'Fasha tak bersalah'
NAMA aktres jelita, Fasha Sandha dan pelakon muda, Dazrin Kamaruddin
tiba-tiba menjadi panas setelah mereka dikatakan bermasam muka meskipun
sedang bergandingan untuk drama bersiri, Miranda, yang baharu saja
menemui penonton semalam, setiap Rabu jam 9 malam.
Ketegangan ini timbul apabila Fasha meluahkan rasa tidak puas hati
terhadap sikap Dazrin yang dikatakan tidak berdisiplin dalam sebuah
akhbar tempatan (bukan Sinar Harian).
Malah dikhabarkan hubungan keduanya dingin selepas saling memberi kenyataan balas di media.
Enggan membiarkan isu itu terus menjadi 'buah mulut' orang ramai,
pengarahnya, Along Kamaruddin tampil memberikan penjelasan kepada Zass
dan berharap konflik yang melibatkan pelakon utamanya itu segera
berakhir.
Drama bersiri Miranda merupakan drama pertama anda untuk tahun
ini. Namun ada cerita kurang enak berlaku. Bolehkah anda cerita perihal
sebenar yang terjadi?
Kisah artis tidak berdisiplin merupakan perkara lapuk dalam industri
kita. Malah saya sendiri sudah beberapa kali menempuhi perkara ini.
Namun apa yang ingin saya tegaskan bahawa Fasha merupakan pelakon yang profesional dan sangat berdisiplin.
Tindakannya meluah perasaan dalam sebuah akhbar merupakan perkara yang betul dan bukan fitnah semata-mata.
Saya akui Dazrin memang mempunyai masalah disiplin dan sering lewat ke lokasi penggambaran.
Masalahnya bukan lambat dalam masa 10 minit tetapi berjam-jam. Saya
ingin tegaskan, Fasha tidak menipu atau berbohong mengenai masalah ini.
Malah saya sendiri terpaksa tinggalkan set penggambaran kerana sudah jemu menunggu Dazrin.
Anda juga turut terheret sama dalam situasi ini apabila ada
laporan yang mendakwa anda 'naik hantu' ketika penggambaran berlangsung?
Demi ALLAH saya tidak pernah mengamuk atau maki hamun pelakon dan kru yang terlibat dalam produksi ini.
Ya, saya akui pernah naik angin atau marah kerana saya juga insan biasa.
Tetapi saya tidak segila sehingga melemparkan barang atau memukul sesiapa kerana kesilapan orang lain.
Saya hanya menasihati dan menegur mereka yang bermasalah terutamanya Dazrin supaya ia tidak mengganggu perjalanan penggambaran.
Siapa yang tidak marah jika kelewatan tersebut memberi impak besar pada produksi.
Kami telah bazir masa, tenaga dan juga wang jika penggambaran tidak dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan.
Anda pernah berhadapan dengan masalah yang sama termasuklah
aktres cantik, Nur Fathia. Melihat masalah yang sering melanda, adakah
anda agak kurang tegas dengan artis?
Ia bukan soal tegas atau tidak. Sebaliknya ia bergantung kepada artis
tersebut dalam menguruskan peribadi dan urusan kerja dengan baik.
Lagipun mereka sudah besar dan matang untuk melakukan keputusan sendiri.
Saya cuma mampu bagi nasihat supaya mereka sedar dan ubah sikap tersebut.
Tambahan pula, saya jenis yang mudah kasihankan orang walaupun banyak kali sudah terkena.
Selaku pengarah, apa pandangan anda mengenai Fasha?
Saya mengagumi bakat dan kebolehan yang ada pada dirinya. Selain
mempunyai kecantikan semula jadi, dia seorang yang berdisiplin dan
sangat menepati masa.
Jika waktu penggambaran bermula seawal jam 8 pagi, Fasha antara orang yang terawal tiba di lokasi.
Malah jika diberi pilihan, Fasha merupakan aktres pertama yang akan saya pilih sebagai heroin dalam drama saya.
Bukan mempertahankan dia semata-mata, tetapi ia berdasarkan pemerhatian
saya sepanjang kami bekerjasama dalam beberapa drama lalu.
Sebab itulah, teguran Fasha kepada Dazrin saya lihat perkara betul kerana dia lebih senior.
Dia cuma meluahkan rasa kecewanya dengan sikap Dazrin yang tidak menghormati saya dan mereka yang terlibat dalam produksi ini.
Apatah lagi setelah hal ini tersebar, dia juga terkilan dengan mereka
yang cuba memanipulasi keadaan seolah-olah Fasha yang bersalah dan
menyebabkan masalah itu timbul.
Bagi meleraikan konflik yang berlaku antara mereka berdua, apakah tindakan anda untuk menjernihkan hubungan Fasha dan Dazrin?
Pagi tadi (semalam) kami telah mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi menyelesaikan masalah ini.
Saya sebolehnya tidak mahu ia terus berpanjangan kerana akan mengganggu perjalanan penggambaran drama 15 episod ini.
Sudah 46 hari kami bekerja dan saya tidak mahu drama ini terhenti
akibat masalah yang berbangkit. Sebagai pengarah, ia menjadi tanggung
jawab saya untuk menjernihkan situasi.
Apatah lagi isu ini telah menyebabkan keduanya bermasam muka dan tidak mampu berlakon bersama.
Dalam mesyuarat itu, mereka dipertemukan secara 'face to face' meluahkan apa yang mereka rasai.
Masing-masing menceritakan isi hati yang terbuku dalam diri mereka agar
masalah itu dapat diselesaikan. Lagipun tidak elok jika mereka terus
bersengketa dan apa yang berlaku jadikanlah iktibar.
Bak kata pepatah, 'buang yang keruh, ambil yang jernih' demi kerjaya
mereka juga. Alhamdulillah... Selepas sesi ini tamat, Fasha mahupun
Dazrin berjanji bahawa mereka tiada masalah untuk terus bekerjasama.
Bagaimana pula dengan kenyataan Dazrin yang mahu mengadakan sidang media pada ekoran kenyataan Fasha terhadap dirinya?
Berkaitan sidang media yang Dazrin katakan sebelum ini, saya cuma
nasihatkan dia agar berfikir sedalamnya sebelum membuka mulut.
Lagipun industri hiburan negara kita kecil, setiap apa yang berlaku pasti akan diketahui umum.
Saya menegurnya jika mahu lama dalam bidang ini, elakkan daripada bual perangai tidak elok.
Jangan cuba tegakkan benang yang basah kerana sudah terang lagi bersuluh ia memang kesalahan kita sendiri.
Tetapi saya tidak akan halang Dazrin jika mahu adakan sebarang perjumpaan dengan media. Itu hak dia, saya tidak akan halangnya.
Cuma saya ingin tegaskan bahawa dia lebih berhati-hati berbicara kerana ini perkara serius.
Dia juga memaklumkan kepada saya dalam sidang media itu nanti, dia akan meminta maaf dengan semua yang terlibat.
Adakah perubahan yang dijanjikan Dazrin benar-benar dikotakan?
Alhamdulillah... sejak akhir-akhir ini dia menunjukkan perubahan
positif. Biarpun datang juga ke set lokasi, namun tidak selewat sebelum
ini.
Saya berharap dia berubah dengan segera dan mengekalkan momentum itu.
Lagipun penerbit telah mengeluarkan belanja besar untuk drama ini supaya
ia berjalan dengan lancar.
Tambahan pula, saya juga telah mengupah pengurus untuk menjaga jadual waktu Dazrin.
Akhir sekali, apakah nasihat dan harapan anda kepada artis di luar sana?
Jujur saya akui bahawa setiap produksi akan berhadapan dengan masalah
yang sama iaitu datang lambat ke set penggambaran. Sepanjang penglibatan
saya dalam industri ini, ia menjadi cabaran terbesar bagi saya selaku
pengarah.
Sebelum memilih mana-mana artis untuk dipilih, saya merujuk dengan ramai pengarah mengenai pelakon-pelakon yang ada.
Malah ada di antara mereka pernah menasihati saya agar tidak memilih Dazrin sebagai pelakon utama kerana masalah disiplinnya.
Tetapi saya degil kerana saya sukakan cabaran untuk menggilap bakat
baru. Nasihat saya kepada pelakon seperti ini agar mengubah perangainya
jika mahu kekal dalam bidang hiburan.
No comments:
Post a Comment