok
peminat untuk kumpulan rock menerusi kelab-kelab yang ditubuhkan.
Kini, tiba masanya untuk dia menggunakan peluang yang ada untuk
mengajak semula kalangan peminat berkenaan dalam menyokong aktiviti
dakwahnya.
"Satu masa dahulu, saya akui, saya banyak membawa 'jiwa' mereka dalam mendekati muzik dan hiburan.
"Namun, kini saya terpanggil dan bertanggungjawab untuk memberi
kesedaran kepada mereka agar kembali ke jalan ALLAH SWT melalui program
dakwah di masjid ini.
"Bukan ceramah biasa, dalam program ini, saya akan menjemput penyanyi
yang pernah berada di bawah pengurusan saya untuk turut serta," katanya.
Bakal diadakan di masjid seluruh negara, Eddy mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk menyokong program ini.
"Program ini masih dalam perbincangan dan saya mengharapkan ianya dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.
"Kemungkinan besar ceramah jelajah ini akan dimulakan di kawasan utara ataupun di Lumut, Perak.
"Dalam ceramah itu, saya akan menjemput seorang atau sekumpulan
penyanyi rock untuk bercerita mengenai perjalanan hidup dan penghijrahan
mereka," katanya lagi.
Cari pendapatan sampingan
Umum tahu, ramai dalam kalangan penyanyi rock kini sukar menjana pendapatan di dalam industri.
Namun, jelas Eddy yang juga pemilik agensi pengendali umrah, program
ini merupakan platform penyanyi berkenaan untuk mendapatkan mata
pencarian sampingan.
"Perlu diingatkan, program ini bukanlah program yang memikirkan keuntungan semata-mata.
"Saya tidak akan mengenakan bayaran ke atas diri saya kerana ini adalah usaha dakwah saya sendiri.
"Namun, bila ada jemputan untuk artis, berilah imbuhan kepada mereka agar dapat membantu dalam kos sara hidup," katanya lagi.
Janji Eddy, ceramah agama ini juga tidak akan dicemari dengan
unsur-unsur politik yang boleh mengakibatkan ketegangan dan fahaman
politik masing-masing.
"Ini adalah ceramah agama dan juga kesedaran kepada masyarakat mengenai
penghijrahan. Ia tidak akan dicemari dengan hal-hal politik.
"Usaha saya adalah lebih tertumpu kepada golongan rakan-rakan di usia 30-40 an untuk kembali ke jalan yang benar," jelasnya.
No comments:
Post a Comment