UtusanDaily

Wednesday 9 September 2015

Pilihan untuk Najib, kukuhkan kuasa atau selamatkan Umno, kata pemerhati

Datuk Seri Najib Razak mempunyai pilihan sama ada mementingkan kuasa politiknya atau meneruskan perpecahan dalam Umno dengan memecat pengkritiknya tetapi bakal berhadapan risiko pemberontakan yang lebih kuat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 September, 2015.
Sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin atau beberapa pemimpin lain dipecat atau tidak hari ini, hakikatnya Datuk Seri Najib Razak sudah memecahbelahkan Umno sejak merombak Kabinet dan skandal yang dikaitkan dengannya.

Bezanya ialah mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini akan menentukan sama ada perpecahan parti terbesar itu akan menjadi semakin buruk, kata pemimpin veteran dan pemerhati.

Bagi pemimpin veteran Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin (gambar, kiri), punca perpecahan Umno ini bermula dengan keputusan Najib sendiri menggugurkan Muhyiddin pada Julai lalu.

"Beliau mahu bimbangkan berpecah apa lagi?" kata Zainuddin kepada The Malaysian Insider.

"Beliau bertindak membuang Muhyiddin daripada Kabinet sudah pun memecahkan parti”.

Bekas menteri penerangan itu berkata, Najib mempunyai pilihan sama ada mementingkan kuasa politiknya atau meneruskan perpecahan dalam Umno dengan memecat pengkritiknya, akan tetapi, risiko pemberontakan yang lebih kuat bakal dihadapinya.

"Kalau pecat, saya rasa akan timbul pemberontakan lebih kuat dalam parti sebab ada suara-suara yang tidak mahu dipecat sudah kita dengar, malah ia datang daripada Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga naib presiden Umno dan Khairy Jamaluddin (ketua Pemuda).

"Jadi maknanya, kalau pecat juga bermakna beliau sudah bertentangan dengan hasrat orang-orang yang rapat dengannya sendiri," katanya.

Ketua Umno Bahagian Kulim Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pula menyifatkan jika pemecatan dilakukan, ia seolah-olah bertujuan mahu melihat parti Melyu itu terus berpecah pada ketika mereka sudah berdepan pelbagai masalah.

"Kalau pecat juga, itu memang sengaja kita nak pecahkan lagi Umno ini," katanya, yang juga berada dalam senarai bakal dipecat daripada Umno seperti tersebar di laman sosial dan aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu yakin Najib tidak akan bersetuju cadangan pemecatan walaupun terdapat beberapa ahli MT mahukan Muhyiddin dipecat.

"Saya tidak percaya, sepanjang saya kenal presiden beliau bukan seorang kontroversi dan akan berkonfrontasi.

"Jadi saya percaya tidak mungkin beliau akan bersetuju dengan apa sahaja cadangan daripada beberapa orang MT yang hendak memecat dan melucutkan jawatan timbalan presiden dan naib presiden ini," katanya yang merujuk kepada Muhyiddin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal.

Aziz berkata, jika pemecatan dilakukan, ia bermakna MT Umno sendiri sudah terputus hubungan dengan akar umbi kerana tidak memahami sentimen di bawah.

"Saya rasa MT tidak akan jadi gila untuk buat tindakan dan keputusan itu.

"Saya rasa MT tak mungkin akan buat keputusan untuk menyingkirkan, lebih-lebih lagi Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie, di mana kedua-dua mereka adalah timbalan dan naib presiden," katanya.

Beliau sebaliknya menggesa supaya ahli MT menggunakan mesyuarat hari ini sebagai platform mencari jalan mengukuhkan kedudukan parti khususnya di antara presiden dan timbalan presiden.

Mengenai pendekatan yang bakal diambil Najib, Zainuddin yang juga bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Malaysia melihat perdana menteri gemar menggunakan strategi "elegant silent" namun situasi kali ini berbeza kerana jika tidak ditangani segera ia akan memanjangkan lagi masalah dihadapi Umno.

“Selepas itu bila orang menyerang dan kemudian dia dah lemah, tidak lagi menyerangnya.

"Tapi kalau tidak pecat, ia akan memanjangkan lagi masalah ini, masalah ini tidak akan selesai dan akan terus menggugat beliau," kata Zainuddin.

Dalam pada itu, bekas naib ketua Pemuda Umno Johor Datuk Khairul Anuar Rahmat (gambar, kiri) berkata, Najib perlu menimbangkan pelbagai aspek terhadap keputusan yang bakal diputuskan dalam mesyuarat MT nanti, tidak semata-mata bersikap pentingkan diri dan keutamaan adalah semestinya kelangsungan parti.

"Ahli MT perlu memikirkan kesan dan impak terhadap keputusan yang bakal diambil, mereka perlu memikir kelangsungan parti dan bukan semata-mata hanya demi kepentingan seorang individu.

"Ini adalah parti utama kaum Melayu dan menjadi payung untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Penganalisis politik Dr Azizuddin Mohd Sani meramalkan sebarang keputusan kontroversi terutamanya dengan memecat atau menggantung Muhyiddin daripada Umno akan menyebabkan satu gelombang yang kuat menentang Najib.

"Jika khabar angin pemecatan ini benar-benar berlaku, ia akan menyebabkan ‘waves’ yang kuat dalam Umno menentang Najib. Itu saya ramalkan," katanya.

"Setakat ini saya lihat ia sememangnya ada impak, tentangan yang kita lihat daripada akar umbi itu juga kuat sebenarnya".

Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), langkah terbaik untuk Najib adalah mengambil jalan selamat tanpa melukakan mana-mana pihak semasa mesyuarat MT petang ini. – 9 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pilihan-untuk-najib-kukuhkan-kuasa-atau-selamatkan-umno-kata-pemerhati#sthash.944jUEH7.dpuf

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive