UtusanDaily

Sunday, 7 February 2016

Masa depan Umno terjejas selepas penyingkiran Mukhriz

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah menandakan berakhirnya era di mana rakyat boleh mempercayai pemimpin untuk bertindak demi kepentingan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Februari, 2016.
Masa depan Umno akan terjejas jika sesuatu keputusan dibuat tanpa mengambil kira sentimen dan kehendak rakyat terbanyak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan presiden Umno itu mencatatkan peringatan demikian di laman Facebook beliau malam tadi, mengulas peletakan jawatan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mukhriz meletak jawatan, selepas kemelut politik yang berlangsung di negeri itu selama hampir 2 minggu, susulan kehilangan sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun),

Perebutan jawatan itu bermula pada 20 Januari apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengetuai satu sidang media, terdiri daripada pemimpin bahagian dan sayap, mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz.
Ahmad Bashah dijadualkan mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada pukul 10 pagi ini.

Muhyiddin berkata, penyingkiran Mukhriz semalam juga menandakan berakhirnya era di mana rakyat boleh percayakan pemimpin untuk bertindak demi kepentingan mereka.

"Sudah berakhir hari-hari di mana kita percaya pucuk pimpinan membuat keputusan berdasarkan kehendak rakyat.

"Nampaknya, dalam episod politik yang mutakhir ini, kehendak segelintir pihak mengatasi kehendak majoriti rakyat," tulis bekas timbalan perdana menteri itu.

Ramai rakyat Kedah tidak berpuas hati dengan langkah itu dan mempersoalkan kaedah yang digunakan untuk menjatuhkan Mukhriz.

Muhyiddin berkata, Umno hari ini mungkin lupa ia sebuah parti politik yang mengharapkan sokongan rakyat untuk terus kekal relevan.

"Jika sesuatu keputusan dibuat tanpa mengambil kira sentimen dan kehendak rakyat terbanyak, saya bimbang masa depan Umno akan terjejas," katanya.

Muhyiddin berkata, sekali ia hilang, bukan mudah untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat dan kepimpinan baru kini berdepan tugas sukar menjelaskan keadaan kucar-kacir yang timbul.

"Bukan mudah memperoleh semula kepercayaan rakyat apabila mereka terasa dikhianati.

"Sesungguhnya, dugaan hebat sedang menanti pengganti menteri besar Kedah untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada Umno."

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beliau yakin Mukhriz akan tabah menghadapi dugaan itu, menyifatkannya seorang pemimpin yang berintegriti dan berkarisma.

"Segala yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin ini satu permulaan kepada perjuangan yang lebih panjang." – 4 Februari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/masa-depan-umno-terjejas-selepas-penyingkiran-mukhriz-kata-muhyiddin#sthash.LARzjZRr.sk8aTETp.dpuf

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive