UtusanDaily

Friday 8 April 2016

6 Kesalahan Besar 1MDB Yang Kita Tidak Tahu


Mujur ada siasatan terhadap macam-macam dakwaan salah laku syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak beberapa tahun.

Dengan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), dibantu laporan Ketua Audit Negara, sebahagian syak wasangka dan tuduh-menuduh selama ini sedikit sebanyak terungkai.

Walaupun isu ini belum tuntas, banyak dakwaan terus dilontarkan dan siasatan masih dijalankan oleh beberapa negara lain, berikut isi-isi utama laporan PAC yang diumumkan hari ini.

1. Ingkar keputusan dan arahan lembaga pengarah

Menurut laporan PAC, pihak pengurusan 1MDB beberapa kali tidak mematuhi keputusan dan arahan lembaga pengarah ataupun mengambil tindakan sebelum mendapat kelulusan khusus daripada lembaga pengarah.

Terdapat beberapa pelaburan dan pinjaman besar yang dibuat tanpa penilaian terperinci, termasuk penelitian kesannya terhadap aliran tunai syarikat. Banyak pula keputusan penting hanya dibuat melalui resolusi bertulis tanpa perbincangan dalam mesyuarat.

2. Bayar US$1.4 bilion ke Aabar Ltd, syarikat yang tidak pasti

1MDB membayar deposit cagaran sekitar US$1.4 bilion (RM5.5 bilion) kepada Aabar Ltd tanpa persetujuan lembaga pengarah.

Malah, bukan itu sahaja, bayaran dibuat tanpa memastikan syarikat tersebut benar-benar dimiliki dana kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC).

Sehingga kini, 1MDB masih belum dapat menentukan mana satu anak syarikat IPIC, Aabar Ltd ataupun Aabar Investments PJS di Abu Dhabi, yang mempunyai nama mirip.

3. Bayar US$700 juta ke firma tidak berkaitan urusan PetroSaudi

1MDB tidak mendapat kebenaran lembaga pengarahnya apabila membayar US$700 juta (RM2.72 bilion) kepada Good Star Ltd pada 2009, sebuah syarikat yang tiada kena mengena dengan usaha sama dengan firma minyak Arab Saudi, PetroSaudi International Ltd.

Daripada US$1 bilion peruntukan untuk usaha sama tersebut, 1MDB memindahkan cuma US$300 juta ke akaun bank JP Morgan (Suisse) SA milik syarikat bersama 1MDB PetroSaudi Ltd.

Manakala bakinya masuk ke akaun RBS Coutts Bank Ltd yang dimiliki Good Star.

4. Pecat dua firma audit berturut-turut, tidak tahan disiasat

Dalam tempoh empat tahun, 1MDB menamatkan khidmat dua syarikat audit terkenal Ernst & Young (EY) dan KPMG selepas mereka sering mendesak dokumen-dokumen penting.

Dokumen itu gagal diberikan oleh syarikat tersebut dan ia berbeza pendapat dengan firma-firma audit berwibawa itu.

EY diberhentikan pada 15 September 2010, sebelum 1MDB menghantar laporan kewangan pertamanya untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010.

KPMG pula diberhentikan pada 31 Disember 2013 sebelum laporan bagi tahun 2013 dikemukakan, lalu digantikan dengan Deloitte.

5. Berharap hutang berbilion-bilion, bahayakan Putrajaya

Kerajaan persekutuan berdepan dengan risiko sebesar RM20.3 bilion pada Oktober tahun lepas jika 1MDB gagal melangsaikan hutangnya.

Jumlah tersebut datang daripada jaminan kerajaan sebanyak RM5.8 bilion, surat sokongan untuk menjamin RM13.56 bilion dan juga kredit tunggu sedia sebanyak RM950 juta.

6. Jadi ‘anak emas’ Putrajaya, dapat banyak kelebihan

1MBD mendapat banyak kelebihan daripada pentadbiran Putrajaya yang tidak diberikan kepada anak-anak syarikat lain di bawah MOF Inc milik penuh Kementerian Kewangan.

Misalnya, 1MDB diberikan pengecualian cukai korporat untuk semua pendapatan selama 10 tahun sejak 23 November 2010.

Lembaga pengarahnya juga tidak mempunyai pegangan saham dan juga diberi pengecualian lain daripada peraturan kerajaan dalam aspek pengurusan bayaran perolehan, penggajian dan bonus kepada lembaga pengarah dan pengurusan.

http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/enam-kelemahan-1mdb-terkantoi-melalui-laporan-pac

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive